Polis Dapat Perintah Mahkamah Batal Kongres Jawi Dong Jiao Zong

Polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

[MalaysiaKini}- Polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menggesa semua pihak menghormati perintah mahkamah itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada yang melanggarnya.

“Polis menggesa semua pihak terlibat dan orang ramai agar tidak hadir ke persidangan tersebut atau mana-mana perhimpunan bagi membantahnya yang dianjurkan NGO, persatuan dan pertubuhan.

“Bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, polis khasnya ibu pejabat polis daerah Kajang telah emmohon perintah ini atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam, yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata perintah mahkamah itu telah diserahkan kepada pada jam lima petang tadi.

Menurut dokumen itu yang dilihat Malaysiakini, perintah mahkamah itu ditandatangani majistret Syahrul Sazly Md Sain.

“…Telah didapati oleh mahkamah ini bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan persidangan tersebut akan diadakat pada 28 Disember 2019 (Sabtu) dan berdasarkan kepada maklumat terkini yang diperolehi oleh pihak pemohon mendapati akan berlaku satu gaduh-gempar/rusuhan akan berlaku sekiranya persidangan tersebut diteruskan.

“Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu,” menurut dokumen itu.

Menurut penganjur program Low Chee Cheong, Dong Zong akan membatalkan kongres itu dan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan butiran lanjut, hari ini.

“Kami hormat perintah mahkamah, program kami esok akan dibatalkan,” katanya.

Menurut laporan terdahulu, penganjur Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) menjangka kongres itu akan disertai 1,000 hadirin.

Dong Jong sebelum ini berkata, program itu hanya akan dilakukan di tingkat lima kolej tersebut, dan tiada ada rancangan untuk para peserta keluar bagi mengadakan perhimpunan.

Pihaknya juga mengeluarkan larangan kepada peserta untuk membawa sepanduk, plakad dan bahan berunsur provokasi.

Beberapa NGO menyuarakan bantahan terhadap kongres itu, dengan tiga daripadanya – Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) – berkata akan mengadakan himpunan jika Dong Zong tidak membatalkannya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menetapkan pengajaran tulisan Jawi hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Bagaimanapun Dong Zong bertegas mahu Lembaga Pengelola Sekolah dilibatkan dalam proses membuat keputusan berhubung pengajaran itu, yang dijadual dimulakan tahun depan untuk murid tahun empat.

Kekecohan Membangkit Minat Saya Memartabatkan Tulisan Jawi

Pada mulanya saya tidak menyangka kekecohan berkaitan isu tulisan Jawi dan khat akan menjadi begitu panas dan berlarutan sampai begini.

Memberi peluang pelajar sekolah rendah mengenali dan mempelajari tulisan Jawi adalah satu usaha yang sangat baik untuk memastikan generasi muda tidak akan buta tulisan Jawi, iaitu tulisan asal Bahasa Melayu.

Perkara ini penting bukan hanya kerana tulisan Jawi merupakan khazanah berharga negara tetapi ianya penting dari segi akademik, lebih-lebih lagi dalam usaha mengkaji dan memahami sejarah negara kerana banyak dokumen lama ditulis dalam tulisan Jawi.

Namun malang sekali kerana sebaik sahaja perkara ini diumumkan, telah timbul berbagai bantahan daripada mereka yang mungkin kurang memahami betapa pentingnya tulisan Jawi kepada sejarah dan ketamadunan negara bangsa.

Antara yang lantang bersuara termasuklah badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang juga telah memulakan petisyen membantah perkara ini.

Dong Zong mendakwa langkah kerajaan untuk mengajar tulisan Jawi di sekolah ialah satu usaha ke arah “Islamisasi” dan ianya bercanggah dengan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan kerana memaksa seseorang untuk menyertai amalan agama lain; alasan dangkal ini dijawab oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di mana beliau melabelkan Dong Zong sebagai “rasis”.

Kekecohan ini telah menyedarkan saya tentang kekhilafan diri saya sendiri yang selama ini tidak berusaha menggunakan tulisan Jawi dalam kehidupan harian saya.

Saya boleh membaca teks Jawi tetapi masih tidak begitu mahir dalam mengeja dalam ejaan Jawi dan kini saya merasa bertanggungjawab untuk belajar dan berusaha menggunakan tulisan Jawi.

Sekarang, semasa kelas hadis mingguan yang saya hadiri, saya menulis nota menggunakan tulisan Jawi walaupun menghadapi masalah untuk mengeja dengan betul.

Maka, setelah pulang ke rumah saya akan menyemak semula tulisan saya dan memperbaiki ejaan yang salah.

Tulisan Jawi saya tidaklah cantik, dan saya masih bergantung kepada kamus Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta aplikasi atas talian yang mengubahkan tulisan Rumi kepada tulisan Jawi untuk merujuk ejaan Jawi yang betul.

Alhamdulillah, sudah semakin banyak ejaan Jawi yang telah saya tahu dan saya semakin dapat memahami konsep ejaan Jawi dengan lebih baik.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya bukan sahaja harus memartabadkan tulisan Jawi tetapi kini saya berasa malu kepada diri saya sendiri kerana saya tidak mahir menulis tulisan Jawi.

Saya tidak mahu menjadi rakyat yang hanya mengejar kejayaan material dan lupa akan asal usul budaya bangsa saya sendiri kerana kejayaan material semata-mata tidak akan dapat membina dan mempertahankan ketamadunan negara bangsa.

Dong Zong Rasis, Tak Suka Melayu – Tun M

UTUSAN ONLINE – LANGKAWI 12 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

“Dong Zong ini rasis, kita buat Sekolah Wawasan letak SK, SJKC dan SJKT dalam satu kampus mereka tak mahu, takut anak-anak dia konon bercampur dengan orang Melayu.

“Dia tak suka orang Melayu, semua dia bantah tak pernah bersetuju dengan apa-apa pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang Matsirat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penentangan Dong Zong yang melakukan petisyen terhadap pembelajaran dalam Jawi dan tulisan khat yang kononnya merupakan satu bentuk Islamisasi untuk menyebarkan agama Islam.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menjelaskan, sebelum negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mendapati adalah sukar bagi penduduk bukan Melayu belajar dalam bahasa Jawi sebelum memperkenalkan tulisan roman.

“Saya masih ingat ketika negara hendak merdeka, kita dapati bukan Melayu susah hendak belajar, jadi kerajaan ambil keputusan guna tulisan roman untuk memudahkan mereka.

“Kerajaan sudah memberi pertimbangan khusus kepada bukan Melayu, manakala Melayu masih terus belajar Jawi kerana hendak membaca al-Quran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir secara sinis ‘mengiktiraf’ Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempunyai kedudukan yang setaraf dengannya susulan kenyataan pemimpin DAP itu terhadap beliau yang sering membuat keputusan secara berseorangan.

“Pada masa depan apabila saya nak buat keputusan saya akan tanya boleh atau tidak Santiago bersetuju, kalau dia tak bersetuju saya tak buatlah, mesti dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya,” ujarnya.

Hari ini, Charles dalam satu kenyataan pada Facebook miliknya berkata, Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan beliau berkuasa walaupun datang dari parti yang kecil. – UTUSAN ONLINE