Wakil Rakyat Bersatu Sabah Keluar Parti

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah lumpuh apabila semua wakil rakyatnya keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua wakil rakyat mengambil keputusan keluar dan meninggalkan Bersatu.

“Kami membuat keputusan ini setelah mempertimbang keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan. 

“Justeru, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, pada masa ini wakil rakyat akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo.

Menurut beliau, keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah. 

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

“Kami berikrar memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepemimpinan dan kebijaksanaan Anwar  untuk memimpin negara.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya.

“Keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahan untuk kekal sebagai status quo,” katanya. 

Di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. 

Tambahnya, beliau akan memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada mereka dalam pilihan raya lalu. 

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  belum menyatakan pendiriannya mengenai keputusan Bersatu Sabah itu. –{Utusan Digital]

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: