Dewan Rakyat Hilang Maruah Kerana Azhar: Ku Li

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun supaya menjalankan tugas seperti mana sumpah jawatan yang dilafazkannya sebelum ini.

Kata ahli parlimen Gua Musang itu “kegagalan” Azhar melaksanakan tugasnya itulah yang menyebabkan institusi parlimen kini tidak lagi dihormati rakyat.

“Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji itu ialah memastikan calon perdana menteri – jawatan (berperlembagaan) terkanan dengan pelbagai kuasa – disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik.

“Perdana menteri sekarang ini tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau.

“Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas perlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi perdana menteri yang bersih daripada korupsi politik,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Azhar dan didedahkan kepada umum.

Ia berlaku selepas Azhar mengeluarkan kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim bagi menjelaskan jangkaan parlimen dibuka semula seperti yang dituntut pelbagai pihak.

Tengku Razaleigh berkata ketika ini Muhyiddin Yassin tidak memiliki mandat daripada rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Untuk rekod Tengku Razaleigh sejak awal lagi memang menunjukkan sikap tidak cenderung untuk menyokong presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri.

Pada 27 Mac pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menjelaskan dia tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana menghormati Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam surat kepada Azhar itu juga Tengku Razaleigh berkata usul-usul yang dikemukakan ke Dewan Rakyat dianggap sebagai tidak berguna kerana speaker tidak melaksana tugas sebaliknya membenarkan seorang menteri kabinet menentukan sama ada ia boleh dibahaskan atau tidak.

“Ini bermakna tugas Dewan Rakyat tidak dihiraukan dan sekali gus bercanggah dengan sumpah jawatan.

“Maka dengan itu timbullah kemelut lompat-melompat parti. Keadaan ini memalukan Dewan Rakyat, ia seolah-olah dipersenda.

“Di samping itu rakyat menganggap dewan yang mulia itu sudah kehilangan maruah.

“Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkir janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu,” katanya lagi. -{Malaysiakini]

Art Harun: Mahiaddin Berhak Tetap Tarikh Persidangan Parlimen

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin berhak menetapkan tarikh untuk Parlimen bersidang semula atas alasan yang dirasakan wajar, susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau berkata komitmen Mahiaddin untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober tidak terlalu lewat, sebaliknya mencukupi bagi menghadapi krisis Covid-19.

“Perdana menteri berkuasa menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Beliau berhak memanggil sidang mengikut Perlembagaan, malah beliau telah menyatakan secara rasional berkenaan kewajaran tempoh tersebut.

“Antaranya kerana angka Covid-19 dan sebagainya, jadi bagi pihak Parlimen, kita menunggu tarikh persidangan ditetapkan nanti,” katanya, menurut sebuah laporan oleh Utusan Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan dengan segera untuk membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Dalam sebuah kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Raja-raja Melayu turut bersependapat dalam perkara tersebut, dan menambah bahawa Dewan-dewan Undangan Negeri juga perlu dibolehkan untuk bersidang dengan segera.

Kelmarin, Mahiaddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa, berkata Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.

Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian berkurangan bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Mahiaddin berkata, negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Beliau menjangkakan semua sektor ekonomi akan dapat dibuka seawal akhir Oktober apabila negara memasuki Fasa IV, dengan purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.

Belanjawan: Speaker Setuju Desakan MP K’jaan, Pembangkang Supaya Bersidang Penuh

Baca versi Jawi di sini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya bersetuju dengan desakan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya semua Ahli Dewan Rakyat dibenarkan berada di dalam dewan ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Sebelumnya, hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan berada di dalam dewan semasa persidangan bermula hari ini disebabkan penularan wabak Covid-19.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejurus setelah persidangan Parlimen bermula, dan disokong oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang, termasuk Bagan, Lim Guan Eng, Arau, Shahidan Kassim dan Kinabatangan, Bung Moktar Radin.

Pada mulanya, Datuk Azhar tidak membenarkannya kerana perkara tersebut telahpun diputus melalui satu usul yang dilulus sebelum ini, namun atas dasar demokrasi, Ahli-ahli Parlimen telah mendesak untuk perkara tersebut disemak semula, dan akhirnya Datuk Azhar bersetuju untuk membenarkan semua Ahli Dewan Rakyat untuk masuk ke dalam dewan.

PANAS: Apakah Keputusan Parlimen Dalam Perlantikan Art Harun?

Baca versi Jawi di sini.

Persidangan Dewan Rakyat sebentar tadi menjadi hangat apabila pihak pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim lantang menolak usul untuk Tan Sri Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.

Sila baca: Dewan Rakyat Setuju Jawatan Yang di-Pertua Dewan Dikosongkan

Namun keputusan undian memihak kepada pihak kerajaan.

Untuk rekod, pada bulan Julai 2018, kerajaan PH di bawah Tun Dr. Mahathir juga telah menggantikan Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya setelah mereka membentuk kerajaan.

Persidangan akan bersambung pada jam 2.30 petang nanti. Persoalannya, adakah pihak pembangkang akan membangkang usul untuk melantik Azhar Azizan @ Harun sebagai Yang di-Pertua Dewan?

Jika benar, apakah alasan yang akan mereka guna pakai ketika menentang usul tersebut?

Ini adalah kerana Tun Mahathir sendiri pernah melantik Azhar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, iaitu satu jawatan yang amat penting di dalam pentadbiran negara.

Maka pada dasarnya Tun Mahathir dan kabinet Pakatan Harapan percaya akan kredibiliti dan integriti Azhar Harun.

PRK Chini: 3 Calon Bertanding

Baca versi Jawi di sini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Azhar Azizan Harun mengumumkan bahawa 3 calon akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil N23 Chini yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Calon-calon tersebut adalah, Tengku Zainul Hisham bin Tengku Hussin (BEBAS, Rumah), Mohd. Sharim bin Md. Zain (Barisan Nasional), dan Mohd. Shukri bin Mohd. Ramli (BEBAS, Kunci).

Pilihan Raya Kecil ini merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak Krisis Politik 2020, yang menyaksikan pertukaran kerajaan daripada kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Ia juga merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak penularan pandemik Covid-19, dan segala tugasan Pilihan Raya Kecil ini hendaklah mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.