Apakah Keputusan PRK Kimanis Menggambarkan Situasi Politik Sabah?

Baca versi Jawi di sini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) P176 Kimanis telah berakhir dua hari lepas di mana calon Barisan Nasional (BN), Mohamad bin Alamin telah menang selesa dengan majoriti 2,029 undi.

Untuk rekod, calon BN memperolehi 12,706 undi, berbanding calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Karim bin Bujang, yang meraih 10,677 undi dan peratusan keluar mengundi adalah tinggi iaitu 79.92%, rekod tertinggi di dalam PRK sejak PRU-14.

Walaupun saya mengikuti perkembangan PRK ini, namun berbeza dengan keadaan sebelum PRK Tanjung Piai, saya tidak mengulas tentang PRK Kimanis kerana saya tidak mahir dengan suasana politik Sabah yang amat berbeza daripada keadaan dan sentimen politik di Semenanjung.

Corak pergerakan politik di Sabah dan Sarawak adalah agak berbeza dan tidak begitu terpengaruh dengan suasana di Semenanjung. Malah, kemenangan besar BN dalam PRK Tanjung Piai tidak memberi impak kepada pengundi P176 Kimanis.

Membaca laporan politik Sabah dari Semenanjung, saya merasakan agak sukar untuk BN memenangi PRK Kimanis kerana kekuatan jentera WARISAN yang dibantu oleh jentera daripada kerajaan pusat.

Malah ramai pemerhati politik yang melihat Sabah melalui parti WARISAN sebagai benteng kuat bagi kerajaan persekutuan untuk mempertahankan kuasa.

Justeru, kemenangan selesa BN dalam PRK P176 Kimanis dengan majoriti 2,029 undi merupakan satu kejutan kepada banyak pihak, mungkin termasuk parti WARISAN sendiri, memandangkan kedudukan UMNO Sabah yang begitu lemah selepas PRU-14.

Pada 16 Januari, 2020 Astro Awani di bawah tajuk, “Kimanis Memilih: Warisan diramal menang selesa – Ilham Centre” melaporkan:

Hasil kajian yang dijalankan badan pemikir Ilham Centre mendapati calonnya, Datuk Karim Bujang yang berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Astro Awani (Kimanis Memilih: Warisan diramal menang selesa – Ilham Centre)

Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Muhd Yusri Ibrahim, telah meramalkan kemenangan parti WARISAN di atas faktor WARISAN sebagai parti pemerintah, faktor pengikut sedia ada (antaranya pengikut ADUN Membakut yang meninggalkan BN untuk menyertai Bersatu) dan sentimen pengundi yang lebih menyokong parti tempatan.

Sehari sebelum PRK Kimanis, Sinar Harian di bawah tajuk, “PRK Kimanis: Warisan sedikit mendahului BN” melaporkan bahawa, “… dapatan sebuah badan kaji selidik, Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), calon WARISAN itu ketika ini dilihat mendahului calon BN, Datuk Mohamad Alamin”.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dilihat mampu merampas kerusi PRK Kimanis daripada Barisan Nasional (BN) esok.

Sinar Harian (PRK Kimanis: Warisan sedikit mendahului BN)

WARISAN sebagai parti pemerintah negeri Sabah dilihat sebagai parti pilihan pengundi, tambahan dengan kesungguhan parti WARISAN untuk merampas kerusi P176 Kimanis dari tangan BN.

Malah dalam kalangan mereka yang benar-benar yakin akan kemenangan BN pun, saya rasa tidak ramai yang menjangka calon BN akan memenangi PRK Kimanis dengan majoriti sebanyak 2,029 undi.

Maka kemenangan selesa BN dengan majoriti sebanyak 2,029 undi dalam keadaan UMNO Sabah yang lemah adalah sesuatu yang amat menarik untuk dikaji; lebih-lebih lagi ketika rakyat Sabah masih taat menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie bin Apdal iaitu Presiden WARISAN.

Malah parti WARISAN begitu yakin sokongan padu pengundi Kimanis terhadap presiden parti pemerintah itu akan dapat memastikan WARISAN menang selesa dalam PRK Kimanis.

Namun PRK ini juga telah memperlihatkan bahawa penyandang kerusi Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding di dalam PRK ini, masih mendapat sokongan di parlimen Kimanis.

Menariknya, dalam sebuah kenyataan pada hari terakhir kempen PRK Kimanis, Ketua Pemuda BN, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan beliau berkeyakinan bahawa ramai dalam kalangan pengundi Kimanis “di luar putih dalam biru”, zahirnya menyokong WARISAN (putih) tetapi dihati menyokong BN (biru).

Persoalannya, jika benar kenyataan Dr Asyraf ini, bagaimanakah pula dengan situasi politik sebenar di kawasan-kawasan lain di Sabah yang selama ini dilihat taat menyokong Datuk Seri Shafie Apdal?

Sejauh manakah keputusan PRK Kimanis dapat membantu kita mengukur situasi politik terkini di negeri Sabah selepas kita menyaksikan DAP mempertahankan kerusinya dalam PRK Parlimen Sandakan tahun lepas?

Walau apapun, PRK Kimanis membuktikan bahawa perkiraan politik Ilham Centre di mana pemimpin yang lompat parti akan membawa bersama mereka yang telah mengundinya dan sentimen pengundi Kimanis atau amnya Sabah yang lebih menyokong parti tempatan adalah tidak tepat.

Apakah perkara ini akan menjadi pemangkin untuk parti Bersatu meluaskan sayapnya dengan lebih jauh di Sabah nanti?

Saya yakin keputusan PRK P176 Kimanis akan menjadi kayu pengukur kepada parti-parti politik yang bertanding untuk menilai prestasi mereka; di mana mereka akan kembali meneliti kekuatan dan kelemahan masing-masing sebelum merangka langkah seterusnya.

Benar, kemenangan dalam PRK tidak akan memastikan kemenangan dalam PRU; walau bagaimanapun ianya sedikit sebanyak boleh menggambarkan situasi politik semasa sesuatu tempat.

Namun, semuanya boleh berubah menjelang PRU-15 nanti, sama ada memihak kepada PH atau pun kepada BN; namun sebagai rakyat kita tentunya mengharapkan satu kerajaan yang kuat, mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta menjaga kebajikan rakyat disamping dapat memacu ekonomi negara.