Restoran, Kedai Makanan Kekal Beroperasi – KPDNHEP

Kerajaan membenarkan kedai makanan dan restoran boleh meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun, ia hanya untuk dibungkus dibawa balik atau melalui atas talian sahaja.

Menurut Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, orang ramai tidak dibenarkan untuk makan atau berkumpul beramai-ramai di premis-premis berkenaan.

“Terpulang kepada kebijaksanaan pengendali restoran atau peniaga untuk menjual barangan makanan namun hanyalah untuk belian ‘take away’ atau membelinya melalui atas talian.

“Kita tidak galakan apa-apa aktiviti berkumpul dalam kuantiti besar di luar, jadi untuk makan-makan di luar tidak boleh.

“Pasar malam juga tidak boleh ya, apa guna kita keluarkan perintah kawalan pergerakan jika semua ini dibuka, objektif perintah itu tidak masuk akal nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 2,500 penguatkuasa seluruh negara akan dikerahkan memantau harga barang-barang kawalan pada setiap waktu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan,” jelasnya.

Solat Jumaat di Wilayah Persekutuan Diteruskan

[Malaysiakini}- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad mengumumkan bahawa solat Jumaat di Wilayah Persekutuan untuk hari ini diteruskan.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Covid-19: Solat Jumaat Boleh Tidak Dilakukan, kata Menteri Agama

[Free Malaysia Today}- Solat Jumaat boleh untuk tidak dilakukan sekiranya keadaan wabak koronavirus Covid-19 merebak tanpa terkawal menurut Kementerian Kesihatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad.

“Tetapi wajib diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli menjelaskan terdapat beberapa garis panduan dalam hal itu, pertama sekali larangan perlu dikeluarkan oleh pemerintah berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.

Seterusnya, larangan tersebut termasuk juga sebarang bentuk acara dan perhimpunan rasmi atau tidak, wabak sudah menunjukkan kesannya dan ramai disahkan positif Covid-19, dan pihak bertanggungjawab sudah menjalankan pemeriksaan yang rapi jemaah yang menghadiri masjid atau surau dalam tempoh jangkaan penularan wabak.

Terdahulu, Zulkifli pada satu sidang media memaklumkan Jabatan Perdana Menteri sudah menyediakan 5 kertas kerja berkaitan Covid-19 bagi solat Jumaat dan aktiviti keagamaan untuk dibentang di Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Perbincangan mengenai kertas kerja itu, yang juga memasukkan panduan berkaitan, akan diputuskan dalam masa 2 atau 3 hari lagi.

Sebuah badan pemikir, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa rumah ibadat, termasuk surau, masjid, kuil dan gereja supaya tidak mengadakan perhimpunan dan majlis keagamaan besar susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan.

Perkembangan ini selepas pihak berkuasa mengesahkan seorang individu yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di sebuah masjid antara kes Covid-19 terbaru, dan pihak berkuasa sedang menjejaki ribuan peserta lain.

Covid 19: Hukum Solat di Masjid Semasa Wabak

[Berita Harian}- Individu yang bergejala seperti batuk, selsema dan demam serta khuatir dijangkiti COVID-19, dinasihatkan untuk tidak menunaikan solat berjemaah di masjid.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, menjelaskan individu terbabit tidak wajib untuk menunaikan solat fardu atau solat Jumaat di masjid, jika bimbang akan menjangkiti orang lain.

“Ada beberapa perkara boleh dipanggil uzur diizinkan syarak, yang membolehkan kita tidak mengerjakan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat, antaranya ialah sakit atau berada dalam keadaan takut.

“Orang yang sakit, khususnya dijangkiti coronavirus tidak wajib pergi ke masjid. Itu jelas.

“Takut pula ada pelbagai jenis, termasuklah mereka yang takut menyebabkan orang lain dijangkiti penyakitnya, khususnya dalam situasi negara dilanda wabak ketika ini. Keadaan ini dibolehkan syarak untuk tidak hadir solat jemaah, termasuk solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar membangkitkan kerisauan kemungkinan COVID-19 boleh tersebar luas jika individu dijangkiti, namun belum disahkan positif, menunaikan solat jemaah di masjid, seperti solat Jumaat dan majlis keagamaan.

Kebimbangan itu adalah berdasarkan penularan coronavirus membabitkan individu ke-26 dijangkiti COVID-19 di negara ini, yang mewujudkan kluster jangkitan dengan lebih 40 individu yang positif dikaitkan dengannya.

Sehubungan itu, Sazaly menyarankan individu bergejala supaya menunaikan solat pada saf di belakang, atau diasingkan daripada jemaah lain.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menyarankan individu bergejala yang mahu solat berjemaah di masjid, melaksanakan ibadah itu sambil memakai topeng muka.

Jelasnya, perkara itu dibenarkan dan tidak membatalkan solat, selain dibenarkan syarak bagi menjaga dan mengawal daripada penularan wabak.

Katanya, mereka yang bergejala namun belum disahkan positif, tidak boleh diasingkan kerana sebarang hukum tidak boleh dibuat secara andaian.

“Kalau yang sudah disahkan positif coronavirus, dia tak perlu pergi solat Jumaat atau solat fardu di masjid kerana kita tidak mahu wabak itu merebak.

“Namun, tidak boleh kita letak mereka yang bergejala dalam saf berasingan jika masih belum positif dan bersifat andaian. Mereka yang disyaki juga akan dikuarantin.

“Jika individu bergejala khuatir, mereka boleh memakai topeng muka sambil solat sebagai langkah penjagaan dan pengawalan,” katanya.

Siapakah Bekas Menteri Kontak Rapat Pesakit Covid-19?

[mStar}- Pertambahan individu disahkan dan disyaki dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini besar kemungkinan akan memerlukan pihak media menjalani saringan kesihatan.

Perkembangan semasa politik tempatan adalah antara sebab utama pihak yang disyaki in contact secara langsung atau tidak langsung dengan individu berkenaan. 

Ia bermula susulan seorang pegawai kanan Uda Holdings Berhad dipercayai positif wabak koronavirus (Covid-19).

Difahamkan, individu berkenaan adalah pengerusi syarikat berkenaan, Datuk Hisham Hamdan.

Menerusi satu notis berjaga-jaga yang diedarkan oleh syarikat itu, mana-mana individu yang berhubung secara langsung dengan pemimpin kanan syarikat itu dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan sekiranya menunjukkan simptom demam dan sakit tekak.

Malah individu tersebut juga diminta supaya tidak mendedahkan diri dengan orang lain.

Menurut notis itu juga, pemimpin kanan syarikat tersebut dilaporkan menghadiri Majlis Apresiasi untuk Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli ketika masing-masing menyandang jawatan menteri dan timbalan menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sebuah hotel negara pada 27 Februari lalu.

Difahamkan Mohd Redzuan dan Dr Hatta juga disyaki dijangkiti wabak itu dan kini dikuarantin.

Terdahulu, Mohd Redzuan turut dilaporkan berkunjung ke kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad, manakala Dr Hatta hadir dalam mesyuarat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu malam. 

Selain itu, pegawai kanan Khazanah Nasional juga disahkan positif wabak berkenaan. 

Usaha sedang dilakukan untuk mendapat pengesahan semua pihak terlibat. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Subang (PKR) Wong Chen mengesahkan ujian saringan pengesanan Covid-19 sedang dijalankan ke atas bekas menteri dan timbalan menteri itu.

“Bekas menteri dan timbalan menteri itu menghadiri banyak mesyuarat politik sepanjang krisis kepimpinan minggu lalu.

“Memandangkan perkara di atas, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengasingkan diri sendiri hari ini dan esok, sehingga kami mendapat keputusan ujian bekas menteri dan timbalan menteri itu,” katanya dalam satu bebenang di Twitter.

Wong Chen turut meminta orang ramai supaya tidak panik mengenai perkara itu.

“Tolong jangan panik. Matlamat utama adalah mengenal pasti dan mengelak penularan wabak itu.

“Mereka yang bertemu dengan mangsa Covid-19 harus mengasingkan diri daripada orang lain dan jika sakit pergi ke hospital untuk ujian saringan,” katanya.

Sementara itu, Wong Chen memberitahu dia dalam keadaan sihat pagi Isnin.

“Saya akan bekerja dari rumah dan berhubung dengan pegawai saya menerusi panggilan video persidangan kira-kira pukul 10 pagi,” katanya.

Coronavirus: KKM Mencatat Kes Pertama di Malaysia

Baca versi Jawi di sini.

[Malaysiakini}- Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kes jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV) yang pertama di negara ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu itu diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa tiga pesakit itu mempunyai kaitan dengan bapa dan anak dari Wuhan, China, yang telah disahkan positif dengan virus itu di Singapura tiga hari lalu.

“Tiga kes positif adalah isteri lelaki berusia 66 tahun yang diuji positif di Singapura pada 22 Jan, dan dua cucu mereka berumur 11 dan 2 tahun.

“Mereka melancong dalam kumpulan 10 orang dari Wuhan, sebelum kedua-dua lelaki itu ditahan dan diuji positif di Singapura.

“Berikutan itu, lapan orang yang tidak menunjukan sebarang gejala telah dibebaskan oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) dan mereka datang ke Johor Bahru pada 23 Jan.

“Kami dimaklumkan oleh KKS dan segera menempatkan lapan individu itu, dan mengasingkan mereka untuk pemeriksaan,” kata Dzulkefly kepada media.

Menurutnya, keputusan ujian lapan individu itu diperoleh lewat malam tadi, dan pihak berkuasa kesihatan telah membawa dua kanak-kanak itu dan nenek mereka ke Hospital Sungai Buloh untuk dimasukkan ke wad pengasingan.

Ibu kanak-kanak itu, yang berumur 36 tahun, telah disahkan positif tetapi turut dibawa ke hospital untuk menjaga anak-anaknya di bawah pengawasan ketat.

Dzulkefly berkata empat pelancong lain yang ujian mereka negatif adalah pasangan suami isteri dan dua anak mereka. Mereka telah meninggalkan negara ini pagi tadi untuk kembali ke China.

Sementara itu, ditanya sama ada KKM mempunyai data mengenai bilangan pelawat dari Wuhan yang berada di Malaysia atau jumlah individu yang telah melawat ibu kota wilayah Hubei itu baru-baru ini, menteri itu berkata mereka perlu berhubung dengan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata mereka bagaimanapun mempunyai data mengenai individu yang baru-baru ini melawat Wuhan yang mendapatkan rawatan di hospital dalam negara ini.

Menurut Dzulkefly, sejak 22 Jan, mereka telah menemui 11 suspek kes 2019-nCov di negara ini, tetapi 10 telah disahkan sebagai negatif.

Mereka adalah tujuh rakyat Malaysia yang baru-baru ini mengunjungi China, dua warga China dari Wuhan, dan seorang warga Jordan.

“Ujian yang keputusannya masih belum diperoleh melibatkan seorang rakyat Malaysia, yang baru-baru ini mengunjungi China.

“Dia kini ditahan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Dzulkefly tidak memberikan butiran lanjut mengenai identiti individu yang disyaki dijangkiti virus berkenaan, namun berjanji akan mengemaskini maklumat kepada media dari semasa ke semasa.