Terkini: Penduduk 2 Kawasan Di Simpang Renggam Dilarang Keluar Rumah Mulai Tengah Malam Ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam, Johor berikutan jumah kes baharu positif Covid-19 yang tinggi di kawasan tersebut mulai tengah malam ini.

Kawasan yang terlibat adalah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Perintah tersebut melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, Johor.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan di sini malam ini.

Menurut beliau, tujuan PKPD adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Dengan pelaksanaan perintah ini:

  • Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.kawasan.

“Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434. – MalaysiaGazette

Covid-19: Kabinet Potong Gaji 2 Bulan Untuk Tabung Covid-19

Kabinet hari ini membuat keputusan gaji 2 bulan perdana menteri, menteri, dan timbalan menteri dipotong dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

Tabung itu dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak koronavirus itu.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.

Sehingga semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan sebanyak RM8,493,103.48. -{Free Malaysia Today]

Covid-19: PKP Dilanjut 14 Hari; Polis Diberi "Green Light" Untuk Tangkap

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telahpun dilanjutkan sehingga 14 April 2020 dalam langkah untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi melalui sebuah pengumuman di saluran-saluran TV seluruh negara.

Di dalam sebuah kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), rakyat diminta bersabar dan patuh arahan kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga.

Keputusan ini dibuat selepas penelitian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, yang memutuskan sedemikian selepas melihat keadaan mungkin akan bertambah teruk jika tindakan ini tidak diambil.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, keadaan telahpun bertambah teruk apabila jumlah kes sudahpun bertambah sebanyak 172 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,796 kes, manakala jumlah kematian telah meningkat ke 17 kematian.

Tan Sri Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mematuhi arahan kerajaan, dan amat memahami cabaran yang dihadapi oleh mereka yang terpaksa duduk diam di rumah selama tempoh masa yang panjang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula mengingatkan rakyat agar kekal mematuhi arahan kerajaan, dan bersedia untuk digari dan bermalam di penjara jika terus ingkar.

Menurutnya, pihak polis telahpun dibenarkan untuk menangkap mereka yang angkuh terus tidak mematuhi arahan kerajaan, dan mereka sudahpun tangkap lebih 107 orang setakat pagi tadi.

“Saya dah beritahu, saya dah mula menangkap. Dah 107 orang ditangkap.

“Bagi mereka yang masih ingat mereka kebal dari penyakit, ataupun sengaja nak tunjuk dia gangster, melepak-lepak di tepi padang, jangan terkejut apabila digari tangan dan dibawa ke lokap.

“Dah dibuat pun, kebanyakan menghalang penjawat awam. Jangan terkejut, jangan marah, untuk duduk di lokap tiga, empat malam,” katanya di dalam sebuah temu bual pada hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hamid memaklumkan bahawa peratus rakyat yang patuh kini pada 92 peratus malah kadar jenayah juga telah menurun sebanyak 70 peratus.

Beliau turut menggesa rakyat agar tidak mendedahkan identiti suspek pesakit Covid-19 melalui media sosial atau mana-mana medium.

“Ini salah, ia akan menakutkan orang ramai.

“Jika pesakit sudah sihat dan dikeluarkan dari hospital, jiran akan hindari pesakit.

“Jika rakyat tahu siapa yang saspek membawa wabak Covid-19, mereka boleh terus lapor dan pihak polis akan datang bawa individu terbabit lakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Melihat kepada beberapa jenayah siber berhubung Covid-19, Abdul Hamid berkata pihak berkuasa telah membuka 370 kes berikutan perkara terbabit.

Galak "Social Distance": Kedai Nasi Kandar Ini Perkenalkan "Drive Thru"

Setakat laporan terkini, seramai 1,183 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 9 orang telah terkorban akibat penyakit ini.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, namun masih ada yang gagal mematuhinya.

Memerhati laporan media, “membeli makanan” ialah di antara jawapan paling popular apabila ditanya kenapa mereka perlu keluar dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Walaupun kini restoran dan kedai makan hanya dibenarkan menjual makanan yang dibungkus atau menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, namun orang awam yang beratur untuk membeli makanan seakan-akan menyebabkan “mass gathering” secara tidak sengaja pada ketika terdapat ramai pelanggan yang beratur.

Idea kreatif Restoran LC Putrajaya dalam usaha untuk menggalakkan amalan “social distancing” dalam usaha menangani wabak Covid-19 telah menarik perhatian saya.

Sebagai penyelesaiannya, mereka telah menyediakan perkhidmatan pandu lalu atau “drive thru” di mana pelanggan hanya perlu mengehon untuk membuat pesanan.

Dari laman Facebook LC Restaurant Putrajaya.

Memetik laporan The Star, pengurus restoran ini berkata, mereka tidak pernah menyediakan perkhidmatan tersebut sebelum ini.

“Bagi perkhidmatan pandu lalu, pekerja kami akan mengambil pesanan daripada pelanggan yang berhenti di hadapan restoran kami, dan menghantar pesanan mereka dengan sendiri. Maka mereka tidak perlu keluar dari kenderaan mereka.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran bagi makan tengah hari dan makan malam bagi mereka yang membuat prapesanan, dengan caj 50 sen bagi setiap item.”

The Star – “Putrajaya eateries told to put away tables and chairs” – (Terjemahan)

Semoga seluruh rakyat Malaysia terus mematuhi nasihat kerajaan persekutuan dalam usaha untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Tanpa kerjasama seluruh penduduk di negara ini, segala usaha kerajaan akan menjadi sia-sia.

18 Daerah di Malaysia Catat Kes Tertinggi COVID-19

Sebanyak 18 daerah di seluruh negara direkodkan sebagai kawasan yang mempunyai jumlah kes COVID-19 tertinggi di negara ini, iaitu melebihi 20 kes.

Sebanyak enam daerah direkodkan mempunyai lebih daripada 40 kes iaitu di Petaling Jaya sebanyak 96 kes, diikuti Lembah Pantai (90), Hulu Langat (75), Johor Bahru (52), Seremban (42) dan Titiwangsa (41).

Sebanyak 12 lagi kawasan mempunyai antara 22 dan 38 kes, yang mana di Semenanjung membabitkan sembilan kawasan.

Kawasan itu adalah Gombak iaitu sebanyak 38 kes, Pulau Pinang (34), Kota Bharu (29), Kluang (26), Kepong (24), Klang (23), Batu Pahat (23), Kuala Muda (23) dan Kinta (22).

Bagi Sabah dan Sarawak, sebanyak tiga daerah mencatatkan kes melebihi 20 iaitu Tawau sebanyak 37 kes, Lahad Datu (32) dan Kuching (30).

Taburan kes tertinggi sehingga jam 12 tengah hari semalam itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau.

Dr Noor Hisham, berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam juga, sebanyak 1,183 kes dicatatkan di seluruh negara, dengan 153 kes baharu, dan 114 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak empat lagi kematian direkodkan akibat COVID-19 di Malaysia, semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di negara ini ketika ini sebanyak lapan kes. -{Berita Harian]

TERKINI – Covid-19: Tentera Akan Dikerah (MINDEF)

Pihak tentera akan dipanggil bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau keadaan susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri.

“Mesyuarat hari ini memutuskan supaya pihak tentera membantu pihak polis di dalam memantau keadaan yang berlaku hari ini terutama untuk pastikan pematuhan rakyat kepada arahan supaya rakyat berada dalam rumah masing-masing.

“Tentera akan mula digerakkan pada hari Ahad ini, jadi kita yakin bantuan dari pihak tentera kawalan akan lebih lagi dapat dilaksanakan. Kita berharap rakyat akan terus patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.

“Kita berharap rakyat terus patuh arahan tentera. Dari laporan pihak polis, jelas nampak ada peningkatan dari segi pematuhan rakyat. Kita ucap terima kasih kepada rakyat.

“Bagaimanapun, masih terdapat insiden ramai tidak mempedulikan arahan pihak kerajaan dan arahan polis. Pada peringkat awal ini, kita hanya nasihat dan tindakan berhemah dilakukan.

Kalau akhirnya sampai tahap tidak boleh kompromi, maka tindakan undang-undang akan digunakan,” katanya.

Namun, menurut Ismail Sabri, pembabitan tentera itu bukanlah satu perintah darurat sambil menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.

“Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambah banyak panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, ‘posting’ dalam Facebook yang mengatakan menteri ertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

“Saya tidak tahu menteri pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya,” katanya. -{Malaysiakini]

Masih Ada Yang Ambil Mudah Impak Covid-19?

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di malam pertama Perintah Kawalan Pergerakan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Ini memandangkan ada dalam kalangan rakyat yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan bertindak meninggalkan ibukota dan bandar-bandar besar untuk pulang ke kampung serta ada juga yang makan di kedai-kedai makan, bersiar-siar dan sebagainya.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan ini hanya berlangsung selama dua minggu, tetapi jika keadaan bertambah teruk kerajaan mungkin terpaksa memanjangkan tempoh masa kawal pergerakan ini.

Membawa jangkitan wabak Covid-19 ke kawasan-kawasan luar bandar akan membawa masalah yang lebih besar memandangkan pesakit yang dijangkiti virus ini terpaksa dirawat di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan dan kepakaran yang khusus. Perkara ini akan menambahkan lagi bebanan kewangan dan emosi kepada pesakit dan keluarga mereka.

Jangkitan yang tidak terkawal juga sudah tentu akan membebankan perkhidmatan kesihatan secara keseluruhannya seperti yang berlaku di negara China ketika wabak ini sedang menular di wilayah Hubei, khasnya di bandaraya Wuhan.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, kesan ekonomi akibat wabak ini sudah dirasai oleh mereka yang terlibat di sektor pelancongan, industri penerbangan, penghotelan, hiburan dan pelbagai industri lain yang berkaitan termasuk mereka yang menjual hasil kraftangan dan pelbagai perkhidmatan kepada pelancong-pelancong.

Beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia telah mula mencadangkan potongan gaji dan cuti tanpa gaji kepada kakitangan mereka untuk mengelakkan keruntuhan syarikat jika keadaan ini berlarutan.

Rakyat yang diberhentikan kerja, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan mula mengeluh kerana apabila sudah tidak lagi dapat berkerja, maka sumber pendapatan mereka juga terjeda, mengakibatkan masalah kewangan di dalam keluarga.

Ini menjejaskan kehidupan mereka, apatah lagi bagi mereka yang tidak memiliki tabungan.

Perkara ini bertambah rumit jika mereka mempunyai komitmen yang tinggi termasuk bayaran ansuran rumah, kereta, kad kredit dan pelbagai hutang selain perbelanjaan keluarga yang tinggi.

Anak-anak yang sudah biasa dengan kehidupan yang selesa berkemungkinan akan merasa tertekan dan sukar untuk menerima keadaan yang berubah dengan drastik akibat kehilangan sumber pendapatan keluarga.

Sektor perniagaan barangan mewah dan barangan bukan keperluan asas juga mungkin akan turut terjejas jika wabak ini berlanjutan. Hasilnya seperti kesan domino dan berjangkit kepada sektor-sektor lain termasuk sektor kewangan apabila hutang gagal dibayar; akhirnya ekonomi negara akan lumpuh dan kadar pengangguran akan bertambah.

Pengurusan wabak yang menelan perbelanjaan tinggi akan menambah perbelanjaan kerajaan dengan ketara dan ini amat membebankan kerana di masa yang sama kerajaan juga perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk merangsang ekonomi negara yang jatuh akibat wabak ini.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan hargailah hak orang lain di sekeliling kita dengan tidak hanya mementingkan diri sendiri.

Sebagai seorang anak yang telah merasai kehilangan punca pendapatan keluarga dalam sekelip mata dan terpaksa meneruskan kehidupan tanpa pendapatan bulanan setelah kematian ayah secara tiba-tiba, saya sedar bahawa suasana ini amat mencabar namun kami berusaha untuk terus berjuang.

Jadi saya yakin anda juga boleh mengharungi masa yang sukar ini dengan sikap yang positif.

Semakin lama wabak ini melanda, semakin ramai rakyat yang akan menderita.

Patuhi arahan pihak berwajib dan berdoalah agar kita dilindungi Allah dan diberi kekuatan untuk menempuh saat yang getir ini.

Semoga Allah S.W.T. memelihara negara kita dari segala masalah dan memelihara kita semua dari wabak Covid-19.

Restoran, Kedai Makanan Kekal Beroperasi – KPDNHEP

Kerajaan membenarkan kedai makanan dan restoran boleh meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun, ia hanya untuk dibungkus dibawa balik atau melalui atas talian sahaja.

Menurut Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, orang ramai tidak dibenarkan untuk makan atau berkumpul beramai-ramai di premis-premis berkenaan.

“Terpulang kepada kebijaksanaan pengendali restoran atau peniaga untuk menjual barangan makanan namun hanyalah untuk belian ‘take away’ atau membelinya melalui atas talian.

“Kita tidak galakan apa-apa aktiviti berkumpul dalam kuantiti besar di luar, jadi untuk makan-makan di luar tidak boleh.

“Pasar malam juga tidak boleh ya, apa guna kita keluarkan perintah kawalan pergerakan jika semua ini dibuka, objektif perintah itu tidak masuk akal nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 2,500 penguatkuasa seluruh negara akan dikerahkan memantau harga barang-barang kawalan pada setiap waktu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan,” jelasnya.

Teks Penuh Perutusan Khas PM Mengenai Covid-19

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang
saya kasihi.

Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk
memaklumkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah
menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh
dunia.

Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai
162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Daripada
jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu
190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah
keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital,
manakala 42 orang telah pun pulih.

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini
terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa
ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan
menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan
drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan
Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh
negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan
Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh
negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk
menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai
serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam,
penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat
Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa
Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani
pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self
quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam
negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk
sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz
dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta
serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat
dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air,
elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas,
bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi,
bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan,
pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan
yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk
saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti
diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang
berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada
puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu
keadaan yang sama berlaku di negara kita.

Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih
meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat
penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai. Inilah
satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini
dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan
panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan
langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita
mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak
drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah
menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19.

Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan,
keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah
mencukupi. Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan
dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah
Pergerakan ini berkuatkuasa.

Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah
Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti
kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita,
masyarakat kita dan negara kita.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan
Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi
wabak Covid-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan
memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19
dari semasa ke semasa.

Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah
Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan
Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih
kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah
bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini.

Saya berdoa agar saudara-saudari sekalian terus cekal dan tabah dalam
menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan
kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara.

Akhir sekali, saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan
perlindungan oleh Allah S.W.T.

Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.