Pengaruh Rakan Sebaya Dalam Pembentukan Sahsiah Remaja

[UTUSAN ONLINE}- Teman mencerminkan diri kita. Bukan sahaja kita secara semula jadi memilih teman yang sesuai dengan nilai hidup kita tetapi teman-teman juga banyak mempengaruhi diri kita dalam memilih cara hidup dan cara kita menilai kehidupan.

Kajian mendapati bahawa perkembangan emosi, sosial dan rohani dalam membentuk keperibadian kanak-kanak dan remaja dipengaruhi oleh persekitaran, khasnya individu-individu yang rapat dengan kita.

Di dalam suasana kehidupan sekarang, di mana golongan remaja secara umumnya menghabiskan lebih banyak waktu bersama teman-teman berbanding daripada bersama keluarga, pengaruh teman sebaya memainkan peranan yang besar dalam pembentukan sahsiah diri remaja.

Para remaja bukan hanya bergaul bersama-sama teman sebaya ketika di sekolah, tetapi mereka juga meluangkan masa bersama-sama di luar waktu persekolahan; sama ada untuk bersukan, belajar bersama-sama dalam kumpulan study group atau melakukan berbagai lagi aktiviti lain.

Sewaktu cuti sekolah pula ada dalam kalangan remaja yang mengikuti rombongan lawatan sambil belajar anjuran sekolah, keluar menonton wayang, membeli-belah dan lain-lain bersama teman-teman mereka.

Kini bukan lagi menjadi perkara asing di dalam masyarakat kita, apabila remaja keluar bersosial bersama teman-teman tanpa ditemani keluarga; malah golongan yang tidak mempraktikkan amalan sedemikian pula yang dianggap asing.

Maka pemilihan teman yang tepat adalah amat penting dalam memastikan pembentukan sahsiah diri yang terpuji; kerana pergaulan remaja dalam lingkungan yang salah berkemungkinan boleh merosakkan kehidupan mereka.

Konsep kebebasan cara Barat menuntut remaja diberikan kebebasan dan sesetengah remaja beranggapan bahawa kawalan ibu bapa adalah bercanggah dengan cara hidup moden.

Apabila tiada lagi kawalan dan remaja bebas bergaul dengan sesiapa sahaja serta bebas berkeliaran di sekitar pekan dan bandar, ia juga akan membuka pintu kepada pengaruh-pengaruh negatif dalam mempengaruhi kehidupan remaja.

Ini ialah kerana remaja cenderung untuk mudah terpengaruh dengan nilai-nilai dan budaya hidup di sekeliling mereka, sama ada nilai yang baik mahu pun nilai yang buruk.

Kecenderungan ini boleh membawa kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja yang terlibat, yang kemudiannya mereka pula yang akan mempengaruhi teman-teman mereka yang lain.

Malah ada teman-teman sebaya yang memaksa dan menekan remaja yang asalnya baik dan tidak bermasalah, untuk melakukan perkara-perkara negatif lazimnya bermula dengan perkara-perkara yang tidak terlalu serius. Lama-kelamaan mereka akan menjadi lebih berani untuk mencuba perkara yang lebih buruk.

Mungkin ianya bermula daripada kesalahan seperti memanjat pagar sekolah dan kemudiannya beralih pula kepada kesalahan yang lebih serius seperti menipu, menghisap vape, merokok, mencuri, mengambil dadah dan sebagainya.

Remaja juga sering menjadi mangsa buli oleh teman sebaya; dan tidak kiralah sama ada mangsa dibuli secara fizikal atau pun secara siber, kes buli boleh mengakibatkan kecederaan fizikal dan emosi yang parah sehingga mengakibatkan kematian dan kes membunuh diri.

Ramai mangsa buli yang tidak diberi rawatan kerana mereka tidak mengadu atau kerana ianya tidak mengakibatkan kecederaan fizikal. Namun kesan emosi yang ditanggung mangsa buli boleh mengakibatkan tekanan perasaan dan dalam banyak keadaan mangsa buli berkemungkinan akan menjadi pembuli jika masalah emosi mereka tidak dirawat.

Masalah tekanan dari teman sebaya atau peer pressure seringkali menekan remaja tetapi kurang diberi perhatian oleh golongan dewasa, baik ibu bapa mahu pun guru-guru, mungkin kerana kesannya tidak berbentuk kecederaan fizikal.

Remaja yang terjebak dalam masalah ini akan kurang keyakinan diri, mudah dipergunakan dan gagal membina jati diri akibat terikut-ikut dengan pengaruh sekeliling sehingga sanggup melakukan perbuatan negatif termasuk mengambil minuman keras, berjudi, terjebak dalam budaya LGBT, menerima ideologi anarkisme dan sebagainya.

Konsep gaya hidup atau lifestyle adalah penyakit yang relatifnya agak baharu di mana remaja yang dijangkiti penyakit ini akan terperangkap di dalam kehidupan yang penuh kepura-puraan dan menjadi insan yang hanya mementingkan kehidupan yang bersifat materialistik semata-mata kerana mereka mahu dipandang hebat, diterima dan dihormati oleh teman-teman sebaya.

Justeru, kita mesti kembali kepada fitrah dan hidup berpadukan adat yang bersendikan syarak. Jangan kita menjadi seperti lalang ditiup angin; ke mana angin yang deras, ke situ condongnya.

Perhatian, panduan dan bimbingan amat penting dalam memastikan remaja tidak tersasar daripada landasan yang betul dan tidak mudah dipengaruhi oleh unsur yang negatif serta berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sahsiah diri yang terpuji dan jati diri yang tinggi.

Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah.

Ali Karim merupakan seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang juga merupakan pemerhati lanskap politik tanah air. Dia juga merupakan Duta Rasmi Muafakat Pendidikan Johor (MPJ), sebuah Persatuan Guru di Johor. Pandangan dan tulisannya boleh dibaca melalui ahmadalikarim.wordpress.com.

Jam Vape, Gula-Gula ‘Berasap’, Aksi ‘Superman’ – Di Mana Perlindungan Hak Kanak-Kanak?

Gambar ihsan Utusan Online

Belum reda berita yang tular di media sosial tentang pelajar menghisap vape di sekolah, tular pula berita gula-gula yang mengeluarkan ‘asap’ seperti rokok yang dijual kepada kanak-kanak sekolah rendah.

Mungkin ada yang mengambil sikap tidak kisah dan menganggap ini cuma masalah biasa kerana selama ini pun kita dibebankan dengan masalah pelajar merokok di sekolah dan ramai juga pelajar yang mengambil dadah.

Namun bagi saya, penularan vape dalam bentuk jam tangan adalah sangat merbahaya kerana vape telah diberi rupa baharu yang nampak lebih ‘cool’ dan berkemungkinan dapat membuat kanak-kanak lebih teruja untuk memilikinya dan seterusnya mengakibatkan lebih ramai kanak-kanak mula menghisap vape.

Penjualan gula-gula yang mengeluarkan ‘asap’ seperti asap orang merokok kepada kanak-kanak adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak untuk membuat keuntungan.

Namun malangnya ramai juga orang dewasa yang menandang ringan akan penjualan gula-gula sebegini dan menganggap ianya sama seperti gula-gula biasa atau makanan ringan lain, dan tidak memudaratkan kanak-kanak kerana tidak mengandungi nakotin atau bahan-bahan yang merbahaya lainnya.

Mereka juga menolak alasan perbuatan ini boleh membawa kanak-kanak kepada tabiat merokok dengan alasan kanak-kanak yang bijak oleh berfikir dengan baik tentang keburukan merokok.

Namun, mengambil kira kaedah “sadduzzara’i”, iaitu menyekat daripada puncanya, adakah wajar jika kanak-kanak dibenarkan membuat sesuatu yang menyerupai perbuatan yang bersifat negatif?

Tambahan pula, apakah ada kesan positif ke atas kanak-kanak jika mereka memakan gua-gula tersebut dan apakah kita pasti bahawa ianya halal dan tidak mengandungi bahan-bahan yang membahayakan kesihatan?

Terkini kita dihidangkan pula dengan video ‘aksi Superman’.

Utusan Online melaporkan berita ini sebagai, “… aksi dua kanak-kanak yang meniarap sambil berpaut di belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai sedang bergerak di sekitar Pasir Gudang.”

Persoalannya, di manakah dan apakah punca penularan sikap tidak bertanggungjawab ke atas kanak-kanak seperti ini?

Saya menganggap perkara sebegini amat serius dan melanggar Akta Kianak-Kanak 2001 dan juga Convention on the Rights of the Child (CRC) kerana undang-undang negara dan antarabangsa tentang hak kanak-kanak jelas memperuntukkan bahawa kanak-kanak mesti dilindungi dan tidak boleh dicederakan, dibuli atau didedahkan kepada bahaya atau keadaan yang merbahaya.

Dari segi lain, di manakah tanggungjawab orang dewasa dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang cemerlang?

Kejayaan akadmik sahaja tidak akan dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji dan jati diri yang tinggi.

Saya menyeru kepada golongan dewasa tidak kiralah sama ada ibu bapa mahupun guru, untuk bersikap lebih prihatin terhadap kanak-kanak dan bersikap lebih proaktif dalam mendidik mereka, terutamanya golongan remaja yang kadang kala terkeliru dan cepat terpengaruh dengan suasana persekitaran, contohnya fahaman anarkisme yang kini hebat mempengaruhi golongan muda.

Perkara-perkara sebegini tidak boleh dipandang enteng oleh sesiapapun, dan ia perlu juga diambil berat oleh pihak berkuasa termasuk menteri-menteri yang berkenaan.

Lindungilah kanak-kanak dan peliharalah hak kami!

.

Tenggelam Dalam Keasyikan Media Sosial

Kita kini berada pada zaman di mana teknologi berkembang dan tersebar dengan begitu pantas. Kemunculan pelbagai alat peranti pintar seperti telefon pintar, tablet dan lain-lain telah membawa kepada perkembangan pesat media sosial.

Alhamdulillah, tulisan saya mengenai remaja dan media sosial telahpun diterima dan disiarkan di akhbar perdana, Utusan Online. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia, kerana ini merupakan kali pertama tulisan saya disiarkan di sebuah akhbar perdana. Juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu saya, guru saya Profesor Datuk Dr Sidek Baba, dan guru-guru saya yang lain yang telah membimbing saya selama ini, serta pihak Utusan Malaysia.


Kita kini berada pada zaman di mana teknologi berkembang dan tersebar dengan begitu pantas. Kemunculan pelbagai alat peranti pintar seperti telefon pintar, tablet dan lain-lain telah membawa kepada perkembangan pesat media sosial.

Sehinggakan pada hari ini, agak sukar untuk kita mencariremaja yang tidak pernah mendengar perkataan Facebook, Twitter, WhatsApp atau Instagram; iaitu di antara laman dan aplikasi media sosial yang sangat popular dan berpengaruh.

Kini media sosial menjadi suatu alat komunikasi dan platform perkongsian yang amat efektif dan penting. Sebagai contoh, amaran bencana alam boleh dihebahkan kepada umum dalam masa yang singkat dan menyeluruh agar tindakan segera boleh diambil oleh semua pihak yang terbabit.

Begitu juga hubungan keluarga terasa lebih dekat walaupun tinggal berjauhan dengan adanya aplikasi WhatsApp, Twitter dan laman media sosial lain yang bukan sahaja mudah digunakan tetapi juga jauh lebih murah berbanding caj panggilan telefon.

AHMAD ALI KARIM

Namun media sosial juga mempunyai kesan negatif yang bukan hanya boleh merugikan penggunanya, malah boleh menimbulkan kekacauan dan huru hara dalam kalangan masyarakat, contohnya akibat penyebaran fitnah dan berita palsu.

Malangnya, ramai remaja yang tidak menyedari akan kesan buruk media sosial sehingga merugikan diri sendiri akibat membuat keputusan yang tidak bijak.

Kalau dahulunya remaja sering lepak bersama kawan-kawan, kini media sosial menjadi teman setia dan teman lepak mereka. Malah ramai yang terlalu taksub dengan penggunaan media sosial sehingga wujud satu ketergantungan kepada media sosial, di mana mereka merasakan seolah-olah tidak boleh hidup dengan bahagia tanpanya.

Antara faktor penyumbang kepada keadaan ini ialah gaya hidup atau ‘lifestyle’ yang mereka rasakan sebagai satu tuntutan hidup supaya mereka dipandang hebat, diterima dan dihormati oleh kawan-kawan sebaya.

Capaian internet yang baik dan adanya kafe siber kepada mereka yang tidak mempunyai telefon pintar juga menjadi faktor pemangkin kepada keadaan ini.

Facebook adalah antara laman media sosial yang paling popular dan berpengaruh dalam kalangan remaja sehinggakan ramai sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan‘likes’ yang banyak dan bilangan rakan Facebook yang ramai.

Facebook juga sangat mudah diakses; cipta sahaja satu akaun dalam Facebook dan pengguna boleh terus memuat naik tulisan, gambar, video dan sebagainya di samping dapat menikmati apa sahaja yang dihidangkan di laman ini.

Ia begitu mengasyikkan sehingga ramai pengguna bagaikan hanyut dan tenggelam ke dalam kolam perangkap alam maya ini sehingga boleh menghabiskan masa seharian menonton video-video popular atau apa sahaja yang terpapar di suapan berita mereka.

Ramai yang terpengaruh dengan apa sahaja yang dipaparkan dalam media sosial dan tidak kurang pula tidak mahu ketinggalan memuat naik gambar dan video yang serupa agar dilihat menepati cara hidup moden serta dipandang hebat dan bergaya.

Mereka juga mahu memiliki pakaian yang mahal dan berjenama, makan di restoran yang popular, bercuti ke sana-sini supaya dapat dipaparkan di media sosial.

Ada yang sanggup membuat apa sahaja aksi sensasi yang dirasakan boleh menarik perhatian pengguna media sosial lain tanpa mengambil kira batas akidah dan kesopanan.

Mereka juga sanggup mempertaruhkan nyawa dengan berswafoto di tempat yang merbahaya semata-mata untuk mendapat perhatian di samping berlumba-lumba mengambil bahagian di dalam berbagai cabaran internet yang berisiko tinggi.

Sikap bermegah-megah dan menonjolkan kekayaan dalam media sosial juga telah banyak mengundang padah apabila terjadi kes-kes rompakan setelah video tersebut dimuat naik di media sosial.

Dari sudut yang lain, ramai remaja tertipu dan kerugian wang ringgit kerana mempercayai mesej yang menjanjikan keuntungan berganda daripada modal yang rendah setelah terpengaruh dengan video yang memaparkan kekayaan pengusahanya.

Dewasa ini, masalah buli siber dalam kalangan remaja bertambah buruk sehingga menyebabkan banyak kes membunuh diri dan cubaan membunuh diri akibat tekanan perasaan kerana tidak tahan dibuli.

Selain daripada masalah ini, kemurungan dan kekosongan hidup juga menjadi penyebab cubaan membunuh diri dalam kalangan selebriti media sosial termasuk mereka yang dilihat sangat berjaya dan popular.

Pengaruh media sosial terhadap remaja amat hebat sehinggakan mereka mempercayai apa sahaja yang disiar oleh media sosial, termasuk berita palsu dan ajaran sesat.

Malah, ada remaja yang lebih mempercayai kata-kata di media sosial daripada ibubapa mereka sendiri. Hal ini amat merisaukan kerana kini media sosial boleh dijadikan senjata yang amat berkesan untuk menyesatkan remaja.

Sikap sebegini menjadikan remaja tidak mampu untuk berfikir secara kritis dan menganalisa sesuatu perkara dengan bijak.

Hidup di alam maya dalam dunia tanpa sempadan dan berkawan dengan warga maya yang tidak kita kenali secara fizikal menjadikan kita terpisah daripada realiti kehidupan yang sebenarnya.

Ketaksuban pada media sosial membawa kepada kerenggangan hubungan di dunia fizikal.

Cuba kita perhatikan gelagat remaja ketika menghadiri majlis-majlis keramaian, pulang ke kampung atau pun ketika menyambut hari perayaan, mereka lebih senang bersama telefon pintar daripada berbual dan bergaul dengan orang sekeliling.

Begitu juga keadaannya apabila terdapat ayah, ibu dan anak-anak yang dilihat lebih berminat untuk berinteraksi dalam media sosial daripada bermesra sesama keluarga walaupun ketika mereka bersama.

Akibat terlalu leka melayari media sosial, ramai remaja menjadi lalai dan hilang fokus dalam pelajaran mereka.

Penggunaan bahasa yang salah dan diringkaskan serta bahasa yang kasar di media sosial juga telah merosakkan keindahan bahasa dan juga melemahkan kemahiran dalam penggunaan tata bahasa yang betul dalam kalangan remaja. – UTUSAN ONLINE

Ahmad Ali Karim

Pelajar

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

Nilai Murni Yang Semakin Terpinggir

Apa gunanya kita membicarakan soal bermuafakat, jika prinsip asas ukhuwah tidak dapat kita amalkan. Begitulah pentingnya sikap menghargai, mengenang dan membalas budi baik orang kepada kita di dalam membentuk satu masyarakat bertamadun tnggi dan berbudi bahasa. Bahasa menunjukkan bangsa.

Ada ubi ada batas, ada budi ada balas; hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati.

Begitulah bunyinya peribahasa-peribahasa Melayu, yang patut kita jadikan pedoman agar dapat menjadi insan yang baik budi pekertinya serta tinggi kesopanannya.

Sejak dahulu lagi orang Melayu amat menitik beratkan soal budi bahasa. Malah, kerajaan Malaysia sendiri memilih slogan “Budi Bahasa Budaya Kita” untuk memupuk nilai murni serta semangat perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Bagi saya, sikap mengenang budi dan membalas budi adalah sangat penting dalam membentuk satu masyarakat yang berbudi pekerti tinggi, bertoleransi dan penyayang.

Di dalam melayari kehidupan, kita sentiasa memerlukan pertolongan daripada orang lain, tidak kira di dalam apa jua situasi. Sikap saling tolong-menolong adalah satu budaya murni yang amat penting di dalam kehidupan bermasyarakat. Begitu indahnya budaya Melayu yang berteraskan adab dan hukum Islam; dan budaya sebeginilah yang telah kita amalkan sejak zaman dahulu lagi. Bila orang berbudi, kita membalas budi mereka sepenuh hati; hari ini kita ditolong, hari esok kita pula yang akan cuba memberi pertolongan. Orang berbudi, kita berbahasa. Sikap begini mampu memupuk kasih sayang dan persepakatan di dalam masyarakat dan akan membawa kepada keberkatan hidup dan perpaduan rakyat.

Namun zaman telah berubah dan malangnya banyak nilai-nilai murni semakin dilupakan. Sikap materialistik dan individualistik mula mempengaruhi masyarakat kita, sehinggakan masyarakat semakin lupa akan nilai-nilai murni budaya bangsa. Bahkan ada di kalangan kita yang menjadi rakus dan tamak dalam mencapai impian sehingga tidak merasa bersalah untuk memijak dan menjatuhkan insan lain yang pernah menolong kita demi mencapai impian diri. Ramai yang telah lupa akan semangat, “bagai aur dengan tebing”; yang mana kini dianggap sekadar satu peribahasa yang perlu dihafal untuk lulus peperiksaan Bahasa Melayu.

Bagi saya, apa gunanya kita membicarakan soal bermuafakat, jika prinsip asas ukhuwah tidak dapat kita amalkan. Begitulah pentingnya sikap menghargai, mengenang dan membalas budi baik orang kepada kita di dalam membentuk satu masyarakat bertamadun tinggi dan berbudi bahasa. Bahasa menunjukkan bangsa. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga; yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. 

Tulisan berkatian: