PKR Sah Pecat Azmin – Apakah Gerakan Pilihan Azmin?

Terkini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dipecat keahlian parti (PKR) berkuat kuasa serta merta.

Persoalannya apakah jalan yang akan dipilih Azmin selepas ini?

Menariknya, hari ini akhbar Astro Awani melaporkan bahawa sedang timbul semula spekulasi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Terbaharu, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti tersebut akan membincangkan kemungkinan bagi Mohamed Azmin dan kemnya untuk menyertai parti berkenaan.

Memetik laporan Malaysiakini, perbincangan tersebut akan diadakan tatkala berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di ibu negara pada pukul 4 petang Isnin.

Astro Awani – (Spekulasi Azmin Ali sertai Gerakan timbul sekali lagi)

Menariknya, saya pernah menulis tentang perkara ini pada pertengahan tahun lepas, apabila krisis dalaman PKR mula meruncing dan seolah-olah tidak boleh diselesaikan lagi, di bawah tajuk “Gerakan Lebih Sesuai Untuk Azmin Berbanding PPBM? – Satu Analisa“.

Sebagai penulis amatur yang meminati bidang politik, saya tidak melihat bahawa Azmin akan menyertai parti PPBM seperti yang dispekulasikan oleh ramai pihak pada ketika itu, sebaliknya saya berpendapat bahawa beliau akan memilih sebuah parti politik lain yang lebih menguntungkannya.

Jadi, apakah benar Timbalan Presiden PKR ini akan menyertai bekas ahli komponen Barisan Nasional tersebut, atau adakah ini hanyalah sekadar satu lagi khabar angin di kala keadaan politik negara sedang bergolak?

Spekulasi tentang Azmin akan meninggalkan parti PKR semakin diperkatakan apabila beliau tidak hadir pada mesyuarat parti yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu hari ini.

Nampaknya isu peralihan kuasa politik di antara Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah benar-benar memanaskan keadaan politik Malaysia.

Gerakan Lebih Sesuai Untuk Azmin Berbanding PPBM? – Satu Analisa

Ramai pemerhati politik meramalkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan parti PKR jika pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat diselesaikan.

Namun, apabila Utusan Online melaporkan beliau dijangka akan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), dalam jangka masa terdekat, ianya telah menjadi satu berita yang menggemparkan kerana selama ini ramai pemerhati menjangkakan beliau akan menyertai parti PPBM yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Dalam laporan yang sama, Utusan Online juga menyebut:

Sumber berkata, setakat ini pemimpin PKR yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu masih berbincang dengan pemimpin Gerakan.

Utusan Online (Azmin tinggalkan PKR, sertai Gerakan?)

Isu ini menjadi semakin hangat setelah beberapa media utama melaporkan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memperakui bahawa beberapa orang pemimpin PKR dan pemimpin NGO telah menemui beliau untuk berbincang tentang perkara tersebut.

Malah Naib Presiden dan Setiausaha Agung Gerakan telah membuat kenyataan mereka seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian:

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, parti itu mengucapkan selamat datang kepada Timbalan Presiden PKR itu sekiranya mahu bersama Gerakan.

Sinar Harian (Gerakan terima Azmin dengan tangan terbuka)

Dan di bawah tajuk yang sama, Sinar Harian juga melaporkan:

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk G Parameswaran pula berkata, parti itu mampu ‘bangkit semula’ jika benar Mohamed Azmin menyertai parti tersebut.

Sinar Harian (Gerakan terima Azmin dengan tangan terbuka)

Menariknya, pada masa yang sama, pemimpin PKR bertindak menafikan berita ini, malah ada pemimpin PKR yang menegaskan bahawa Azmin tidak akan meninggalkan parti itu.

Bagi saya, hanya masa yang akan mementukan sama ada benar atau tidak berita bahawa Timbalan Presiden PKR itu akan berpindah ke parti lain.

Saya lebih berminat untuk meneliti kenapa parti Gerakan yang dipilih atau antara yang menjadi pilihan, jika laporan ini benar.

Mungkin ada yang mempertikaikan pemilihan ini, namun memandangkan parti Gerakan kini sedang berada dalam keadaan yang sangat lemah setelah kalah semua kerusi yang ditandingi mereka semasa Pilihan Raya Umun yang lalu, saya kira ini adalah satu langkah yang strategik.

Parti Gerakan juga kini bersendirian setelah meninggalkan Barisan Nasional.

Jika Datuk Seri Azmin menyertai parti Gerakan, ianya bukan sahaja dapat memberi nafas baru kepada parti tersebut, tetapi juga menjadikan parti Gerakan lebih besar kerana sudah tentu pengikut setia Timbalan Presiden PKR itu akan turut berpindah bersama-sama beliau.

Dalam keadaan ini, Datuk Seri Azmin berada pada keadaan yang lebih baik untuk mendapatkan kedudukan yang lebih tinggi di dalam parti berbanding jika beliau berpindah ke parti PPBM.

Malah dari segi logik, Datuk Seri Azmin memang memerlukan sebuah parti baru yang konsepnya berbilang kaum, memandangkan terdapat pemimpin bukan Melayu yang dikatakan berada dalam ‘kem Azmin’; maka keadaan akan menjadi agak sukar jika beliau memilih PPBM kerana beliau tentunya memerlukan sokongan mereka untuk melangkah lebih jauh.

Dari sudut yang berbeza, jika Datuk Seri Azmin berjaya membawa ramai pengikutnya berpindah bersama-samanya, ianya berkemungkinan boleh memberi tekanan ke atas dasar, prinsip dan ideologi parti Gerakan; jika kedua-dua pihak mempunyai pandangan politik yang berbeza.

Perkara sebegini harus diberi perhatian oleh remaja seperti saya, memandangkan jika PRU 15 berlangsung selepas tahun 2021, kemungkinannya sebahagian daripada kami akan layak mengundi.

Maka demi #Undi18, remaja mesti lebih fokus akan isu semasa dan menjadi celik politik.


Perang Anwar-Azmin – Siapa Terpaksa Undur?

Pergolakan parti PKR, kian memuncak di mana pemimpin-pemimpin parti tersebut tidak lagi segan untuk membuat berbagai kenyataan terbuka tentang perkara itu.

Saya tidak berminat untuk mengulas isu ini, sehinggalah saya terbaca kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta YB Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya, “look at the man in the mirror” atau “melihat ke dalam cermin,” seperti yang dilaporkan pelbagai media utama; serta ditambah pula oleh kenyataan bersama oleh 28 orang ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR hari ini yang bertajuk, “Hentikan Usaha Memecahbelahkan Parti”.

“Baca gerak bibir saya. Beritahu dia (Anwar), dia patut lihat dirinya dalam cermin”. “Muhasabah. Suruh Anwar untuk muhasabah. Tolong lihat dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Utusan Online (Cermin muka dia dulu – Azmin)

“Read my lips … Tell him he must look at the man in the mirror,” he told reporters at the Parliament lobby on Wednesday (July 17). Asked to explain his comments, Azmin said: “Ask Anwar to reflect on his own actions (muhasabah).”

The Star Online (Azmin to Anwar: Look at the man in the mirror)

Pemerhati politik telah memberi berbagai komen dan analisa tentang perkara ini, dan seperti mereka, kebanyakan rakyat Malaysia, tidak kira daripada parti mana pun sedang memerhatikan apa yang sedang berlaku.

Setakat ini nampaknya pemimpin DAP kurang bersuara mengenai perkara ini, namun mereka juga dihimpit masalah contohnya laporan polis ke atas exco Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dikatakan juga telah mengaitkan kerajaan Indonesia.

Sebagai rakyat Malaysia, saya merasa perkara ini agak meresahkan, kerana mereka yang terbabit adalah daripada parti pemerintah yang sepatutnya fokus kepada isu membina negara bangsa ke arah yang lebih gemilang.

Semoga pemimpin tertinggi kerajaan dapat mencari penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah ini demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Bak kata pepatah, tukang tidak membuang kayu.

Kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali , “look at the man in the mirror” mengingatkan saya kepada lagu dengan tajuk yang hampir sama nyanyian penyanyi terkenal, Micheal Jackson, ‘Man In The Mirror’.

%d bloggers like this: