Kadir Jasin Tepis Dakwaan Anwar

7 06 2018

HARIAN METRO – DATUK A Kadir Jasin menafikan tuduhan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau menggunakan kedudukannya yang dekat dengan kerajaan untuk menyerang Raja-Raja Melayu menerusi catatan blognya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, catatan di dalam blognya adalah hanya pandangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang disandangnya.

Sehubungan itu, Kadir tidak berhasrat mencetuskan polemik dengan Anwar dan berharap sesiapa yang membaca catatannya semalam supaya memahami terlebih dahulu kandungan serta merujuk kepada rencananya di sebuah akhbar pada 27 Mei serta catatan lain yang ditulis di blognya, bertarikh 4 Jun lalu.

“Berkenaan tuduhan Saudara Anwar bahawa saya ‘menggunakan kedudukan saya yang dekat dengan kerajaan untuk menyerang Raja-Raja Melayu’ adalah tidak benar oleh sebab saya secara terbuka berkata dalam mukadimah tulisan saya bahawa segala pendapat adalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang mungkin saya sandang.

“Berkenaan dengan apa yang Anwar maksudkan sebagai ‘fakta yang boleh dipertikaikan’ itu, silalah pertikai dan berikanlah fakta yang betul. Kalau saya silap saya akan buat pembetulan dan saya mohon ampun.

“Saya tidak pertikai. Saya hanya berkata Raja-Raja tidak perlu jaminan atau keselesaan kerana kedudukan mereka dijamin oleh Perlembagaan.

“Saya tidak menafikan hakikat ‘Pakatan Harapan berusaha keras untuk mendapatkan sokongan Raja-Raja Melayu’. Cuma kemudian baru saya tahu bahawa selain Anwar, ada pemimpin lain PH yang menghadap Raja-Raja,” katanya dalam blognya, hari ini.

Semalam, Kadir dalam catatan blognya menulis kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kadir mendakwa purata RM16 juta sebulan dibelanjakan oleh Yang di-Pertuan Agong membabitkan penginapan, kediaman, barangan peribadi, pengangkutan dan pelbagai lagi perbelanjaan lain.

Susulan itu, Anwar membidas kenyataan Kadir yang menyifatkan kritikan itu dibuat tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk memberi maklum balas.

Anwar juga mahu Kadir menunjukkan penghormatan dan ketertiban dalam menyuarakan pandangan kerana kritikan berkenaan sebagai sesuatu yang tidak sihat jika menggunakan kedudukannya.

Pandangan Kadir itu turut mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan meneliti dakwaan peruntukan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dikatakan mencecah RM257 juta bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Advertisements







%d bloggers like this: