Parlimen Bubar: Apa Seterusnya?

Parlimen telah dibubarkan. Apa yang akan berlaku selepas ini?

Jawapan mudah – Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan.

Begitu pun, ramai yang tertanya-tanya – bilakah masa terawal Pilihan Raya Umum boleh diadakan? Bagaimana prosesnya? Apakah peranan kita?

Bila PRU?

Selepas pembubaran Parlimen, writ akan dikeluarkan bagi menjalankan PRU. Seterusnya, SPR mengeluarkan notis untuk memaklumkan tentang adanya PRU.

PRU boleh diadakan seawal-awalnya 15 hari atau selewat-lewatnya 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Jangkamasa pembubaran kepada mengundi mengambil masa sekurang-kurangnya 4+11 hari – iaitu hari penamaan calon berlangsung 4 hari selepas hari notis dikeluarkan dan hari mengundi boleh diadakan seawal 11 hari selepas itu.

Tarikh PRU akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

Apa proses PRU?

  1. Proses PRU bermula dengan pembubaran Parlimen.
  2. Writ bagi menjalankan PRU dikeluarkan.
  3. Notis dikeluarkan SPR.
  4. Penamaan calon.
  5. Undi pos.
  6. Undi awal.
  7. Hari mengundi.

Apakah peranan kita?

Sebagai rakyat negara yang mengamalkan konsep demokrasi, kita mempunyai tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang yang akan berwibawa.

UNDI

Suka atau tidak, kita wajib mengundi. Pilihlah dengan bijak agar negara tidak porak peranda.

Selepas PRU14, politik negara tidak stabil akibat majoriti tidak kukuh. Ia dimulai dengan lompat parti besar-besaran kepada PH selepas BN kalah.

Kejatuhan kerajaan PH akibat perpecahan dalaman, dan kejatuhan kerajaan PN pula disebabkan Perdana Menteri hilang kepercayaan.

Negara megalami ketidakstabilan politik paling teruk dalam sejarah – kerajaan dan Perdana Menteri bertukar sebanyak 3 kali dalam 1 penggal Parlimen.

Belajarlah daripada kesilapan yang lalu. Silap sepangkah, nahas sebangsa.

jap… BOLEH ke SAYA nak UNDI?

Warganegara berumur 18 tahun ke atas layak mengundi. Anda tidak perlu mendaftar kerana proses adalah automatik!

Sila semak mysprsemak.spr.gov.my bagi melihat tempat mengundi anda.

JANGAN TERPEDAYA BERITA PALSU

Daripada janji manis sampai kepada ancaman bahaya, pelbagai manisfesto, ‘berita hangat,’ ‘pembongkaran,’ ‘pendedahan,’ ‘amaran,’ berita menakutkan – semuanya ada.

Biasalah tu, musim kompetitif begini akan dipenuhi kata-kata dalam pelbagai gaya demi mencipta persepsi bagi memancing undi.

Jangan terlalu mudah percaya dengan berita tular yang belum tentu sahih. Belajar menilai sendiri dengan bijak.

Jika dikatakan ada hujan batu di luar namun langit cerah, jangan kita terpedaya kerana itu mungkin hujan air mata buaya.

JANGAN BAKAR API KETIDAKSTABILAN

Dalam musim sebegini, ramai yang bersemangat dan ingin menjadi juara.

Sabar. Gunakan tangan untuk memangkah dan bukannya mencetus ketidakstabilan atau sekadar mengangkat sepanduk di jalanan.

Gelanggang sudah dibuka. Pilihlah pemimpin yang berwibawa. Yang masuk ke gelanggang biarlah ahlinya.

Orang Melayu bijak berkias. Langkah silat kaya seninya; hanya yang mahir kenal jiwanya. Jangan dimasuk langkah jalanan; hanya kan padah pulang ke kita.

%d bloggers like this: