Tulisan Jawi: Kisah Hamzah Yang Digelar “Tiga Suku”

Baca versi Jawi di sini.

Walaupun berasal daripada tulisan Arab, sistem tulisan Jawi adalah berbeza berbanding tulisan asalnya. Sistemnya telah mengalami berbagai-bagai perubahan bagi mengadaptasinya kepada bahasa Melayu. Hal ini termasuklah konsep penulisan serta penambahan huruf-huruf yang baharu.

Salah satu perubahan terbesar ialah sistem penggunaan huruf hamzah.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, terdapat 6 jenis hamzah di dalam bahasa Melayu, iaitu hamzah setara (ء), hamzah berumah ya (ئ) dan wau (ؤ), hamzah di atas (أ) dan di bawah (إ) alif, dan bentuk yang paling lazim iaitu hamzah tiga suku (ء).

Jenis-jenis hamzah di dalam tulisan Jawi.

Penggunaan huruf hamzah di dalam bahasa Melayu adalah berbeza berbanding hamzah di dalam tulisan Arab.

Sila baca: Tulisan Jawi dan Identiti Malaysianya Yang Tersendiri

Hamzah tiga suku

Yang membezakan rupa hamzah tiga suku berbanding hamzah setara adalah kedudukannya di dalam sesuatu penulisan. Hamzah tiga suku ditulis lebih tinggi daripada hamzah setara iaitu pada paras tiga suku huruf biasa.

Hamzah tiga suku mempunyai berbagai-bagai kegunaan. Huruf tersebut digunakan dalam penulisan imbuhan ‘-an’ pada kata dasar yang mempunyai vokal akhiran ‘a’, contohnya ‘bela’ (بلا), yang menjadi ‘belaan’ (بلاءن).

Hamzah tiga suku turut digunakan bagi menandakan bunyi diftong ‘ai’, ‘ae’ (taling), ‘ao’ dan ‘au’ pada awal perkataan, seperti ‘aiskrim’ (اءيسکريم) dan ‘automatik’ (اءوتوماتيک).

Satu lagi kegunaan hampir sama ialah bagi menandakan pertukaran bunyi vokal atau vokal berganding daripada huruf alif kepada ya, alif kepada wau dan wau kepada ya, seperti ‘air’ (اءير), ‘sauh’ (ساءوه). Ia juga digunakan dalam pen-Jawian istilah bahasa asing seperti ‘queen‘ (کوءين). Begitu juga bagi imbuhan ‘-i’ selepas vokal ‘a’, ‘e’ (pepet), ‘u’ dan ‘o’, di mana huruf ini akan digunakan sebelum huruf ya, contohnya ‘mulai’ (مولاءي).

Huruf ini juga digunakan untuk perkataan-perkataan atau nama-nama ekasuku yang bermula dengan bunyi vokal selain ‘a’, seperti ‘ong’ (ءوڠ), ‘inn‘ (ءين) dan ‘Ern’ (ءرن). Hal ini untuk membezakannya daripada perkataan seperti ‘awang’ (اوڠ), ‘ini’ (اين) dan ‘aran’ (ارن).

Cara menulis “KEDAI AUTOMOTIF ENG, KAMPUNG LAUT” dalam tulisan Jawi.

Kebanyakan perkataan Arab yang menggunakan huruf hamzah di akhir perkataan akan dieja dengan hamzah tiga suku di dalam bahasa Melayu, seperti ‘intiha’ (انتهاء).

Terdapat satu kegunaan huruf hamzah tiga suku yang unik iaitu sebagai pengakhiran glotal kepada gelaran Dato’ atau Datuk (داتوء). Manakala, perkataan ‘datuk’ dalam konteks ahli keluarga pula menggunakan huruf qaf (داتوق).

Sila baca: 5 Kesilapan dan Kesalahtanggapan Lazim Dalam Menulis Jawi

Hamzah setara

Huruf hamzah setara jarang dijumpai di dalam tulisan Melayu. Hal ini kerana ia hanya wujud di dalam kata serapan bahasa Arab yang dikekalkan ejaannya seperti ‘doa’ (دعاء), ‘manusia’ (ماءنسي) dan ‘al-Quran’ (القرءان).

Manakala istilah jati Melayu dan istilah-istilah lain termasuk juga beberapa istilah serapan bahasa Arab pula menggunakan huruf hamzah tiga suku.

Perbezaan hamzah tiga suku dan hamzah setara.

Terdapat empat lagi jenis hamzah untuk dibicarakan. Insya-Allah, saya akan membincang mengenainya di dalam bahagian kedua.


Lagi dalam siri penulisan tentang tulisan Jawi:

ماجوريتي م.ک.ت. امنو ستوجو کلوار کراجاءن سبلوم 1 اوݢوس

ماجوريتي مجليس کرجا ترتيڠݢي امنو تله برستوجو اونتوق مناريق سمولا سوکوڠن ترهادڤ کراجاءن ڤرايکتن ناسيونل (ڤ.ن.) سبلوم 1 اوݢوس.

ممتيق لاڤورن فري مليسيا تودي⹁ سأورڠ اهلي مجليس کرجا ترتيڠݢي امنو برکات بهاوا مريک دڤڠݢيل ڤريسيدن ڤرتي⹁ احمد زاهد حميدي سچارا برڤريڠکت باݢي منداتکن ڤرستوجوان.

“کڤوتوسن (اونتوق مناريق سوکوڠن) اين توروت اکن مڽکت ڤرنچڠن کومڤولن (منتري لوار نݢري) هيشم الدين حسين ⹁ يڠ ماهوکن امنو اونتوق ککل ددالم ڤ.ن. اونتوق بلياو دلنتيق سباݢاي تيمبلن ڤردان منتري⹁” کات اهلي ترسبوت يڠ اڠݢن ناماڽ ددده.

بريتا ترسبوت تيبا کورڠ سجم سلڤس اهلي ڤرليمن ڤادڠ رڠس⹁ نصري عزيز⹁ يڠ مڠاکوءي ديري ممولاکن ڤيتيشن ممبلاکڠي هيشم الدين سباݢاي واکيل باريسن ناسيونل کأݢوڠ⹁ ملاکوکن تيندقن ڤوسيڠن يو دان مڽاتاکن سوکوڠن ترهادڤ محي الدين سرتا کراجاءن ڤ.ن.

اهلي م.ک.ت. ترسبوت مڠاتاکن بهاوا هاڽ ببراڤ اهلي م.ک.ت. سهال يڠ بلوم دڤڠݢيل کڤيمڤينن امنو⹁ تراوتاماڽ منتري٢ کراجاءن.

“امنو ڤرلو ممبوات کڤوتوسن سݢرا کران سيتواسي نݢارا سماکين تروق. اڤاته لاݢي امنو تله منتڤکن جڠک ماس 14 هاري. تيمڤوه ترسبوت همڤير تامت.”

سبلوم اوسها ترسبوت دتنداتاڠني ستياڤ اهلي م.ک.ت.⹁ کاتاڽ⹁ زاهد تله منجلسکن کواجرن کڤيمڤينن دالم کڤوتوسن ايت⹁ دان مڽبوت اڤ يڠ برلاکو کتيک مڠادڤ دولي يڠ مها موليا يڠ دڤرتوان اݢوڠ بولن لڤس.

اهلي م.ک.ت. ترسبوت توروت مڽاتاکن بهاوا ڤريسيدن ڤرتي تيدق ڤرلو ڤرستوجوان سموا اهلي ڤرليمن امنو⹁ کران مريک ترايکت ڤد کڤوتوسن م.ک.ت.

بلياو مڠاولڠي بهاوا مشوارت اݢوڠ تاهونن امنو ڤد بولن مچ لالو تله ممبري مندت کڤد زاهد اونتوق ممبينچڠ دڠن م.ک.ت. دالم مميليه تاريخ يڠ سسواي اونتوق مناريق سمولا سوکوڠن ايت.

“امنو تيدق ماهو تروس ترايکت دڠن کݢاݢلن ڤردان منتري کلاڤن دان کراجاءن ڤ.ن. دالم مڠاوروس نݢارا.

“مليسيا کيني سدڠ مڠهادڤي ساتو کريسيس کيقينن ڤد تاهڤ مکسيموم.”

Majoriti MKT UMNO Setuju Keluar Kerajaan Sebelum 1 Ogos

Baca versi Jawi di sini.

Majoriti Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah bersetuju untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Memetik laporan Free Malaysia Today, seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata bahawa mereka dipanggil presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi secara berperingkat bagi mendapatkan persetujuan.

“Keputusan (untuk menarik sokongan) ini turut akan menyekat perancangan kumpulan (Menteri Luar Negeri) Hishamuddin Hussein, yang mahukan UMNO untuk kekal di dalam PN untuk beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” kata ahli tersebut yang enggan namanya didedah.

Berita tersebut tiba kurang sejam selepas Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, yang mengakui diri memulakan petisyen membelakangi Hishamuddin sebagai wakil Barisan Nasional ke Agong, melakukan tindakan U-turn dan menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin serta kerajaan PN.

Ahli MKT tersebut mengatakan bahawa hanya beberapa ahli MKT sahaja yang belum dipanggil kepimpinan UMNO, terutamanya menteri-menteri kerajaan.

“UMNO perlu membuat keputusan segera kerana situasi negara semakin teruk. Apatah lagi UMNO telah menetapkan jangka masa 14 hari. Tempoh tersebut hampir tamat.”

Sebelum usaha tersebut ditandatangani setiap Ahli MKT, katanya, Zahid telah menjelaskan kewajaran kepimpinan dalam keputusan itu, dan menyebut apa yang berlaku ketika mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bulan lepas.

Ahli MKT tersebut turut menyatakan bahawa presiden parti tidak perlu persetujuan semua MP UMNO, kerana mereka terikat pada keputusan MKT.

Beliau mengulangi bahawa mesyuarat agung tahunan UMNO pada bulan Mac lalu telah memberi mandat kepada Zahid untuk membincang dengan MKT dalam memilih tarikh yang sesuai untuk menarik semula sokongan itu.

“UMNO tidak mahu terus terikat dengan kegagalan Perdana Menteri kelapan dan kerajaan PN dalam mengurus negara.

“Malaysia kini sedang menghadapi satu krisis keyakinan pada tahap maksimum.”

زاهد ڤڠݢيل اهلي ڤرليمن امنو تنداتاڠن سورت تاريق ديري دري ڤريکاتن ناسيونل

امنو ڤوست سدڠ ممڠݢيل اهلي ڤرليمنڽ سچارا برڤريڠکت اونتوق منداڤت ڤراکوان برسام منيڠݢلکن کراجاءن ڤريکتن ناسيونل (ڤ.ن.) سبلوم 1 اوݢوس.

سومبر ڤرتي يڠ لايق دڤرچاياءي ممبريتاهو ڤيهق اخبر⹁ لبيه 10 اهلي ڤرليمن يڠ جوݢ اهلي مجليس ترتيڠݢي امنو دڤڠݢيل منموءي ڤريسيدن ڤرتي⹁ داتوء سري دوکتور فلسفه احمد زاهد حميدي يڠ توروت دحاضيري تيمبالنڽ⹁ داتوء سري اوتام محمد حسن سرتا ستياءوسها اݢوڠ امنو⹁ داتوء سري دوکتور فلسفه احمد مسلن دڤجابت امنو.

“ڤريسيدن دڠن تيمبالن برچادڠ مڠموکاکن ساتو اوصول کڤد اهلي مجليس ترتيڠݢي سوڤايا امنو تاريق سوکوڠن درڤد کراجاءن دالم ماس تردکت.

“السن مريک⹁ سوده سمڤاي ماس امنو ڤرلو کتواءي والاوڤون راماي برڤنداڤت سکارڠ بوکن ماس يڠ سسواي⹁” کاتاڽ کتيک دهوبوڠي.

جلس سومبر لاݢي⹁ تيندوقن ڤوچوق ڤيمڤينن ممڠݢيل ببراڤ اهلي مجليس ترتيڠݢي سچارا برڤريڠکت کران ککاڠن وقتو کيني يڠ تيدق بوليه مڠاداکن سبارڠ مشوارت.

“جادي مريک تله ممڠݢيل ببراڤ م.ت. اونتوق ڽاتاکن ڤرستوجوان. کالاو ستوجو برمعنا مريک ڤرلو تنداتاڠن دڠن چادڠن ايت.

“اد يڠ تيدق برستوجو سبب نق منجاياکن چادڠن مجليس کرجا ترتيڠݢي اين اداله اهلي ڤرليمن. کالاو اهلي ڤرليمن تيدق تاريق سوکوڠن دري کراجاءن ڤىريکتن ناسيونل⹁ برمعنا کڤوتوسن م.ت. ايت تيدق اد کسن⹁” اوجرڽ لاݢي.

سچارا جلس⹁ تيندقن ڤوچوک ڤيمڤينن امنو ايت برتنتڠن دڠن کڽاتاءن ڤڠاره ڤيليه راي امنو⹁ داتوق سري تاج الدين عبد الرحمان يڠ منݢسکن امنو اکن ککل دڠن ڤ.ن. سهيڠݢ اوݢوس اين سوسولن ڤندميک کوۏيد-19 يڠ ماسيه سوکر دبندوڠ.

Zahid Panggil MP UMNO T’tangan Surat Tarik Diri Dari PN

Baca versi Jawi di sini.

UMNO Pusat sedang memanggil ahli parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Sumber parti yang layak dipercayai memberitahu Utusan Malaysia, lebih 10 ahli ahli parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dipanggil menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan di pejabat UMNO.

“Presiden dengan timbalan bercadang mengemukakan satu usul kepada Ahli Majlis Tertinggi supaya UMNO tarik sokongan daripada kerajaan dalam masa terdekat.

“Alasan mereka, sudah sampai masa UMNO perlu ketuai walaupun ramai berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai,” katanya ketika dihubungi.

Jelas sumber lagi, tindakan pucuk pimpinan memanggil beberapa ahli majlis tertinggi secara berperingkat kerana kekangan waktu kini yang tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat.

“Jadi mereka telah memanggil beberapa MT untuk nyatakan persetujuan. Kalau setuju bermakna mereka perlu tandatangan dengan cadangan itu.

“Ada yang tidak bersetuju sebab nak menjayakan cadangan Majlis Kerja Tertinggi ini adalah ahli parlimen. Kalau ahli parlimen tidak tarik sokongan dari kerajaan PN, bermakna keputusan MT itu tidak ada kesan,” ujarnya lagi.

Secara jelas, tindakan pucuk pimpinan UMNO itu bertentangan dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menegaskan UMNO akan kekal dengan PN sehingga Ogos ini susulan pandemik Covid-19 yang masih sukar dibendung. -{Utusan Digital]

ڤردان منتري دماسوقکن کهوسڤيتل

ڤردان منتري⹁ تن سري محي الدين محمد ياسين دماسوقکن کهوسڤيتل ستله مڠعالمي چيريت-بيريت سجق سمالم.

حال ترسبوت دمعلومکن ڤجابت ڤردان منتري دالم ساتو کڽاتاءن ريڠکس ڤاݢي اين.

“ڤجابت ڤردان منتري ايڠين ممعلومکن بهاوا يڠ امت برهورمت ڤردان منتري تله مڠعالمي دياريا سجق سمالم.

“سهوبوڠن ايت⹁ بلياو تله ددفتر ماسوق کسبواه هوسڤيتل دأيبو نݢارا ڤاݢي اين اونتوق منريما راوتن دان ڤمنتاوان⹁” کات کڽاتاءن ترسبوت.

ڤد بولن مي تاهون لالو⹁ تيمبول سڤيکولاسي بهاوا محي الدين منداڤتکن راوتن باره دسيڠاڤورا.

باݢايماناڤون⹁ ڤجابت ڤردان منتري منافيکن ڤرکارا ايت.

ڤد 2018⹁ محي الدين دلاڤور منجالني ڤمبدهن دسيڠاڤورا اونتوق مراوت باره ڤنکرياس.

محي الدين منجلسکن مڠناءي تاهڤ کصيحتنڽ تاهون لالو دڠن مڠاتاکن دي ماسيه بوليه منجالنکن توݢسڽ دڠن باءيق.

“الحمد لله⹁ ستاکت اين ساي ممڤو منجالنکن توݢس دان تق ترݢڠݢو سبب ڤرنه مڠهادڤي مسئله سبݢيتو⹁” کاتاڽ.

PM Dimasukkan ke Hospital

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dimasukkan ke hospital setelah mengalami cirit-birit sejak semalam.

Hal tersebut dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.

“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah mengalami diarea sejak semalam.

“Sehubungan itu beliau telah didaftar masuk ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan,” kata kenyataan tersebut.

Pada bulan Mei tahun lalu timbul spekulasi bahawa Mahiaddin mendapatkan rawatan barah di Singapura.

Bagaimanapun, pejabat perdana menteri menafikan perkara itu.

Pada 2018, Mahiaddin dilapor menjalani pembedahan di Singapura untuk merawat barah pankreas.

Mahiaddin menjelaskan mengenai tahap kesihatannya tahun lalu dengan mengatakan dia masih boleh menjalankan tugasnya dengan baik.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mampu menjalankan tugas dan tak terganggu sebab pernah menghadapi masalah sebegitu,” katanya.

Parlimen: “We Will See You Soon”

Parlimen akan kembali dibuka untuk bersidang sama ada secara hibrid atau biasa selepas Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk semua tiga timbalannya mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang memberitahu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan menitahkan supaya Parlimen kembali bersidang.

“Pertemuan dengan baginda adalah untuk membincangkan mengenai kuasa Parlimen. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan Seri Paduka. Alhamdulillah kita akan hargai atas kuasa (peranan) Yang di-Pertuan Agong semasa darurat ini.

“Jadi, Insya-Allah, apa yang dititahkan dalam ruang lingkup dan juga melalui nasihat daripada Perdana Menteri, kita akan membuka Parlimen sebagaimana dicadang atau dititah oleh Seri Paduka.

“Insya-Allah, we will see you soon, untuk kita buka (bersidang) di Parlimen sama ada secara biasa ataupun hibrid,” katanya dalam sidang akhbar di luar Pintu 2 Istana Negara tengah hari tadi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci mengenai tarikh persidangan bermula dan sebarang peraturan mesyuarat yang perlu dipinda bagi membolehkann sidang diadakan secara hibrid.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid turut mengesahkan kehadiran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim ke Istana Negara bagi mengadap Seri Paduka pada pukul 11 pagi ini.

Turut disahkan hadir adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

“Kelima-lima ada, Speaker Dewan Negara dan speaker Dewan Rakyat dan ketiga-tiga timbalannya,” tambahnya.

Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan selepas beberapa pemimpin parti politik dalam Dewan Rakyat dipanggil awal bulan lalu bagi mengadap Seri Paduka.

Susulan selesai Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, Seri Paduka menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah Seri Paduka, Parlimen yang berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Ku Li Lancar Petisyen Rakyat Desak Segerakan Sidang Parlimen

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan Malaysia mengadakan persidangan Parlimen dengan segera, dengan melancarkan satu petisyen untuk mendesak tindakan segera diambil.

Menurutnya, keadaan negara kini amat merunsingkan rakyat negara termasuk dirinya sendiri.

Saya menyatakan ini kerana apa yang berlaku akhir-akhir ini amat merunsingkan saya. Bahkan bukan merunsingkan saya seorang, banyak kawan-kawan saya dan kenalan saya di merata tempat telah menzahirkan perasaan yang sama – bimbang, takut dan sebagainya, kerana apa yang mungkin berlaku kepada negara.

Tengku Razaleigh berkata, kerajaan dipilih untuk membela nasib rakyat, namun kini rakyat semakin tertindas dan ada yang bimbang rakyat kita akan terpaksa mencari makan sebagai buruh kasar di negara asing satu hari nanti.

Kita angkat kerajaan untuk membela kepentingan anak buah kita. Tetapi tak mahu anak-anak kita ini menjadi penganggur dalam negara sendiri. Jangan pula satu hari, nanti anak-anak kita terpaksa cari makan sebagai buruh kasar di negara-negara luar seperti yang berlaku kepada kita tempoh hari.

Katanya, kuasa darurat telah dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memudahkan kerajaan menyelesaikan masalah Covid-19, namun nampaknya kerajaan hanya mahukan darurat sebagai satu tindakan politik dan bukan kerana Covid.

Yang menjadi kes telah bertambah ribuan sekarang. Padahal, Agong telah mengurniakan pemerintahan secara darurat dengan adanya proklamasi darurat kuasa penuh bagi kepada kerajaan yang berkuasa hari ini.

Tapi malangnya darurat tinggal darurat oleh kerana kuasa-kuasa yang ada di bawah undang-undang yang terpakai sebelum ini masih terpakai tak perlu kepada undang darurat. Ini hanya semata-mata kerana tindakan politik, tak ada kena mengena dengan Covid, tak ada kena mengena dengan kesusahan rakyat yang sepatutnya dibela sepenuhnya.

Menurut Tengku Razaleigh, selama beliau berada di dalam politik, ini adalah kali pertama beliau menyaksikan perkara sebegini berlaku.

Saya tak pernah saksi apa yang dapat dilihat dan apa yang dapat dirasai di akhir-akhir ini. Saya telah melalui banyak peristiwa, dan saya ini penuh dengan pengalaman, setakat saya ini terdedah kepada peristiwa-peristiwa yang berkenaan.

Tetapi di akhir-akhir ini saya rasa bimbang. Bahkan bukan bimbang, saya rasa takut dengan masa depan untuk kita semua yang masih ada di Malaysia. Apatah lagi mereka yang mengharap kepada sesuatu yang baik untuk masa depan negara kita.

Petisyen tersebut boleh ditandatangani di laman petisyen Change.org mengikut butang di bawah.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Berjalan Seorang Diri ke Kubur

Alhamdulillah, tulisan saya hari ini bertajuk “Berjalan Seorang Diri ke Kubur” telah diterbit di Utusan Malaysia.

Tulisan saya ini boleh dibaca pada di Utusan Malaysia hari ini, serta di Utusan Digital melalui pautan di bawah: