Kita sering terganggu apabila mendengar bunyi letupan bunga api atau mercun menjelang Maghrib di bulan Ramadan, yang tergambar di minda kita ialah sekumpulan kanak-kanak sedang bermain-main sementara menunggu waktu berbuka; walhal mereka sepatutnya bersiap-siap untuk berbuka sama ada di rumah, surau atau masjid.
Tetapi berlainan di Kuala Terengganu, kerana bunyi letupan bedil amat ditunggu-tunggu kerana ia menandakan tibanya waktu berbuka puasa. Malah, waktu imsak juga ditandakan dengan tembakan bedil. Itulah di antara keunikan berbuka puasa di Kuala Terengganu yang sangat saya rindui. Malah, bedil bukan hanya ditembak sepanjang bulan Ramadan sahaja tetapi juga daripada 2 hingga ke 7 Syawal iaitu sepanjang enam hari pertama puasa sunat bulan Syawal. Menurut nenek saya, dahulunya ramai yang memilih untuk terus berpuasa bermula 2 Syawal dan sambutan Hari Raya ke enam lebih meriah daripada Hari Raya pertama.
Telah bertahun berlalu sejak kali kali terakhir saya berpuasa di Kuala Terengganu namun kenangan menunggu di hadapan tingkap rumah nenek bagi menyaksikan tembakan bedil masih segar di ingatan saya. Sebenarnya, sejak sekian lama tembakan bunga api telah menggantikan tembakan bedil, namun ianya masih dikenali sebagai tembakan bedil.
Menariknya, walaupun bunyi bedil amat sinonim dengan bulan puasa di Kuala Terengganu, tetapi masih ramai penduduk Kuala Terengganu sendiri yang tidak mengetahui di mana lokasi sebenarnya bedil ditembak sepanjang Ramadan. Persoalan ini telah membawa kepada satu misi mencari lokasi sebenar tempat bedil ditembak dan pada 5hb Syawal 1431H bersamaan 14hb September 2010M, arwah ayah telah membawa kami ke tapak lokasi tembakan bedil iaitu di atas sebuah bukit kecil bernama Bukit Pak Apil.
Kami berpeluang mengambil gambar dan merakam video daripada satu kedudukan yang selamat seperti yang dinasihatkan oleh mereka yang berkenaan.