راتو ايليزبث مڠکت

[ baca versi rumi di sini ]

راتو يونايتد کيڠدم دان نݢري٢ کومنويل⹁ راتو ايليزبث II تله مڠکت دبيلمورل سبنتر تادي ڤد اوسيا 96 تاهون.

ممتيق سبواه کڽاتاءن درڤد ايستان باکيڠم هاري اين:

کوءين [راتو ايليزبث] تله مڠکت دڠن تنڠ دبيلبورل تڠه هاري تادي [وقتو يونايتد کيڠدم]. کيڠ [راج چرل‌س] دان کوءين کونسورت [ڤرمايسوري کاميلا] اکن ککل دبيلمورل ڤتڠ اين دان اکن ڤولڠ کلندن ايسوق.

دالم سبواه کڽاتاءن ريڠکس⹁ راج بهارو يونايتد کيڠدم⹁ راج چرل‌س⹁ منظاهيرکن راس دوکاچيتا اتس ڤمرݢين ايبوندا بݢيندا.

“کمڠکتن ايبوندا ترچينتا بيتا⹁ دولي يڠ مها موليا کوءين⹁ اياله ساعت ترڤاليڠ مندوکاچيتاکن باݢي بيتا دان سلوروه ورݢ قرابت بيتا.

“بيتا تاهو سلوروه نݢارا⹁ نݢري٢ دان کومنويل⹁ سرتا ورݢ سلوروه دنيا يڠ تيدق ترکيرا باڽقڽ اکن ترکسن دڠن کمڠکتن بݢيندا کوءين.”

راتو ايليزبث مروڤاکن ڤمرينته ترتوا دسلوروه دنيا⹁ سهيڠݢ کمڠکتن بݢيندا. بݢيندا تله مڽقسيکن ڤمرينتهن 15 ڤردان منتري بربيذا سجق ڤرطبلن بݢيندا ڤد 1952.

سبلوه اين⹁ قرابت دراج يونايتد کيڠدم تله برݢݢس کبيلمورل ستله راتو ايليزبث دلاڤورکن دالم کأداءن ݢريڠ. دالم سبواه کڽاتاءن اوليه ايستان باکيڠم⹁ دوکتور٢ بݢيندا دکاتاکن ريساو اکن کصيحتن بݢيندا⹁ دان مڽارنکن بݢيندا ککل دباوه ڤڠاوسن ڤراوبتن.

سوامي راتو ايليزبث⹁ ڤوترا فيليڤ مڠکت ڤد 9 اڤريل تاهون لڤس⹁ ڤد اوسيا 99 تاهون.

Ratu Elizabeth Mangkat

[ baca versi jawi di sini ]

Ratu United Kingdom dan Negeri-negeri Komanwel, Ratu Elizabeth II telah mangkat di Balmor sebentar tadi pada usia 96 tahun.

Memetik sebuah kenyataan daripada Istana Buckingham hari ini:

Queen [Ratu Elizabeth] telah mangkat dengan tenang di Balmoral tengah hari tadi [waktu United Kingdom]. King [Raja Charles] dan Queen Consort [Permaisuri Camila] akan kekal di Balmoral petang ini dan akan pulang ke London esok.

Dalam sebuah kenyataan ringkas, Raja baharu UK, Raja Charles, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian ibunda Baginda.

“Kemangkatan Ibunda tercinta Beta, Duli Yang Maha Mulia Queen, ialah saat terpaling mendukacitakan bagi Beta dan seluruh warga kerabat Beta.

“Beta tahu seluruh negara, negeri-negeri dan Komanwel, serta warga seluruh dunia yang tidak terkira banyaknya akan terkesan dengan kemangkatan Baginda Queen.”

Ratu Elizabeth merupakan pemerintah tertua di seluruh dunia, sehingga kemangkatan Baginda. Baginda telah menyaksikan pemerintahan 15 Perdana Menteri berbeza sejak pertabalan Baginda pada 1952.

Sebelum ini, kerabat diraja United Kingdom telah bergegas ke Balmoral setelah Ratu Elizabeth dilaporkan dalam keadaan gering. Dalam sebuah kenyataan oleh Istana Buckingham, doktor-doktor Baginda dikatakan risau akan kesihatan Baginda, dan menyarankan Baginda kekal di bawah pengawasan perubatan.

Suami Ratu Elizabeth, Putera Philip mangkat pada 9 April tahun lepas, pada usia 99 tahun.

Khalid Ibrahim Meninggal Dunia

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.08 malam tadi akibat jangkitan pada injap jantung.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook, Khalid, 76, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Beliau telah berada di hospital sejak 23 April lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan dua cucu.

Jenazah dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab, jenazah dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj, jenazah Abdul Khalid akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.

Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14 dari 2008 sehingga 2014. –{Utusan Malaysia]


خالد ابراهيم منيڠݢل دنيا

بکس منتري بسر سلاڠور⹁ تن سري عبد الخالد ابراهيم مڠهمبوسکن نفس تراخير ڤد ڤوکول 11.08 مالم تادي عاقبة جڠکيتن ڤد اينجڤ جنتوڠ.

منوروت کڽاتاءن يڠ دکلوارکن منروسي لامن سوسيال فيسبوک⹁ خالد⹁ 76⹁ مڠهمبوسکن نفس تراخيرڽ دهوسڤيتل کرديئيک ۏيسکولر سينترل⹁ کوالا لمڤور.

بلياو تله براد دهوسڤيتل سجق 23 اڤريل لالو.

جنازه دباوا کمسجد سيدنا عمر الخطاب⹁ بوکيت دمنسارا اونتوق دمندي⹁ دکافن دان دسمبهيڠکن.

سجوروس اوساي دمسجد عمر الخطاب⹁ جنازه دباوا کمسجيد نݢري شاه عالم باݢي ممبري ڤلواڠ کڤد رعيت دسلاڠور يڠ ماهو ممبريکن ڤڠهورمتن تراخير دان ملاکوکن سولت جنازه.

اتس تيته دان ليمڤه کورنيا سلطان سلاڠور⹁ سلطان شرف الدين ادريس شاه الحاج ابن سلطان صلاح الدين عبد العزيز الحاج⹁ جنازه عبد الخالد اکن دسماديکن دمقم دراج شاه عالم.

عبد الخالد دلانتيق سباݢاي منتري بسر سلاڠور يڠ ک-14 دري 2008 سهيڠݢ 2014.

ت.ن.ب.: ݢڠݢوان ايليکتريک برڤونچا کروسقن دڤنچاوڠ يوڠ ڤيڠ

[ baca versi rumi di sini ]

تناݢ ناسيونل برحد (ت.ن.ب.) مڠصحکن ڤونچا ݢڠݢوان بکلن ايليکتريک تڠه هاري تادي اداله برڤونچا درڤد کروسقن دساله ساتو ڤرالتن ت.ن.ب. ديوڠ ڤيڠ⹁ جوهر.

منروسي سبواه کڽاتاءن ريڠکس⹁ ت.ن.ب. ممعلومکن بهاوا کروسقن دڤنچاوڠ ماسوق اوتام (ڤ.م.او) يوڠ ڤيڠ نورث اياله ڤونچا کڤد ݢڠݢوان يڠ منججسکن همڤير سلوروه نݢارا تادي.

ݢڠݢوان ترسبوت تله مموتوسکن بکلن ايليکتريک دباڽق نݢري٢ سمننجوڠ درڤد جم 12.39 تڠه هاري هيڠݢ 3.02 ڤتڠ⹁ منججسکن اوڤراسي ڤجابت⹁ ڤڠڠکوتن عوم دان لالو لينتس.

سيلا باچ: ݢڠݢوان ايليکتريک: کريتا اڤي⹁ لاڤڠن تربڠ⹁ لمڤو اشارت توروت ترججس

کروسقن ايت تله معاقبتکن کهيلڠن ببن سباڽق 2.2ݢ.و. يڠ مروڤاکن 10% درڤد کسلوروهن ڤرمينتاءن بکلن دسمننجوڠ مليسيا.

جوروترا ت.ن.ب. تله مموليهکن بکلن ايليکتريک کڤد سموا کاوسن يڠ ترججس سچارا سڤنوهڽ ڤد جم 3.02 ڤتڠ. کباڽقن کاوسن برجاي دڤوليهکن سچارا برڤريڠکت سأول 20 مينيت ݢڠݢوان برلاکو.

Gangguan Elektrik Berpunca Kerosakan di Pencawang Yong Peng – TNB

[ baca versi jawi di sini ]

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan punca gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi adalah berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan TNB di Yong Peng, Johor.

Menerusi sebuah kenyataan ringkas, TNB memaklumkan bahawa kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North ialah punca kepada gangguan yang menjejaskan hampir seluruh negara tadi.

Gangguan tersebut telah memutuskan bekalan elektrik di banyak negeri-negeri semenanjung daripada jam 12.39 tengah hari hingga 3.02 petang, menjejaskan operasi pejabat, pengangkutan awam dan lalu lintas.

Sila baca: Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas

Kerosakan itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Jurutera TNB telah memulihkan bekalan elektrik kepada semua kawasan yang terjejas secara sepenuhnya pada jam 3.02 petang. Kebanyakan kawasan berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku.

ݢڠݢوان ايليکتريک: کريتا اڤي⹁ لاڤڠن تربڠ⹁ لمڤو اشارت توروت ترججس

[ baca versi rumi di sini ]

ݢڠݢوان ايليکتريک يڠ ملندا نݢارا هاري اين بوکن سهاج منججسکن رومه٢ دان ڤجابت دالم کرجا٢ هارين⹁ نامون ڤڠڠکوتن دان لالو لينتس دسلوروه نݢارا توروت ترکسن اڤابيلا لمڤو اشارت دان سيستم ترنسيت کريتا اڤي ريڠن (ايل.ار.تي.) ترهنتي سکتيک.

راڤيد کي.ايل. دالم سبواه کڽاتاءن ميديا منصيحتکن ڤارا ڤنومڤڠ ايل.ار.تي. اونتوق برصبر دان ايکوتي ارهن يڠ دبريکن.

لاڤڠن تربڠ انتارابڠسا کوالا لومڤور توروت مڠهادڤي مسئله عاقبة بکلن ايليکتريک يڠ ترڤوتوس. منروسي سبواه کڽاتاءن ريڠکس⹁ مليشن ايرڤورت‌س ممعلومکن ترمينل اوتام لاڤڠن تربڠ ترسبوت توروت ترکسن دڠن ݢڠݢوان ايليکتريک ايت.

“ڤاسوقن جوروترا کامي سدڠ برهوبوڠ دڠن ت.ن.ب. اونتوق مڽلسايکن حال اين. سيلا برهوبوڠ دڠن ڤاسوقن دارت لاڤڠن تربڠ کامي اونتوق بنتوان دتيتيق٢ سنتوه اوتام.”

سلاءين سيستم ڤڠنکوتن⹁ ڤرخدمتن تيليفون جوݢ توروت ترکسن دڠن ݢڠݢوان اين. راماي ڤڠݢونا ݢاݢل منداڤت تالين سماس تيمڤوه ݢڠݢوان ترسبوت.

ݢڠݢوان ايليکتريک کالي اين منججسکن لمبه کلڠ دان ببراڤ نݢري ڤد تڠه هاري تادي. همڤير سلوروه نݢارا کيچوه اڤابيلا بکلن ايليکتريک ترڤوتوس سچارا تيبا٢ کيرا٢ جم 12.45 تڠه هاري.

تناݢ ناسيونل برحد (ت.ن.ب.) منروسي ساتو کياتاءن برکات مريک ماسيه سدڠ براوسها مڠسن ڤونچا مسئله ايت.

“ڤاسوقن تينيکل کامي سدڠن مڠنل ڤستي ڤونچا کجادين … کامي موهون معاف دأتس سݢالا کسوليتن دعالمي اوليه ڤڠݢونا سماس ݢڠݢوان بکلن اين.”

بکلن ايليکتريک تله دڤوليهکن سڤنوهڽ دالم تيمڤوه 20-40 مينيت سلڤس برمولاڽ کجادين.

کاوسن٢ تومڤوان ترماسوق کي.ايل.سي.سي. توروت ترکسن⹁ منججسکن اوڤراسي ڤجابت دسلوروه نݢارا.

Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas

[ baca versi jawi di sini ]

Gangguan elektrik yang melanda negara hari ini bukan sahaja menjejaskan rumah-rumah dan pejabat dalam kerja-kerja harian, namun pengangkutan dan lalu lintas di seluruh negara turut terkesan apabila lampu isyarat dan sistem transit kereta api ringan (LRT) terhenti seketika.

RapidKL dalam sebuah kenyataan media menasihatkan para penumpang LRT untuk bersabar dan ikuti arahan yang diberikan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut menghadapi masalah akibat bekalan elektrik yang terputus. Menerusi sebuah kenyataan ringkas, Malaysian Airports memaklumkan terminal utama lapangan terbang tersebut turut terkesan dengan gangguan elektrik itu.

“Pasukan jurutera kami sedang berhubung dengan TNB untuk menyelesaikan hal ini. Sila berhubung dengan pasukan darat lapangan terbang kami untuk bantuan di titik-titik sentuh utama.”

Selain sistem pengangkutan, perkhidmatan telefon juga turut terkesan dengan gangguan ini. Ramai pengguna gagal mendapat talian semasa tempoh gangguan tersebut.

Gangguan bekalan elektrik kali ini menjejaskan Lembah Klang dan beberapa negeri pada tengah hari tadi. Hampir seluruh negara kecoh apabila bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Tenaga Nasional Berhad menerusi satu kenyataan berkata mereka masih sedang berusaha mengesan punca masalah itu.

“Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian … Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.”

Bekalan elektrik telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20-40 minit selepas bermulanya kejadian.

Kawasan-kawasan tumpuan termasuk KLCC turut terkesan, menjejaskan operasi pejabat di seluruh negara.

ADUN Tronoh Dihukum Penjara 13 Tahun, 2 Sebatan

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan melalui saksi-saksi dikemukakan.

Beliau berkata, mahkamah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan sebagaimana dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Yong pada 7 Disember tahun lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadaruddin.

Pada 23 Ogos 2019, Yong yang ketika itu adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 23 Ogos 2019, Yong yang ketika itu adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -{Free Malaysia Today]

Esok(Isnin) Hari Raya Aidil Fitri

Berita Harian – Masyarakat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Aidilfitri, esok.

Perkara itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi, selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pengumuman rasmi disiarkan di saluran televisyen tempatan, sebentar tadi.

Cerapan anak bulan dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, merangkumi pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Maklumat rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia, terbitan JUPEM.

Usul SOSMA: Pecat Menteri, Timb. Menteri Tidak Hadir – Ku Li

Menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika pengundian usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat baru-baru ini, patut dipecat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, mereka perlu bertanggungjawab menyebabkan usul penting untuk keselamatan negara tidak dapat diluluskan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat mereka kerana cuai terhadap tanggungjawab masing-masing.

“Ia tanggungjawab bersama apabila usul seumpama itu, nak jaga keselamatan negara, tidak diendah, tidak dipeduli oleh menteri kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan itu supaya ia disambung, dilanjutkan masa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Melayu Perak (GMP) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ahli politik veteran itu berpendapat, Perdana Menteri tidak akan berbuat demikian kerana akan menjejaskan kedudukannya sendiri.

“Dia tak akan buat, dia tak akan buang. Kalau buang, dia jatuh,” ujarnya.

Menurutnya, perkara seumpam itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“You putus nak bawa usul dalam Parlimen, you tahu you punya bilangan tak ramai, mengapa tidak hadir,” tambahnya.

Pada 22 Mac lalu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Keputusan undi yang menyokong kemudiannya ditambah satu lagi, menjadikan 85 setelah didapati berlaku kekhilafan pada hari pengundian dibuat. -{Astro Awani]

%d bloggers like this: