Ayob Khan Dilantik Pengarah JSJN

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman. 

Beliau menggantikan Datuk Razaruddin Husain yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 26 Disember ini. 

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Ruslan Khalid berkata, jawatan Ayob Khan diisi Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

“Kekosongan ditinggalkan Kamarul Zaman digantikan oleh Timbalan Pengarah (Integriti)  Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Deputi Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dengan memangku pangkat Komisioner,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pertukaran ketiga-tiga pegawai kanan itu berkuat kuasa 25 Januari depan.- Utusan Digital

Kewajipan Mentaati Raja Sebagai Ulil Amri

Baca versi Jawi di sini.

Kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay apabila beliau menjelaskan tentang konsep ulil amri dalam konteks Malaysia telah menarik perhatian saya.

Umumnya, kita tahu bahawa ajaran Islam mewajibkan rakyat supaya mentaati ulil amri; namun ada antara kita yang keliru tentang siapakah ulil amri dalam konteks pemerintahan negara kita?

Mengenai hal ini, Datuk Ayob Khan menegaskan:

Kita sebagai orang Islam, yang pertama kita taat kepada Allah, (kedua ialah) Rasul, yang ketiga ni ulil amri. Dalam konteks kita ni ulil amri ni Rajalah, Sultan. Kalau kita tidak boleh menerima hakikat tu, memang saya rasa tindakan undang-undang perlu diambil.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Justeru, mentaati Raja-raja Melayu sebagai ulil amri adalah satu kewajipan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Hal ini adalah selaras dengan ayat 59 surah An-Nisa yang bermaksud:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Surah An-Nisa, ayat 59

Bersesuaian dengan hal ini, “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” dijadikan prinsip kedua Rukun Negara selepas prinsip pertamanya iaitu, “Kepercayaan Kepada Tuhan.”

Sejak sekian lama sebelum lahirnya Persekutuan Tanah Melayu, sudah ada kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat di Tanah Melayu yang mengamalkan sistem pemerintahan Beraja Mutlak. Ketika itu kuasa pemerintahan terletak pada Raja-raja Melayu dengan dibantu oleh menteri Baginda.

Sehingga kini, Malaysia masih mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Perbezaannya, kini Malaysia mfengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan setelah Raja-raja Melayu mengorbankan kuasa mutlak baginda untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Namun, walaupun negara mengamalkan sistem demokrasi, asas kenegaraan kita masih sama di mana Raja merupakan pemimpin utama negara seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga dalam perlembagaan-perlembagaan negeri.

Malangnya, terdapat dalam kalangan rakyat yang gagal memahami dan menghormati konsep kenegaraan kita.

Ada yang terlalu mengagungkan sistem asing dan mahukan ia diterapkan di negara ini.

Mereka bukan sahaja menghina Raja-raja Melayu secara terbuka, malah sanggup memfitnah. Contoh yang amat jelas adalah fitnah jahat ke atas Almarhum Sultan Iskandar.

Sila baca: Almarhum Sudah Mangkat, Prebet Adam Sudah Tiada; Masihkah Kita Sebarkan Fitnah?

Bahkan, sudah ada yang berani menyatakan hasrat untuk menghapuskan institusi tersebut.

Menurut Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay lagi, telah wujud gerakan-gerakan yang bertujuan untuk menghapuskan institusi diraja di Malaysia.

Ini gerakan orang-orang mudalah. Ini pun sering mendapat input ataupun inspirasi daripada negara luar yang cuba untuk mengguling institusi diraja. Yang ni saya rasa kalau ada lagi, kita akan ambil tindakan di bawah Chapter 6 (Akta Kanun Keseksaan, iaitu) SOSMA.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Jangan kita alpa tentang kepentingan institusi diraja dalam mengekalkan kestabilan negara; contohnya pada saat negara mengalami krisis politik pada awal tahun 2020.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Baginda Raja-raja Melayu adalah tonggak pemerintahan negara yang menjamin semak dan imbang kepada sistem politik negara.

Hormatilah undang-undang negara; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Johor Datang Dengan Pelbagai Pakej, Tawar “Cabaran dan Pengalaman Tersendiri” – Ayob Khan

“Johor datang dengan pelbagai pakej”. Begitu jawapan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ditanya mengenai cabaran beliau memimpin Kontinjen Johor dalam menjaga keamanan dan mengekang penularan pelbagai aktiviti jenayah di selatan tanah air.

Selain tugas hakiki beliau dalam menangani isu jenayah, beberapa isu yang menjadikan Johor “unik” dari segi cabaran yang dihadapi turut disentuh termasuk landskap geografi tersendiri berbanding negeri-negeri lain selain isu-isu yang turut berkait rapat dengan hubungan dua hala dengan dua negara jiran.

“Di Johor, kita ada kawasan persisiran pantai yang luas, keseluruhan Pantai Timur dan Pantai Barat saya rasa kita ada kira-kira 530 kilometer. Bila ada kawasan pantai yang luas, kita ada banyak isu. Isu penyeludupan manusia, penyeludupan barang-barang kontraban – rokok, arak dan sebagainya.

Selain itu, kita juga bersempadan dengan dua negara Indonesia dan Singapura, jadi adalah isu-isu berkaitan bilateral (hubungan dua hala) yang melibatkan Johor dan dua negara berkenaan,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Sila baca: “Jika Ada Lagi Kes Bendera, Saya Akan Tangkap Lagi” – Datuk Ayob Khan (Video)

Meskipun baru masuk bulan kelima beliau memegang jawatan itu, pelbagai pencapaian telah dicapai dengan yang terbesar sekali tertumpasnya sebuah rantaian sindiket penyeludupan migran asing “Geng Otong” di perairan Timur Johor.

Ia sekali gus membawa kepada pendakwaan terbesar dalam sejarah iaitu 51 anggota sindiket pada 2 Julai lepas.

Ketika ditanya apa strategi beliau dalam menangani isu yang sememangnya “berpuluh-puluh tahun” sukar dipatahkan, beliau bukan seorang yang suka mendabik dada dan tidak lupa mendedikasikan usaha dan kejayaan itu kepada seluruh anak buahnya terutama pegawai kanan — Ketua Jabatan Siasatan Jenayah  (Risikan/Operasi) Johor SAC Md Yusof Ahmad.

“Saya mempunyai satu pasukan yang amat mantap. Saya boleh katakan 95 peratus pegawai dan anggota saya berdedikasi, komited, berintegriti dan memberi sokongan padu kepada semua misi dan arahan-arahan yang saya berikan.

Satu contoh pegawai yang baik dan selalu saya jelaskan dan berkongsi dengan pihak media adalah SAC Md Yusof Ahmad.

Beliau seorang yang berpengalaman dan dalam konteks menangani isu-isu jenayah dan migran ni, beliaulah penggerak utama dalam negeri Johor dan dengan kepakaran dan komitmen beliau dan pegawai serta anggota bawahan, kita banyak melancarkan operasi-operasi ke atas migran,” kata ketua polis negeri berusia 54 tahun itu. 

Tambahnya lagi, Polis Kontinjen Johor turut merintis “formula baru” dalam membanteras jenayah penyeludupan migran ini dengan memastikan siasatan ke atas keseluruhan rantaian sindiket mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang kini turut diikuti oleh negeri-negeri lain.

Anak kelahiran Pendang, Kedah itu, sememangnya wajah yang tidak asing lagi dan seringkali namanya meniti di bibir masyarakat terutama dengan ketegasannya dalam membasmi aktiviti jenayah dan yang lebih terserlah lagi bila menyentuh mengenai integriti kepolisian yang sangat dekat dengan hati beliau.

“Sebagai Ketua Polis Johor, dari hari pertama saya di Johor, saya sudah tegaskan isu integriti ini saya tidak akan bertolak ansur. Saya sudah cakap dari awal lagi, sebarang pelanggaran tatatertib, bersekongkol dengan elemen-elemen jenayah, saya akan tangkap.

Saya tidak akan mengambil tindakan di bawah siasatan dalaman. Saya tidak akan serahkan kepada Jabatan Integriti dan (Pematuhan) Standard yang biasa dibuat. Saya akan tangkap. Kalau ambil rasuah, saya akan  tangkap!,” tegas beliau yang mula memimpin Kontinjen Johor sejak akhir Februari, tahun ini.

Ini dibuktikan dengan penahanan seramai 23 pegawai dan anggota penguat kuasa dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan migran di pantai timur Johor setakat 3 Julai lepas.

Aktiviti penyeludupan migran di Pantai Timur Johor iaitu merangkumi Daerah Mersing dan Kota Tinggi kini sudah 95 peratus berjaya dipatahkan.

Tumpuan beliau seterusnya adalah untuk memastikan usaha mengekang penyeludupan migran dapat dipatahkan di kawasan Pantai Barat Johor pula. -{BERNAMA]

Seorang Ditahan Pasang Jalur Gemilang Terbalik di Johor

Seorang wanita warga tempatan ditahan kerana dipercayai memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita berumur 55 tahun itu, yang juga pemilik premis berkenaan ditahan susulan satu laporan polis yang dibuat pada hari sama.

Sila baca: “Jika Ada Lagi Kes Bendera, Saya Akan Tangkap Lagi” – Datuk Ayob Khan (Video)

“Hasil siasatan mendapati premis ini menjalankan perniagaan kedai makan sejak tahun 2017 hingga hujung Disember 2019 dan tidak lagi beroperasi sejak Januari tahun ini.“Pemasangan bendera terbalik ini adalah sejak premis beroperasi iaitu pada tahun 2017 sehingga aduan dibuat oleh orang awam. Kenapa baru sekarang dilaporkan? Saya fikir kerana kesedaran orang ramai mulai meningkat sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata turut dirampas adalah sehelai Jalur Gemilang.

Menurut beliau, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Lambang & Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. —{BERNAMA]

“Jika Ada Lagi Kes Bendera, Saya Akan Tangkap Lagi” – Datuk Ayob Khan (Video)

Baca versi Jawi di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sekali lagi menegaskan bahawa polis Johor tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang mengibarkan bendera negara dan negeri secara terbalik di Johor.

Merujuk kepada kes yang berlaku di Johor dua hari lepas di mana empat orang ditahan polis kerana mengibarkan bendera Malaysia dan Johor secara terbalik, beliau menegaskan bahawa bendera bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah, dan tindakan mesti diambil ke atas mereka yang berbuat sedemikian.

Sila baca: 4 Suspek Ditangkap Kerana Pasang Bendera Malaysia dan Johor Terbalik

Ketika satu wawancara dalam program Soal Rakyat di TV3 semalam, Datuk Ayob menerangkan betapa pentingnya bendera dan maruah bendera.

“Isu bendera ni bukan isu yang remeh … Ada kes kalau kita ingat lagi waktu Sukan SEA (2017), kita tersilap cetak satu bendera negara jiran, colour (warna) sahaja … Menteri Belia dan Sukan terpaksa pergi mohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan negeri tersebut. Itulah tahap pentingnya bendera dan maruah bendera ni.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sila baca: Maksud Tersurat dan Tersirat Di Sebalik Jalur Gemilang Yang Harus Kita Fahami

Datuk Ayob berkata bahawa fungsi utama polis adalah untuk menguat kuasa undang-undang dan dalam isu bendera, perkara ini telah terlalu lama berlarutan dan amaran telah diberikan.

Sudah tiba masanya pihak polis bertindak tegas ke atas isu bendera demi maruah bangsa.

“Saya ingat sejak empat, lima tahun ke belakang ni isu ini adalah isu yang tak habis-habis. Saya dah bagi amaran sekali, dan semalam ada satu kes, memang saya akan tangkap.

“Saya kata saya akan tangkap bukan yang memasang bendera, tapi termasuk pemilik kilang, pengurus syarikat, yang bahagian personelnya, kerani pun akan diambil. Ini yang sepatutnya orang tempatan, yang bukannya berusia enam tahun, yang berusia enampuluh tiga tahun. Kita dah merdeka pun dah enampuluh tiga tahun … takkan tak dapat membezakan?”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sebelum ini, telah berlaku banyak kes di mana bendera negara, negeri dan daerah dikibarkan secara terbalik atau secara salah di seluruh negara, namun lazimnya tindakan tegas tidak diambil.

Sila baca: Why Was the Johor Flag Flown Upside Down at the Desaru Tunamaya?

Menurut Datuk Ayob, kini polis Johor tidak akan bertolak ansur lagi dalam hal ini.

“Saya tidak boleh bertolak ansur lagi. Saya tak tahulah mungkin negeri lain mereka boleh beri nasihat lagi, saya tak akan beri nasihat. Kalau ada lagi di Johor, memang saya akan tangkap lagi. Saya akan tangkap daripada A sampai Z.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sila baca: Datuk Ayob Mengingatkan Orang Politik Jangan Ganggu Tugas Polis

Datuk Ayob turut menjelaskan bahawa beliau tidak akan memberi pengecualian kepada mana-mana pihak dalam mengambil tindakan dan menguatkan kuasa undang-undang, tidak kira status individu tersebut.

“Saya rasa kalau saya beri amaran pun tak guna juga … semua orang beri amaran. Yang pasti, saya akan meneruskan operasi saya tanpa tolak ansur. Kepada semua pihak sama ada penjenayah ke, ahli politik ke, individu-individu tertentu ke, saya tidak akan bertolak ansur. Saya akan terus menguat kuasa undang-undang dengan tegas dan adil, tanpa bertolak ansur.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sila baca: Ahli Parlimen, Bekas Timbalan Menteri Disiasat Kerana Sebar Berita Palsu

Beliau juga mengingatkan bahawa polis perlu bersikap cekap dan proaktif, dan tidak hanya mengambil tindakan apabila isu telah dibangkit, tetapi sebaliknya harus sentiasa menjalankan operasi agar isu-isu tersebut dapat ditangani sebelum berleluasa.

“Kalau kita buat operasi (secara) berterusan, kita akan dapat menimbulkan keyakinan masyarakat terhadap polis. Polis buat kerja, polis mengambil tindakan proaktif. Janganlah ada satu isu baru kita nak ambil tindakan. Ada satu isu orang awam dilanggar oleh pemandu mabuk, baru kita nak buat operasi ke atas pemandu mabuk … Itu saya kata kurang tepat.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Datuk Ayob Mengingatkan Orang Politik Jangan Ganggu Tugas Polis

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan meminta ‘orang politik’ tidak mengganggu urusan dan kerja-kerja kepolisan.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis adalah petugas awam yang fungsi serta peranan mereka adalah menguatkuasakan undang-undang.

Sila baca: Temubual Khas MGTV Bersama Datuk Ayob Khan

Katanya, dalam tindakan beliau dan pegawainya dalam menguatkuasakan sesuatu undang-undang itu, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju.

Ujar Ayob, sewaktu beliau bertugas di Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dan menangkap beratus-ratus orang anggota Jemaah Islamiah (JI) dulu termasuk pengikut Darul Islam dan Daesh, tidak ada pun yang ‘merungut’.

“Tetapi kenapa bila saya tangkap ADUN DAP dalam kes kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ia boleh menjadi isu sampai peringkat nak pinda undang-undang sebagainya, ini apa cerita?

“Adakah sebab mereka DAP saya tak boleh ‘sentuh’? Adakah mereka di atas undang-undang? Jadi kena adillah dan jangan campur tangan dalam kerja-kerja polis.

“Kami hanya petugas awam yang akan pencen bila umur mencecah 60 tahun…kami tidak ‘bias’ dan berpihak, kalau sesuatu perkara itu salah dari segi undang-undang, maka salahlah,” kata Ayob.

Beliau berkata demikian dalam temuramah khas dengan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru baru-baru ini.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran sebelum ini pernah dituduh memberi sokongan kepada LLTE.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan beliau selepas mendapat arahan daripada Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding.

Gunasekaran, 60, sebelum ini dituduh bersama-sama ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; pengusaha restoran, B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28.

Pada 31 Oktober lalu, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Jabatan Peguam Negara juga sebelum ini membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan LTTE.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang. –{MalaysiaGazette]

Temubual Khas MGTV Bersama Datuk Ayob Khan

SETELAH sekian lama berjuang memerangi elemen keganasan dan militan melalui Cawangan Khas (SB), Datuk Ayob Khan dinaikkan pangkat ke Komisoner Polis dan dilantik sebagai Ketua Polis Johor.

Kehadirannya di Johor ternyata menggusarkan ramai penjenayah, anggota kongsi gelap dan tekong-tekong pemerdagangan manusia di sana.

Ikuti temubual eksklusif dengan lelaki yang cukup digeruni kerana ketegasannya tanpa mengenal kawan dan lawan ini! -{MalaysiaGazette]

Ahli Parlimen, Bekas Timbalan Menteri Disiasat Kerana Sebar Berita Palsu

Baca versi Jawi di sini.

Polis Johor sudah membuka siasatan terhadap seorang Ahli Parlimen dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyebarkan berita palsu di sini malam tadi.

Ia mendakwa situasi di luar kawalan berlaku apabila ribuan pekerja Malaysia di Singapura bersesak-sesak untuk pulang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sekiranya benar tindakan tegas akan diambil tanpa mengira status mereka kerana perbuatan tersebut tidak bertanggungjawab dan menimbulkan kegusaran awam.

“Laporan mengenai isu ini sudah dibuat oleh Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir di Balai Polis Larkin jam 11.30 pagi tadi dan siasatan diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terklas Bukit Aman.

“Kita tidak ada dua undang-undang, satu untuk orang awam dan satu lagi untuk Ahli Parlimen. Semua orang adalah sama dan jika melakukan kesalahan akan disiasat di bawah undang-undang yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor di sini hari ini.

Menerusi akaun Facebook milik Ahli Parlimen berkenaan kira-kira jam11 malam tadi, disiarkan video dengan durasi 1 minit 4 saat menunjukkan orang ramai bersesak-sesak di bangunan tersebut sebelum menjadi viral dalam media sosial.

Di samping video yang dimuat naik itu, Ahli Parlimen itu meletakkan kapsyen: “Sedang berlaku di CIQ JB, situasi di luar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapura cuba balik ke Malaysia secara beramai-ramai. Harap adalah hotel lima bintang untuk quarantine mereka.”

Ayob Khan berkata, siasatan juga akan dilakukan adakah dakwaan itu benar-benar daripada Facebook Ahli Parlimen berkenaan atau pun daripada akaun Facebook palsu, tetapi menggunakan nama wakil rakyat tersebut.

Katanya, siasatan mendapati video berkenaan merupakan visual pada tahun lalu semasa latihan kebakaran dilakukan di bangunan berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

Dalam pada itu, semakan di akaun Facebook milik Ahli Parlimen tersebut pada petang ini mendapati wakil rakyat dari Pahang itu sudah pun membuat permohonan maaf dalam status terbaharunya. – Sinar Harian

Gambar Sekitar Majlis Tahlil A. Karim Omar

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah S.W.T., majlis tahlil ayahanda kesayangan kami, Allahyarham Tuan Haji A. Karim bin Omar telahpun berjalan dengan lancar selama 3 malam berturut-turut.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan majlis tahlil ini.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T., Amin.

Al-Fatihah.

%d bloggers like this: