TERKINI – ADUN PKR Johor Keluar Parti

ADUN Pemanis, Dr. Chong Fat Full, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun secara rasminya keluar parti tersebut, dan menyertai Gabungan Baharu yang merupakan kerajaan di negeri Johor.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad di dalam sebuah sidang media bersama-sama dengan Dr. Chong.

Sila tonton rakaman penuh sidang media tersebut di sini.

Dr. Chong menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat pagi tadi, dan keputusan itu adalah amat sukar untuk dibuat.

Dr. Chong semasa sidang media tersebut.

Beliau yang telahpun menjadi ahli PKR selama 11 tahun, menyifatkan perkara tersebut sebagai sebuah “matured” decision, setelah meminta pandangan ahli keluarganya dan rakyat di kawasannya.

Ia bukan satu keputusan yang senang dibuat. It’s a very painful decision (ia satu keputusan yang sukar dibuat), and ia bukan satu keputusan yang ikut hati saya sendiri. It’s a matured decision (ia satu keputusan yang matang), di mana saya sudah buat consultation (telah meminta nasihat) dengan penyokong saya, dengan pengundi saya, famili, kawan-kawan. Dan lepas tu, sudah fikir bagi saya cukup matang, saya baru buat keputusan. Pagi ini saya baru buat.

Dr. Chong Fat Full

Dr. Chong mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Baharu kerana bersikap sangat sabar dengannya semasa proses ini.

Apabila ditanya oleh wartawan tentang khabar angin tentang caj yang dikenakan kepada ahli untuk keluar parti, beliau menyifatkan perkara tersebut kurang penting berbanding kepentingan rakyat Pemanis dan Johor.

“I will decide for the good of the people first … macam mana pun we have to face it.”

Dr. Chong Fat Full

Kerajaan Johor percaya bahawa adalah amat penting bagi barisan exco untuk diwakili oleh bukan sahaja ADUN berbangsa Melayu, tetapi juga bangsa-bangsa lain.

Menurut Hasni, gandingan Gabungan Baharu antara Barisan Nasional, BERSATU dan PAS tidak memiliki sebarang wakil rakyat dalam kalangan masyarakat kaum Tionghwa, maka beliau yaking dan percaya bahawa sekiranya diperkenankan kehadiran Dr. Chong dalam Gabungan Baharu, beliau akan jadi suara yang mewakili masyarakat kaum Tionghwa.

Dr. Chong kini belum menyertai mana-mana parti dan bergerak sebagai seorang ADUN bebas.

VIDEO – Rakaman Penuh Sidang Media Menteri Besar Johor

UMNO Johor Saran Kabinet Baru Bersih, Berintegriti dan Bebas Rasuah

UMNO Negeri Johor mencadangkan agar lantikan jemaah menteri yang bakal dibuat dalam masa terdekat dilakukan secara profesional dengan memilih individu bersih, berkualiti, serta berintegriti.

Menurut Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday, kabinet baharu di bawah Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak seharusnya dilihat sebagai kabinet Melayu sahaja, dan menteri-menteri haruslah mempunyai nama yang bersih bagi menjaga imej negara.

“Ahli Parlimen yang menghadapi tuduhan mahkamah tidak boleh menjadi sebahagian daripada kabinet baru kerana ia membabitkan soal kepercayaan dan integriti.”

Kata Md Jais, dengan perkembangan mutakhir politik negara, ia adalah harapan terakhir kerajaan untuk melantik individu yang dapat mengubah ekonomi dan membantu meringankan beban rakyat, seperti yang berlaku sebelum ini.

“Tan Sri Muhyiddin juga diharapkan tidak melantik Ahli Parlimen yang mempunyai latar belakang tercemar untuk menjadi sebahagian dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk.

“Namun, ada cara lain untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia termasuk memberi kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya di dalam sebuah kenyataan yang dilapor oleh akhbar Harian Metro hari ini.

Beliau juga yakin bahawa Menteri Besar Johor ke-18, Datuk Hasni Mohammad, akan melantik barisan Exco secara profesional termasuk wakil masyarakat Cina dan India dalam kepimpinannya.

“Saya percaya beliau (Hasni) seorang pemimpin berpengalaman, dapat melakukan yang terbaik untuk memperbaiki ekonomi negeri dan membantu rakyat,” katanya.