Kakak sulung saya, Aiman Amani telah menduduki perperiksaan A Levelnya di British Council pada bulan Oktober 2018. Kakak saya ialah seorang pelajar yang pintar, namun kami tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi memandangkan pada ketika itu ayahanda kami, A. Karim Omar baru sahaja tiga bulan meninggalkan kami secara tiba-tiba.
Apabila keputusan A Levels diumumkan, kakak saya amat terkejut kerana bukan sahaja telah berjaya mendapat A* bagi subjek Bahasa Inggeris, tetapi juga A bagi subjek Geografi. Dan pada akhir Februari, Kakak Aiman telah dihubungi oleh British Council dengan berita bahawa beliau telah mendapat anugerah “Outstanding Cambridge Learner Award for A Level English Language” untuk tahun 2018; yang bermakna Kakak Aiman merupakan pelajar terbaik untuk subjek Bahasa Inggeris di dalam peperiksaan A Levels 2018 di Malaysia!
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T., dengan rahmat yang dikurniakan ke atas kakak saya, walaupun dengan cabaran yang bertalu-talu, namun Kakak Aiman telah berjaya mendapat satu anugerah yang berprestij. “Outstanding Cambridge Learner Award” dianugerahkan oleh Cambridge Assessment International Education kepada calon terbaik bagi sesuatu subjek di setiap negara untuk peperiksaan yang dikendalikannya pada setiap tahun. Saya merasa amat bangga dengan pencapaian kakak kerana anugerah ini memang diimpikan oleh pelajar-pelajar di seluruh negara khasnya pelajar-pelajar daripada sekolah-sekolah antarabangsa yang terulung lagi hebat dan juga daripada sekolah-sekolah ternama yang terkenal dengan kecemerlangan mereka.
Bagi saya, kejayaan kakak amat bermakna memandangkan suasana dan cabaran yang dilalui kakak saya semasa mengambil perperiksaan ini, di mana kami bukan sahaja baru lebih tiga bulan kehilangan tempat bergantung; malah kami sekeluarga juga amat tertekan oleh tekanan demi tekanan daripada berberapa pihak. Malah, saya pernah melihat kakak menangis pada malam sebelum peperiksaannya akibat tekanan ke atas keluarga kami.
Tidak mudah untuk mendapat anugerah ini; tambahan pula kakak saya ialah seseorang pelajar “home schooled”. Malah ada juga pihak yang mempertikaikan dan memandang cara didikan pilihan ayahanda kami secara negatif bila ayahanda kami sudah tiada. Namun Alhamdulillah, hasil didikan oleh ibunda kami, dan juga daripada Allahyarham ayahanda kami, dan berkat kerja kuat kakak serta bantuan dan doa daripada semua yang menyayangi kami, inilah kejayaan yang telah dicapai oleh kakak saya.
Walaupun kejayaan kakak saya dianggap tidak penting oleh banyak pihak, namun bagi saya, saya bukan sahaja merasa bangga kerana kakak saya sendiri yang mendapat anugerah ini, tetapi saya juga merasa bangga kerana seorang lagi insan Melayu telah berjaya mendapat anugerah yang hebat ini, yang jarang diraih oleh anak Melayu.
Kejayaan kakak bermakna satu lagi kejayaan anak Melayu!
Orang Melayu tidak malas dan orang Melayu mampu bersaing dengan bangsa lain, insya-Allah.
Like this:
Like Loading...