Buku Harapan: PH Janji Jual Tanah Wakaf!? Biar Betul!

Meneliti Buku Harapan, saya mendapati terdapat banyak perkara-perkara yang mencabar, menghakis dan merendahkan kedudukan agama Islam dan hak orang Melayu yang tersirat di sebalik janji manis manifesto pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM itu.

Di dalam artikel saya yang terdahulu tentang Buku Harapan, saya telah mendedahkan pelbagai muslihat yang tersirat di sebalik manifesto pakatan pimpinan DAP ini yang mungkin ada orang yang telah terlepas pandang:

Malah mereka sanggup bertindak ke tahap mahu menggunakan tanah wakaf untuk dijadikan alat sebagai penyelesaian mudah yang menguntungkan mereka tanpa mengira hukum menjual tanah wakaf!

Buktinya, pada mukasurat ke-23 Buku Harapan:

“Untuk mempertingkat pemilikan rumah di kalangan Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan dan mempermudahkan proses pembinaan rumah mampu milik di atas tanah-tanah waqaf, dengan cara memberi insentif kepada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri berkerjasama dengan pemaju swasta. Ini akan menambah bilangan rumah mampu milik yang menyasarkan masyarakat Muslim.”

“Untuk mempertingkat pemilikan rumah di kalangan Bumiputera” – bukankah ini bermakna bahawa pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM berhasrat untuk menjual rumah yang dibina di atas tanah wakaf  TERMASUK kepada orang kafir, asalkan Bumiputera sedangkan hukum jual beli tanah wakaf adalah haram, bermakna tanah wakaf tidak boleh dijual walaupun kepada orang Islam.

Saya telah merujuk perkara ini kepada guru Hadith saya yang amat saya hormati, Ustaz Hj. Abdul Raof bin Hj. Ismail, untuk mendapat pengesahan tentang hukum berkenaan tanah wakaf.

Maka saya ingin bertanya kepada pemimpin pakatan DAP termasuk pengerusinya, Tun M:

  1. Bagaimanakah hukum mereka yang membeli rumah tersebut kerana hukum jual beli tanah wakaf ialah haram?
  2. Apakah yang dijual hanya rumah tanpa tanah; kalau begitu mereka boleh bina sahaja rumah di udara.
  3. Bagaimanakah pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM bercadang untuk menggunakan duit hasil jualan itu nanti dan kepada siapakah hasil jualan itu akan diserahkan?

Saya sangat faham siapa pemimpin DAP dan apa dasar parti DAP; tetapi saya kecewa dengan pemimpin PAN yang mendabik dada sebagai Islamik tetapi sanggup bersekongkol dengan dasar yang jelas menentang syariat Islam. (Sila baca: Kit Siang Akan Pinda Perlembagaan DAP?)

Kenapa mereka tidak membantah?

Adakah mereka bersetuju?

Bagaimana pula dengan pemimpin PPBM dan Wan Azizah sendiri?

Ataupun apakah nantinya mereka mahu berhelah bahawa rumah mampu milik ini hanya untuk disewakan dan bukan untuk dijual?

Kalau tidak boleh dijual beli, maka itu bukanlah rumah mampu milik; bermakna pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM jelas telah menipu Bumiputera dengan janji palsu.

Umat Islam di Malaysia harus sedar betapa bahayanya jika Pakatan Harapan dapat menguasai kerajaan Malaysia, kerana mereka jelas menentang pemerkasaan dasar Islam dengan pelbagai alasan, contohnya menentang Pindaan Akta 355 dan Perkara 121 (1A), menghina Islam, mesra LGBT dan sebagainya.

Mereka juga mengkritik dasar kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang mengamalkan dasar Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah mazhab Syafie.

Tun Dr. Mahathir menulis di dalam kata pengantar Buku Harapan, “Inilah dasar dan tindakan-tindakan yang akan kami laksana untuk memulih semula dan MEMBINA NEGARA serta MEMENUHI HARAPAN rakyat.”

Bermakna, inilah antara dasar dan tindakan yang bakal dilaksanakan oleh pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM!

Namun perkara begini tidak menghairankan memandangkan seorang senator DAP, Dr. Ariffin Omar telah dengan lantangnya menegaskan bahawa; “Apa salahnya kalau Penang hendak dijadikan Christian city”!

Kata Tun M, dasar dan tindakan mereka adalah untuk “MEMENUHI HARAPAN rakyat”; persoalannya apakah ini HARAPAN orang Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah mazhab Syafie?

Malangnya masih ada orang Melayu yang belum sedar!

Related Posts:

Mudahnya Pakatan Harapan Memperdayakan Penyokong

“…salah ke “Pada muka surat 179 Buku Harapan, perkara ketiga di bawah, “Iltizam 3: Memastikan sistem pendidikan negara mengiktiraf dan membangunkan wanita” tertulis:” cerita pasal gender study?..ke ko yang xfaham apa gender study?”

Itulah komen daripada seorang pembaca merujuk kepada artikel saya,Agenda LGBT Tersirat di dalam Buku Harapan?“.

Saya tertanya-tanya, apakah tuan yang menulis komen ini sudah membaca artikel saya sebelum menulis komen di atas kerana saya telah memperjelaskan apakah gender education dan keperluannya terutamanya merujuk kepada Iltizam 3 buku Harapan.

Saya diasuh untuk membuat kajian sebelum menulis sesuatu artikel, dan saya sebaik mungkin telah dan akan cuba memberi fakta yang tepat kerana pada saya kredibiliti penulisan adalah amat penting.

Di dalam artikel tersebut saya juga dengan jelas telah menjelaskan perkara yang amat merisaukan saya tentang gender education:

Kita boleh lihat dengan jelas bahawa gender education yang terpakai di seluruh dunia, juga mempunyai hala tuju untuk menafikan perkara stereotaip berkenaan jantina; termasuk mengamalkan konsep gender neutral, membenarkan konsep gender fluid dan seterusnya memberi kebebasan kepada individu itu untuk memilih gender mereka sendiri.

Saya sedih melihat sikap sesetengah orang sekarang ini yang hanya membaca ‘sekerat-sekerat’ atau hanya sekadar membaca tajuk dan terus mengkritik tanpa memahami perkara yang dibincangkan.

Jangan kerana politik kita sanggup membelakangkan agama Islam dan memperbodohkan diri sendiri.

Berlapang dadalah dan bacalah terlebih dahulu sesebuah tulisan sebelum menulis komen supaya kita menjadi lebih bijak dan matang.


Related posts:

Agenda LGBT Tersirat di dalam Buku Harapan?

Apakah maksudnya pendidikan jantina yang mahu diaplikasikan oleh pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM?

Pada muka surat 179 Buku Harapan, perkara ketiga di bawah, “Iltizam 3: Memastikan sistem pendidikan negara mengiktiraf dan membangunkan wanita” tertulis:

Persoalannya apakah pendidikan jantina yang dicadangkan itu sebenarnya ialah ‘gender education’?

Jika benar, apakah keperluan pendidikan jantina mahu dilaksanakan di Malaysia?

Adakah tujuannya untuk memperjuangkan hak pelajar perempuan di bidang pelajaran?

Amat tidak logik jika itulah tujuan mereka kerana perkara ini telah lama terlaksana di Malaysia; di mana ibubapa dan kerajaan Malaysia memberi sokongan dan peluang yang sama kepada pelajar perempuan dan lelaki untuk melanjutkan pelajaran, memilih bidang pelajaran serta kerjaya dan sebagainya.

Malah di Malaysia, jumlah pelajar perempuan yang menuntut di universiti adalah lebih tinggi berbanding jumlah pelajar lelaki.

Jadi, apakah sebenarnya yang ingin pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM perjuangkan melalui pendidikan jantina?

Kita boleh lihat dengan jelas bahawa gender education yang terpakai di seluruh dunia, juga mempunyai hala tuju untuk menafikan perkara stereotaip berkenaan jantina; termasuk mengamalkan konsep gender neutral, membenarkan konsep gender fluid dan seterusnya memberi kebebasan kepada individu itu untuk memilih gender mereka sendiri.

Maka, apakah ini tujuan sebenar pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM di sebalik memperkenalkan pendidikan jantina?

Ideologi ini dengan nyata bertentangan dengan ajaran Islam, agama bagi Persekutuan.

Kita sedar, ramai di antara pemimpin pakatan ini mesra-LGBT, dan pejuang tegar hak LGBT adalah penyokong pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM.

Anak kepada Marina Mahathir, Ineza Roussille semasa Himpunan Wanita #BantahPolitikToksik yang berlangsung pada 10hb September 2017.

Contohnya Maria Chin Abdullah yang akan bertanding atas tiket PKR adalah Pengerusi All Women Action Society (AWAM), Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) dan bekas Pengerusi Bersih 2.0; AWAM dan Empower menganggotai Bersih 2.0 dan juga COMANGO; dan kedua-duanya, khasnya COMANGO memperjuangkan hak LGBT.

bendera-lgbt
Bendera LGBT dikibar pada perhimpunan Bersih 4

COMANGO membawa agenda LGBT hingga ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya PBB mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf hak LGBT.

Jadi, apakah ini agenda halus pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM?

Pakatan DAP Menipu Orang Melayu Di Sebalik Janji Buku Harapan?

Masihkah hak Melayu dan Bumiputera akan terbela jika Pakatan Harapan menang pilihan raya?

Membaca Perlembagaan DAP yang membawa ideologi Malaysian Malaysia dan sekularisme, adalah mustahil bagi DAP sebagai parti dominan di dalam Pakatan Harapan untuk berbuat demikian; kecuali jika Perlembagaan parti DAP dipinda – sila baca “Kit Siang Akan Pinda Perlembagaan DAP?”.    

Tetapi itulah janji Lim Kit Siang, dan janji itu diulang lagi di dalam buku manifesto mereka yang bertajuk Buku Harapan.

Namun, di dalam buku itu jelas terserlah penipuan pakatan yang diketuai DAP; contohnya muka surat 10 Buku Harapan yang dengan jelas telah meminda ayat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan – sila baca “Buku Harapan – Dimanakah Agenda Islam Dalam Manifesto PH?”.

Juga di muka surat 10 Buku Harapan, mereka mendakwa akan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sejajar dengan Perkara 153 sedangkan di muka surat 167 mereka menegaskan semua rakyat mempunyai hak yang sama; memeningkan kerana kenyataan ini bercanggah di antara satu sama lain.

Di muka surat 10 Buku Harapan:

… melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang sejajar dengan Perkara 153.

Di muka surat 167 Buku Harapan:

Sebagai rakyat yang mempunyai hak yang sama dengan semua warganegara lain, sudah tiba masanya untuk semua bentuk diskriminasi yang menzalimi warga India dihapuskan.

Komen saya:

  1. Kalau semua rakyat mempunyai hak yang sama (muka surat 167); bagaimana dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang pakatan diketuai DAP dakwa akan dilindungi sejajar dengan Perkara 153 (muka surat 10)?
  2. Sejak bilakah adanya dasar diskriminasi yang menzalimi warga India oleh kerajaan Malaysia?

Pada mukasurat 169, janji ke-6 Buku Harapan:

Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah pelajar India di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan di Maktab-Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

Komen saya:

  1. Hak Melayu dan Bumiputera akan terhakis kerana langkah ini akan mengurangkan peratus pelajar Melayu dan Bumiputera di MRSM sedangkan misi pendidikan MARA ialah “Menyediakan pelajar bumiputera yang berpotensi tinggi dalam bidang sains dan teknologi serta mempunyai ciri-ciri keusahawanan”.
  2. Apakah tujuan pakatan DAP menyasarkan MRSM yang ditubuhkan untuk membantu kaum Melayu dan Bumiputera?
  3. Kenapa pakatan pimpinan DAP tidak menyediakan tempat di sekolah-sekolah elit Cina terpilih yang mereka banggakan untuk pelajar India sedangkan pelajar India mempunyai hak yang sama untuk belajar di sana?
  4. Adakah pakatan pimpinan DAP mahu mengUBAH tujuan dan asas penubuhan MRSM?

Mereka merangka iltizam khusus untuk masyarakat tertentu dan pelbagai golongan tetapi di manakah iltizam khusus dan terperinci untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera yang masih ketinggalan di bidang pendidikan dan ekonomi?

Lebih malang lagi, pemimpin Melayu di dalam pakatan DAP yang mendakwa membela rakyat tidak mengenal bangsa, terlupa untuk membela dan mempertahankan hak orang Melayu; kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Nampaknya manifesto pakatan merugikan Melayu Bumiputera, kerana pemimpin pakatan gagal menghayati Perkara 153 atau merasakan Perkara 153 tidak patut diaplikasikan; cukuplah sekadar satu slogan untuk memancing undi.

Mereka hanya memainkan slogan memperkasakan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera tetapi nampaknya hak orang Melayu Bumiputera cuba dihakis secara halus.

Ini tidak menghairankan kerana parti dominan di dalam pakatan ini ialah DAP yang membawa slogan Malaysian Malaysia; dimana mereka mahu menyamaratakan semua bangsa-bangsa di Malaysia ini sebagai satu bangsa sahaja.

Tweet Hannah Yeoh, pemimpin kanan DAP dan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang mahu menggunakan “Anak Malaysia” sebagai ganti nama kaum di Sijil Kelahiran anaknya.

Saya menghargai bantuan kepada golongan yang memerlukan; tetapi selaras dengan Perkara 153, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak boleh diambil untuk apa tujuan sekali pun.

Buku Harapan – Dimanakah Agenda Islam Dalam Manifesto PH?

Pakatan Harapan telah mengeluarkan buku manifesto mereka yang bertajuk Buku Harapan dengan janji “akan memastikan semua rakyat pelbagai bangsa dan agama dapat berkongsi hasil kemakmuran dan kemajuan negara secara adil dan saksama”.

Banyak yang telah diperkatakan tentang buku manifesto ini namun terdapat satu perkara teras yang amat penting yang pada saya telah menimbulkan persoalan yang amat besar tentang ideologi dan asas negara yang cuba dipinda oleh pakatan DAP, PKR, PAN, PPBM dan sekutu mereka secara halus tanpa disedari oleh majoriti rakyat Malaysia.

Pada muka surat 10 dokumen yang setebal 195 mukasurat itu, antara perkara penting yang disebut adalah mereka akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuklah Perkara 3.

Saya terkejut apabila membaca ayat diatas, namun ianya tidaklah menghairankan kerana ini bukanlah kali pertama pakatan yang diketuai oleh DAP ini gagal memetik, atau dengan sengaja salah petik Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan!

Sila baca, Perjanjian DAP, PKR, PAN, PPBM Untuk Meminda Perkara 3(1)?

Malah tulisan saya itu telah mendapat perhatian daripada Tun Dr. Mahathir sendiri; sila baca, Surat Balas Tun M Tidak Menjawab Persoalan.

Apakah niat Pakatan Harapan menukar dua perkataan daripada ayat sebenar Perkara 3(1) di dalam teks Bahasa Melayu Perlembagaan dimana:

  1. Perkataan “tetapi” telah ditukarkan kepada “dan”
  2. Perkataan “damai” telah ditukarkan kepada  “harmonis”

Mungkin ramai yang menganggap ini bukanlah persoalan yang besar, kerana ayat di atas kelihatan hampir sama dengan apa yang tertulis di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan:

Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Namun, walaupun ia dilihat sebagai hampir sama, tetapi hakikatnya, ayat yang tertulis di dalam Buku Harapan itu membawa maksud yang amat jauh berbeza dari segi tafsiran perundangan berbanding dengan maksud sebenar Perkara 3(1), akibatnya:

  1. Merendahkan  kedudukan Islam kepada setaraf dengan agama-agama lain.
  2. Merendahkan kepentingan Perkara 3 menjadi sebahagian daripada Perkara 11 (tentang kebebasan beragama).

Implikasi megUBAH perkataan “tetapi” ditukarkan kepada “dan”:

Dalam konteks ini, apabila perkataan “tetapi” diubah kepada perkataan “dan”; implikasinya ialah kedudukan agama-agama lain di naikkan kedudukannya menjadi setaraf dengan kedudukan Islam; sedangkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan adalah amat tinggi berbanding agama-agama lain; sila baca Lagi Usaha Parti Pembangkang Menipu Umat Islam.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Hakim Mohd Noor Abdullah di dalam penghakiman Mahkamah Tinggi kes Meor Atiqulrahman bin Ishak & Ors v Fatimah Sihi & Ors[2000]  1 MLJ 393:

Pada pendapat saya “Islam ialah ugama bagi Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai” bermakna Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya. Islam bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah ugama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan manamana ugama yang dianutinya, tiada lebih satu dari yang lain. Peruntukan ‘Islam ialah ugama bagi Persekutuan’ hendaklah ditakrif dan ditinjau tujuannya dengan membaca bersama peruntukan lain dalam Perlembagaan khususnya Perkara 89, 152, 153 dan 14.

Perkara 3 adalah Perkara yang memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan namun ada pihak yang merendahkan dan menyalah gunakan Perkara 3(1) untuk membuktikan bahawa Perlembagaan memberi kebebasan kepada agama-agama lain, padahal kebebasan beragama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Apandi Ali di dalam penghakiman kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia, menegaskan “Kebebasan Beragama” di dalam Perkara 11 adalah tertakluk kepada Islam kerana kedudukan Perkara 3(1) adalah “di dalam lingkungan Bahagian I Perlembagaan” (within the confines of Part I of the Constitution) sementara Perkara 11 berada di Bahagian 2 Perlembagaan.

Tujuan ungkapan “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai” dalam Perkara 3(1) ialah untuk memperincikan bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun penganut agama lain masih dibenar  mengamalkan agama mereka, selagi mereka mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan potensi yang boleh mengganggu kehidupan masyarakat Malaysia, khasnya penganut agama Islam; dan bukannya memberi kebebasan kepada mereka untuk berbuat sesuka hati atas dasar amalan agama mereka.

Implikasi apabila perkataan “damai” telah diUBAH kepada “harmonis”:

Apakah tujuan Buku Harapan menggunakan “aman dan harmonis”; walhal di dalam teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan, perkataan yang diguna adalah “aman dan damai”?

Mengubah satu perkataan ini telah membawa implikasi yang amat besar, iaitu telah merendahkan kedudukan Islam di Malaysia.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan perkataan damai sebagai:

1 tidak berperang atau tidak bermusuh-musuhan dll; aman: Rakyat Malaysia hidup dgn aman.

Manakala perkataan harmonis didefinisikan sebagai:

IB selaras, seimbang, sepadan, sesuai atau bersesuaian (antara satu sama lain). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Ini membuktikan bahawa penggatian perkataan “damai” kepada “harmonis” telah sekali lagi menyamaratakan kedudukan semua agama; dan ini bercanggah dengan tafsiran Perlembagaan oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali semasa penghakiman Mahkamah Persekutuan kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia:

[42] It is my judgment that, based on the facts and circumstances of the case, the usage of the word “Allah” particularly in the Malay version of the Herald, is without doubt, do have the potential to disrupt the even tempo of the life of the Malaysian community. Such publication will surely have an adverse effect upon the sanctity as envisaged under Article 3(1) and the right for other religions to be practiced in peace and harmony in any part of the Federation. Any such disruption of the even tempo is contrary to the hope and desire of peaceful and harmonious co-existence of other religions other than Islam in this country.

Jelas, dengan mengubah perkara yang nampaknya kecil kepada Perkara 3(1), pembangkang bukan sahaja telah mengubah maksud Perkara 3, tetapi juga Perkara 10(2), 11(4), 153 dan sebagainya kerana semua Perkara di dalam Perlembagaan mesti dibaca bersama dan tidak boleh bercanggah di antara satu sama lain seperti yang telah ditegaskan oleh DYMM Almarhum Sultan Azlan Shah Di dalam penghakiman Mahkamah Tinggi kes Loh Kooi Choon v The Government of Malaysia [1977] 2 MLJ 187.

Constitution as the supreme law, unchangeable by ordinary means, is distinct from ordinary law and as such cannot be inconsistent with itself.

Di dalam Buku Harapan, Pakatan Harapan sekali lagi menjelaskan apa maksud Perkara 3 yang mereka ingin pertahankan; iaitu ‘Perkara 3’ yang telah mereka ubah selaras dengan niat dan kehendak mereka dan bukannya berjanji untuk mempertahankan Perkara 3(1) seperti yang tertulis di dalam Perlembagaan yang ada sekarang. 

Amat tidak masuk akal apabila orang Islam menyokong Pakatan Harapan, sedangkan janji mereka di dalam Buku Harapan jelas mengkhianati kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan.

Berdasarkan manifesto mereka, menyokong Pakatan Harapan adalah seolah-olah memberi mandat untuk mereka merendahkan kedudukan agama Islam di Malaysia.

Malangnya ramai orang Islam yang tertipu dengan janji manis pakatan DAP!

Sila baca: Kit Siang Akan Pinda Perlembagaan DAP?

%d bloggers like this: