تون راحة منيڠݢل دنيا

Baca versi Rumi di sini.

تون راحة بنت محمد نوه⹁ ايبو کڤد بکس ڤردان منتري مليسيا⹁ داتوء سري نجيب بن تون رزاق منيڠݢل دنيا دهوسڤيتل ڤرينس کورت دکوالا لومڤور هاري اين ڤد اوسي 87 تاهون.

الله يرحم جوݢ مروڤاکن بالو کڤد بکس ڤردان منتري⹁ تون عبد الرزاق بن حسين.

ڤرکارا ايت دمعلومکن کڤد ڤيهق ميديا اوليه بکس ڤݢاواي خاص نجيب⹁ داتوء هيشم جاليل سبنتر تادي.

يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ السلطان عبد الله رعاية الدين المسطاف بالله شاه دان سلطان ڤرق⹁ سلطان نظرين معز الدين شاه منچمر دولي منزيارهي الله يرحم سمالم.

ببراڤ توکوه نݢارا توروت ملواڠکن ماس منزيارهي تون راحة⹁ انتاراڽ ڤردان منتري⹁ تن سري محي الدين ياسين دان کتوا ڤمباڠکڠ⹁ داتوء سري انوار ابراهيم.

ترداهولو⹁ نجيب ممينت اورڠ راماي مندععاءکن کصيحتن ايبوڽ منروسي هنترن دلامن فيسبوکڽ.

سموݢ الله سبحانه وتعالى منچوچوري رحمتڽ کأتس روح الله يرحم.

الفاتحة

Ungku Aziz Meninggal Dunia

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia petang tadi di Hospital Prince Court, ibu negara.

Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat sakit tua.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dikebumikan malam ini.

Allahyarham adalah tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). -{Utusan Digital]

Kerajaan Bakal Kalah Undi Belanjawan Esok?

Tun Mahathir dalam satu sidang akhbar petang tadi mengatakan bahawa kerajaan mungkin akan kalah pada pengundian belanjawan esok, apabila Parlimen bersidang untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Langkah ini sangat mengejutkan di kala pemerhati politik sedang cuba merungkai teka-teki siapakah 113 pemimpin yang dikatakan menyokong Anwar Ibrahim.

“Ada kemungkinan bahawa esok, ketika mereka (Ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk usul belanjawan, ada kemungkinan kerajaan mungkin kalah.

“Jika kerajaan kalah, maka kita tidak mempunyai kerajaan. Maka ada keperluan untuk kita menubuh satu kerajaan. Namun apabila kita mahu menubuh satu kerajaan, kita berharap mereka memilih satu kerajaan yang tekad pada berkhidmat kepada negara dan rakyatnya.”

Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Disember 2020

Sila baca: Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Setakat ini, blok Anwar Ibrahim masih belum berjaya mengalahkan blok kerajaan dalam undian Belanjawan 2021.

Untuk rekod, langkah Anwar tidak mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat Parti Warisan Sabah yang berjumlah seramai lapan orang.

MP Warisan tidak berada di Parlimen untuk undian peringkat jawatankuasa belanjawan sebagai menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Anwar.

Sila baca: Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2021 Dalam Undian Pertama

Persoalannya:

  • Adakah MP Parti Warisan yang selama ini condong ke arah kepimpinan Tun Mahathir akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok untuk menyokong Tun menolak Belanjawan 2021?
  • Apakah benar dakwaan bahawa Anwar telah mendapat 113 sokongan daripada ahli-ahli Parlimen?

Perkara ini menambah kehangatan suhu politik negara kerana kini kita melihat sekurang-kurangnya 3 blok yang berlainan dalam percaturan politik negara.

Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO telah banyak bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sesetengah perkara di dalam belanjawan.

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Adalah jelas bahawa hubungan UMNO (parti yang mempunyai paling banyak kerusi parlimen di dalam kerajaan persekutuan) bersama PPBM adalah tidak begitu akrab; dan keadaan ini bertambah buruk apabila PAS gagal bersikap neutral.

Sejak krisis politik di Perak, perbagai spekulasi telah dibuat termasuk kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan DAP.

Pada ketika itu, ramai yang melihat bahawa UMNO terpaksa mendapatkan sokongan blok Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak. Nyata andaian itu tidak benar.

Sila baca: Mungkinkah UMNO Berkongsi Kuasa Dengan DAP? Ini Pendapat Ku Li

Apakah yang akan akan berlaku esok?

Yang nyata adalah, jika benar kerajaan kalah pada pengundian untuk bacaan kali ketiga belanjawan esok, jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri masih berliku.

Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir hari ini telah membuat satu kenyataan bersama mengenai situasi politik tempatan kini.

Kedua-dua mereka percaya bahawa kerajaan kini tidak mempunyai keabsahan, menyebabkan ketidakstabilan negara dari segi politik dan pentadbiran, mengakibatkan keruntuhan ekonomi.

Tengku Razaleigh menegaskan bahawa kerajaan perlu membantu rakyat yang sedang menghadapi kesusahan akibat Covid-19, kerana jika tidak ia akan menjejaskan masa depan generasi muda-mudi negara.

Tun Mahathir mahukan negara kembali ke zaman kegemilangannya seperti satu masa dahulu, kerana Malaysia telah jauh ketinggalan di belakang berbanding kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.

Menurutnya, kerajaan mungkin akan kalah dalam pengundian belanjawan esok ketika bacaan kali ketiganya, dan itu akan menjadikan keadaan lebih teruk daripada sekarang.

Tengku Razaleigh turut mengatakan bahawa kerajaan bukan sahaja perlu membantu rakyat, tetapi mereka perlu membantu rakyat sehinggakan mereka dapat berdiri dengan sendiri.

Kerisauan terbesar mereka adalah bagaimana kebanyakan ahli politik terlalu gilakan kuasa dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat.

Apabila ditanya jika beliau yakin akan mendapat sokongan Ahli Parlimen UMNO, Tengku Razaleigh hanya menjawab, “jawapannya, mungkin.”

Menurut Tun Mahathir, mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, kerana mereka hanya mahu bersedia sekiranya kerajaan kini jatuh, dan tidak mengejarkan jawatan tersebut.

Tengku Razaleigh mengatakan bahawa beliau hanya berkerjasama untuk memastikan kerajaan yang memerintah adalah sah, kerana kerajaan kini adalah tidak sah dan Perdana Menterinya juga tidak sah.

Tun Mahathir juga menegaskan bahawa dakwaan Anwar Ibrahim tentang 113 akuan bersumpah yang beliau punyai, tidak mempunyai impak selagi tidak ada apa-apa tindakan yang dilakukan di Parlimen.

Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak akan mengundi untuk belanjawan ketika bacaan kali ketiga esok.

Tun Mahathir Kembali Berkerjasama Dengan Anwar?

Akhbar melaporkan bahawa Anwar Ibrahim sekali lagi telah berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menubuh kerajaan baharu.

Menurut laporan Astro Awani, Anwar dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah dan dalam perancangan untuk memohon perkenan mengadap Agong dalam masa terdekat.

Untuk rekod, Anwar telahpun beberapa kali mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Tidak lama dahulu, Anwar pernah membuat kenyataan mengatakan kerajaan Muhyiddin telah jatuh.

Apakah peristiwa ini akan berulang?

Namun, jika kali ini hal ini benar-benar berlaku, siapakah 113 MP yang menyokong beliau memandangkan Parti Warisan dilihat memilih untuk berkerjasama dengan Tun Dr. Mahathir dan bukannya Anwar.

Adakah Anwar berjaya meyakinkan Tun Dr. Mahathir untuk bersamanya sekali lagi?

Walaupun begitu, untuk mendapat angka 113, Anwar perlukan sokongan daripada mereka di blok kerajaan; maka siapakah MP blok kerajaan yang kini bersama Anwar?

Nampaknya drama angka kembali berulang.

Isu 25 Usul Undi Tidak Percaya, 2 Undi Percaya Dijangka Dibangkit Hari Ini

Isu berhubung usul undi tidak percaya dan undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan antara yang dijangka dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta perdana menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya akan dibentang, dibahas dan diundi di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan strategi jangka pendek kementerian bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sesi soal jawab lisan, Wong Shu Qi (PH-Kluang) membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan.

Tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Belia dan Sukan, Sumber Manusia serta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka hangat ekoran peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menjadi pertikaian kebanyakan Ahli Parlimen.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menjenamakan semula Jasa sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza. -{BERNAMA]

Zahid Mengadap Sultan Perak di Istana Kinta

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat masuk ke perkarangan istana pada pukul 9.48 pagi tadi.

Ia selepas mesyuarat Umno peringkat negeri semalam. Semua pemimpin yang ditemui pemberita semalam mengunci mulut berkenaan calon menteri besar mereka.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama sedang dipertimbangkan iaitu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad, bekas menteri besar Zambry Kadir dan Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya.

Semalam, PH Perak dan Saarani mengadap Sultan Nazrin tetapi media diberitahu ketika itu belum ada calon menteri besar baru bagi menggantikan Ahmad Faizal Azumu.

Faizal gagal mendapat sokongan majoriti Adun dalam usul undi percaya yang dibentangkan di sidang DUN pada 4 Disember lalu.

Usul dibawa Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu hanya disokong 10 Adun manakala 48 orang lagi menolaknya.

Belum pasti sama ada Umno mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Parti itu memegang 25 kerusi DUN, kurang lima kerusi daripada jumlah minimum yang diperlukan.

Bersatu memiliki lima kerusi manakala PAS – yang mengatakan tidak akan menyertai usaha membentuk kerajaan negeri baru – memiliki tiga kerusi.

Jika Umno gagal mendapat cukup sokongan daripada Umno dan PAS, parti itu perlu mendapatkan sokongan pembangkang negeri, iaitu PH, yang memiliki 24 kerusi DUN. -{Malaysiakini]

احمد فيصل دتولق⹁ باݢايمان کدودوقن محي الدين؟

Baca versi Rumi di sini.

هاري اين⹁ منتري بسر ڤيراق⹁ احمد فيصل ازومو دري ڤرتي ڤريبومي برساتو مليسيا تله کاله دالم اوندي ڤرچاي دديوان اوندڠن نݢري ڤيراق.

دالم سيتواسي ڤوليتيک يڠ ݢنتيڠ ڤد ساعت اين⹁ ڤ.ڤ.ب.م. منريما تمڤارن هيبت اڤابيلا ديوان اوندڠن نݢري ڤيراق منولق منتري بسر يڠ مروڤاکن ڤميمڤين کنن ڤرتي ايت.

اونتوق ريکود⹁ احمد فيصل ازومو ايله تيمبالن ڤريسيدن ڤرتي ڤريبومي برساتو مليسيا.

درڤد 33 ادون کراجاءن درڤد ڤريکاتن ناسيونل دان امنو⹁ هاڽ سڤولوه ادون مڽوکوڠ بلياو.

دون ڤيراق ممڤوڽاءي 59 ادون⹁ نامون هاڽ 48 ادون يڠ حاضير مانکالا 11 ادون تيدق حاضير سماس اوندين تدي.

اڤاکه کجادين دڤيراق اين ممبري ݢمبارن ترهادڤ تهڤ سوکوڠن بلوک کراجاءن کڤد ڤ.ڤ.ب.م. دڤريڠکت ڤرسکوتوان؟

ڤريکاتن ناسيونل سباݢاي سبواه ݢابوڠن ڤوليتيک تيدق ممڤوڽاءي ماجوريتي دديوان رعيت⹁ نامون دسوکوڠ اوليه باريسن ناسيونل⹁ ݢابوڠن ڤرتي ساراوق⹁ ڤرتي برساتو سابه سرت سأورڠ اهلي ڤرليمن بيبس اونتوق ممبنتوق کراجاءن.

نامون ترداڤت ڤرݢيسيرن سچارا تربوک دأنتارا ڤميمڤين ڤ.ڤ.ب.م. دان ڤرتي يڠ مڽوکوڠ ڤريکاتن ناسيونل⁏ سهيڠݢکن اهلي ڤرليمن کراجاءن سنديري منونتوت تن سري محي الدين ياسين ممبوقتيکن بلياو کيني ماسيه ممڤوڽاءي سوکوڠن ماجوريتي.

ڤد کتيک اين⹁کراجاءن ممڤوڽاءي 111 اهلي ڤرليمن ﴿دڠن سوکوڠن سأورڠ اهلي ڤرليمن بيبس﴾⹁ مانکالا ڤمبڠکڠ ممڤوڽاءخ 108 اهلي ڤرليمن.

ڤرسوءالن يڠ سريڠ دبڠکيتکن اوليه ڤمبڠکڠ اداله⹁ اداکه کسموا 111 اهلي ڤرليمن کراجاءن ترسبوت ماسيه مڽوکوڠ محي الدين ڤد کتيک اين؟

ڤريستيوا دڤيراق تله منونجوقکن بهاوا ادون کراجاءن سنديري تيدق لاݢي برسام کڤيمڤينن دباوه تيمبالن ڤريسيدن ڤ.ڤ.ب.م.

نامون⹁ والاوڤون کاله⹁ احمد فيصل تله ممبوقتيکن بهاوا بلياو براني دان برسديا مڠهادڤي اوندي ڤرچاي.

ڤرسوءالنڽ⹁ اداکه ديوان رعيت اکن مڠاداکن اوندي ڤرچاي دان اوندي تيدق ڤرچاي ترهادڤ تن سري محي الدين؟

PAS Tak Sertai Kerajaan Baru Perak – Takiyuddin

PAS tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di Perak, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Katanya, keputusan itu selaras dengan tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang menyokong usul percaya terhadap Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Sila baca: Peja Ditolak, Bagaimana Kedudukan Muhyiddin?

“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidakmenyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu,” kata Takiyuddin.

Undi percaya terhadap Faizal sebagai menteri besar pagi tadi gagal selepas hanya 10 Adun menyokongnya.

Timbalan presiden Bersatu itu hanya disokong oleh wakil rakyat partinya sendiri, PAS dan bebas.

Adun PH dan kesemua 25 Adun Umno – sekutu kerajaan – memilih menolaknya, menyebabkan menteri besar baru mungkin akan dipilih.

Setakat ini belum jelas sama ada PN – Umno, Bersatu dan PAS – akan mempertahankan kerajaan atau penjajaran semula politik akan sekali lagi berlaku di Perak.

Umno dan DAP mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak, masing-masing 25 dan 16 kerusi.

Amanah mempunyai lima kerusi, diikuti Bersatu (6), PKR dan PAS masing-masing tiga kerusi dan bebas satu.

Dalam kenyataan ringkas sebentar tadi, Takiyuddin berkata PAS akan terus berperanan “sebagaimana biasa” dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional. -{Malaysiakini]

Peja Ditolak, Bagaimana Kedudukan Muhyiddin?

Baca versi ْJawi di sini.

Hari ini, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah kalah dalam undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam situasi politik yang genting pada saat ini, PPBM menerima tamparan hebat apabila Dewan Undangan Negeri Perak menolak MB yang merupakan pemimpin kanan parti itu.

Untuk rekod, Ahmad Faizal Azumu ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Daripada 33 ADUN kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) dan UMNO, hanya sepuluh ADUN menyokong beliau.

DUN Perak mempunyai 59 ADUN, namun hanya 48 ADUN yang hadir manakala 11 ADUN tidak hadir semasa undian tadi.

Apakah kejadian di Perak ini memberi gambaran terhadap tahap sokongan blok kerajaan kepada PPBM di peringkat persekutuan?

Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, namun disokong oleh Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah serta seorang Ahli Parlimen Bebas untuk membentuk kerajaan.

Namun, terdapat pergeseran secara terbuka di antara pemimpin PPBM dan parti yang menyokong PN; sehinggakan Ahli Parlimen kerajaan sendiri menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan beliau kini masih mempunyai sokongan majoriti.

Pada ketika ini, kerajaan mempunyai 111 Ahli Parlimen (dengan sokongan seorang MP Bebas), manakala pembangkang mempunyai 108 Ahli Parlimen.

Persoalan yang sering dibangkitkan oleh pembangkang adalah, adakah kesemua 111 Ahli Parlimen kerajaan tersebut masih menyokong Muhyiddin pada ketika ini?

Peristiwa di Perak telah menunjukkan bahawa ADUN kerajaan sendiri tidak lagi bersama kepimpinan di bawah Timbalan Presiden PPBM.

Namun, walaupun kalah, Ahmad Faizal telah membuktikan bahawa beliau berani dan bersedia menghadapi undi percaya.

Persoalannya, adakah Dewan Rakyat akan mengadakan undi percaya dan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin?