Setiap kali berlakunya gerhana di negara ini, sudah tentu ada yang akan mencari panduan bagi solat sunat gerhana, tidak kira lah gerhana matahari ataupun gerhana bulan.

Solat sunat gerhana merupakan sebuah ibadah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat digalakkan, maka umat Islam seluruh negara digalakkan untuk melaksanakan solat sunat gerhana sempena gerhana matahari anulus yang dijangka bakal berlaku pada hari Khamis ini.
Gerhana tersebut, yang sering dirujuk sebagai Gerhana Cincin, akan dapat disaksikan di kawasan negara-negara Arab termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, kawasan selatan India dan Sri Lanka, dan akhirnya di sebahagian daripada Sumatera, Malaysia, Singapura, Borneo dan Guam.
Di Malaysia, berberapa kawasan seperti Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak dapat menyaksikan gerhana matahari anulus, manakala kawasan-kawasan lain hanya dapat melihat gerhana matahari separa.
Di bawah merupakan cara-cara bagi melakukan ibadah solat sunat gerhana, dipetik daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Panduan bagi Solat Sunat Gerhana Matahari
CARA-CARA SOLAT
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.
CARA-CARA PELAKSANAANNYA
Bagi solat sunat gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara.
Solat gerhana matahari ini boleh dilakukan dengan 3 cara:
- Cara yang paling ringkas iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.
- Disebut dengan “الكمال أدنى” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.
Bagi kita di Malaysia ini, cara kedua (“الكمال أدنى”) adalah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua. - Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.
Waktu bagi solat gerhana matahari ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.
ATURAN SOLAT SUNAT GERHANA
- Disunatkan mandi sebelum solat.
- Bilal menyeru: “الصَّلاَةُ جَامِعَةُ”.
- Berdiri lurus mengadap kiblat.
- Berniat mengerjakan solat gerhana.
(a) Lafaz niat untuk gerhana matahari
“اُصَلِّىْ سُنَّةَ كُسُوْفِ اْلشَّمْسِ رَكْعَتـَيْنِ مـأَمُومًـا لِلّهِ تـَعَـالَى”
“Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”. - Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
- Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
- Baca al-Fatihah dan Surah.
- Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
- Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
- Baca al-Fatihah dan Surah.
- Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
- Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
- Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
- Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).
INGATAN
- Dilaksanakan solat gerhana semasa berlaku gerhana dan sekiranya khutbah gerhana tidak dapat disudahkan dalam waktu gerhana maka tidaklah menjadi kesalahan.
- Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
- Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan (سر) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring (جـهر).
- Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).