BHPLUS: Ahmad Ali Pilih Blog Kupas Isu Politik

6 06 2018

[BHPLUS}- AMPANG: Usia lima tahun dianggap waktu untuk berseronok bagi kebanyakan kanak-kanak, namun Ahmad Ali Karim memilih laluan berbeza apabila sudah memiliki akaun blog sendiri pada usia itu.

Bukan calang-calang blog, sebaliknya nukilan anak muda yang kini berusia 15 tahun itu majoritinya berkisar mengenai isu politik semasa, selain aspek perundangan yang mana turut memuatkan beberapa penulisan kritis dan komentar.

Berminat selepas melihat kakaknya sering memuat naik penulisan di blog, Ahmad Ali mula memiliki blog sendiri iaitu ahmadalikarim.worpress.com untuk memuat naik penulisan mengenai pelbagai aktiviti hariannya, selain cerita pendek dan puisi dalam Bahasa Inggeris.

“Sejak itu saya aktif memuat naik penulisan santai, namun lama-kelamaan semakin membesar saya sedar minat saya lebih terarah ke bidang politik dan perundangan.

“Saya mendapat ilham menulis artikel pertama berkaitan politik selepas menghadiri satu perhimpunan pada 2012, lalu memuat naik penulisan mengenainya di laman blog,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui kecenderungannya terhadap dunia politik dan undang-undang banyak didorong bapanya yang juga seorang aktivitis badan bukan kerajaan (NGO) yang kerap membawanya bersama ke ceramah dan program berkaitan di seluruh negara.

Berguru dengan ahli akademik

Dibesarkan dalam suasana dikelilingi orang lebih dewasa, selain turut berguru dengan ahli akademik ternama banyak membuka kecenderungan Ahmad Ali untuk mendalami ilmu berkaitan undang-undang dan politik semasa negara.

Antaranya termasuklah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, selain beberapa lagi tokoh dalam bidang berkaitan yang majoritinya kenalan keluarganya.

“Memang dari kecil saya minat dengan politik dan perkara serius, jadi saya tidak faham mengapa kanak-kanak lain tidak meminatinya dan lebih gemar menonton televisyen,” katanya.

Menyentuh keadaan politik semasa negara, remaja itu berkata ramai individu termasuk dalam kalangan ahli politik hari ini lantang bersuara atau menulis sesuatu mengenai undang-undang, sebenarnya tidak memahami perkara itu secara mendalam.

“Ramai yang berlagak pandai (undang-undang), tetapi hakikatnya mereka tak faham sampai mengelirukan masyarakat. Ada juga yang cuba memutar belit fakta dalam perlembangaan yang boleh mengundang salah faham serta menjejaskan keharmonian negara.

“Sebab itu saya merasakan penting untuk saya memperbetulkan apa yang salah serta menjelaskan fakta sebenar kepada orang ramai supaya mereka tidak lagi terkeliru…caranya adalah dengan menulis di blog,” katanya.

Selain aktif menulis di blog, Ahmad Ali berkata dia pernah menyumbangkan artikel kepada dua portal berita tempatan, selain mempunyai hobi menulis cerita pendek dan puisi dalam Bahasa Inggeris.

Ahmad Ali turut berbakat dalam ucapan dan ia terbukti apabila pernah diberi peluang menyampaikan ceramah berkaitan undang-undang dan perlembagaan secara solo di sebuah sekolah menengah di Johor pada Ogos tahun lalu.

Minat seni lukisan digital

Turut meminati seni lukisan digital, Ahmad Ali pernah beberapa kali memenangi pertandingan melukis ilustrasi berkaitan permainan strategi komputer kelolaan Microsoft iaitu ‘Wololo Wednesday’.

Mengenai cabaran penulisan blog, Ahmad Ali berkata bukan mudah untuk menulis berkaitan perlembagaan kerana perlu memahaminya secara mendalam, malah dia sendiri mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mempelajari ilmu dalam bidang berkenaan dengan proses pembelajaran masih berterusan sehingga hari ini.

“Sebagai generasi muda Malaysia yang bakal memimpin negara pada masa depan, menjadi tanggungjawab untuk saya membantu memperbetulkan fakta seterusnya memulihkan persepsi orang luar terhadap negara,” katanya yang sehingga kini sudah menulis lebih 100 artikel di blognya itu.

Mengenai pelajaran, Ahmad Ali tidak pernah mendapat pendidikan formal, sebaliknya ibu menjadi gurunya di rumah dengan perancangan masa depan dia memberitahu akan mengambil peperiksaan peringkat A Level sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang. ​​​​​​

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Ahmad Ali mengakui bercita-cita untuk menjadi ahli politik kerana menyifatkan ia sebagai satu cara untuk dia berbakti serta membangunkan negara.

“Jika hendak mengubah sesuatu perlulah dimulakan dari awal. Sebab itu saya mengambil pendekatan memberi penerangan sekarang.

“Harapan saya bukan saja mahu melihat negara ini maju, tetapi juga bersatu. Ini kerana akar yang teguh boleh membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera,” katanya.

(Sila klik gambar-gambar dibawah untuk imej yang lebih besar)

Advertisements







%d bloggers like this: