GPS Setuju Gabung BN, PN, GRS Bentuk Kerajaan

Gabungan Parti Sarawak (GRS) bersetuju membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS telah mengambil keputusan dan tindakan tersebut demi untuk mengukuh dan menstabilkan Negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kita semua sedia maklum bahawa tiada sesebuah parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan setelah selesai PRU15 semalam.

“Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.

“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat harus lah dibentuk dengan kadar yang segera,” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.

Jesteru katanya, GPS bersetuju membentuk gabungan (coalition) PN, BN, GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat berasaskan tiga ketetapan.

“Menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC Autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.

“Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. –{Kosmo!]

%d bloggers like this: