Dakwah adalah elemen yang sangat penting dalam usaha membentuk kehidupan yang sejahtera. Apabila manusia berjaya didakwahkan supaya taat kepada Allah SWT, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara buruk yang merosakkan kehidupan mereka, kehidupan orang lain dan keadaan alam sekitar.
Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.
Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan
Namun, apabila bercakap soal dakwah, ada dalam kalangan masyarakat yang merasakan bahawa tugas berdakwah hanya terletak di bahu golongan yang tertentu sahaja, khasnya mereka yang pakar dalam bidang agama.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyedarkan masyarakat bahawa tugas berdakwah adalah satu kewajipan dan tanggungjawab asas bagi setiap umat Islam, tanpa mengira siapapun kita.
Ibu bapa mesti berdakwah kepada anak-anak, abang dan kakak boleh berdakwah kepada adik-adik, doktor boleh berdakwah kepada pesakit, para remaja hendaklah berdakwah kepada rakan sebaya dan begitulah seterusnya.
Allah S.W.T. berfirman di dalam ayat 104 Surah Ali Imran bahawa hendaklah ada di antara kita sebagai umat Islam yang berdakwah untuk membawa kepada kebaikan serta mencegah daripada perkara yang salah dan merosakkan.
Konsep amar makruf nahi mungkar adalah konsep yang amat penting di dalam ajaran agama Islam, dan ianya merupakan teras utama dalam gerakan dakwah.
Firman Allah SWT:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.
(Surah Ali Imran: 104)
Dakwah boleh dilakukan secara langsung maupun secara tidak langsung, contohnya mempraktikkan akhlak dan keperibadian terpuji seperti yang dituntut oleh agama kita juga merupakan satu usaha dakwah yang berkesan.
Para remaja yang sepatutnya lebih memahami perasaan golongan remaja patut berdakwah kepada rakan sebaya dan saling ingat-mengingati dalam usaha kita untuk menjadi insan-insan yang lebih baik.
Remaja hari ini sepatutnya lebih berhemah tinggi hasil daripada didikan ibu bapa yang lebih berpelajaran, menikmati proses pendidikan formal yang berkualiti serta memperolehi pelbagai manfaat hasil daripada program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dan kementerian-kementerian yang berkaitan. Malangnya, hasil kajian mendapati bahawa perkara yang sebaliknya telah berlaku di mana semakin ramai golongan remaja terlibat dalam gejala sosial.
Apakah masyarakat hari ini hanya mementingkan pendidikan akademik semata-mata sehingga mengabailan soal membentuk moral dan tingkah laku generasi muda?
Tanpa pengisian kerohanian yang menyeluruh, jiwa remaja menjadi kosong dan ini menjadi punca kepada berlakunya masalah kecelaruan mental dan pelbagai masalah mental lainnya, yang jika tidak ditangani dengan tuntas, akan menyebabkan negara terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja.
Aspek kerohanian di dalam kehidupan seharian semakin lama semakin terhakis sehingga ada yang menganggap soal ibadat hanyalah suatu ritual, seterusnya gagal membudayakan kehidupan beragama.
Kegagalan membudayakan kehidupan beragama telah memporak-perandakan kehidupan manusia kerana agama merupakan paksi kepada kehidupan yang sejahtera.
Maka gerakan menghidupkan budaya dakwah dalam kalangan remaja patut diberi keutamaan sebagai salah satu usaha kita untuk membentuk masyarakat yang lebih cemerlang.
Jika remaja boleh dibangkitkan untuk membangkitkan rakan-rakan sebaya menuju ke arah kebaikan dan menolak segala kemungkaran, maka gerakan ini boleh menjadi satu gerakan yang dinamik dalam membentuk satu generasi yang berkualiti.
Kalau pelbagai budaya negatif contohnya hendonisme berjaya dipromosikan sebagai satu budaya yang membanggakan, lantas diangkat oleh sebahagian remaja sebagai cara hidup mereka, kenapa kita tidak berusaha untuk menerapkan nilai murni budaya dakwah sebagai satu budaya yang boleh diterima oleh remaja?
Walaupun dari segi realitinya, tidak semua remaja akan dan mahu menerima gerakan ini namun bayangkan jika beberapa kumpulan remaja berjaya didakwah untuk bukan sahaja menjadi insan yang baik, tetapi juga mengajak rakan dan kenalan mereka menuju ke arah kebaikan, suatu waktu nanti ianya akan menjadi satu budaya hidup golongan remaja.
Ianya bukanlah satu perkara yang mustahil untuk menjadi kenyataan jika dirancang dengan baik dan dilakukan dengan ikhlas demi mendapatkan kerehaan Allah SWT. Perkembangan budaya negatif juga memakan masa yang lama sebelum diterima sebagai lumrah kehidupan dan kemudiannya diangkat sebagai cara hidup oleh mereka yang terlibat.
Malangnya perkara ini agak sukar untuk digerakkan secara bersepadu tanpa sokongan dan dokongan pihak yang berpengaruh dan berkemampuan untuk menyediakan prasarana yang kondusif serta merangka strategi yang berkesan.
Namun walaupun tidak bergerak di bawah satu gerakan yang besar, para remaja masih boleh menunaikan tanggungjawab berdakwah bermula daripada menasihati diri sendiri untuk menjadi insan yang lebih baik, seterusnya menolong orang lain menjadi lebih baik di samping berusaha untuk memelihara kelestarian alam sekitar.
Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak membudayakan nilai-nilai murni serta memberi kesedaran dan membimbing mereka untuk hidup berpandukan ajaran agama adalah amat penting untuk melahirkan generasi muda yang kental imannya serta sayangkan agama.
Namun jika ibu bapa tidak pernah memperkenalkan anak-anak mereka kepada dunia dakwah maka ianya menjadi satu dunia yang begitu asing kepada anak-anak mereka.
Remaja sebagai bakal pemimpin hari esok harus kembali kepada fitrah dan bangkit untuk berdakwah dalam setiap perkara yang kita lakukan agar ianya menjadi sebahagian daripada budaya hidup remaja. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.