ڤرلو ساڠتکه ڤرليمن دبوبر دڠن سݢرا؟

[ baca versi rumi di sini ]

کڤوتوسن مشوارت مجليس ترتيڠݢي (م.ت.) امنو بهاوا ڤمبوبرن ڤرليمن هندقله دأداکن دالم ماس تردکت تله مڠوندڠ ڤلباݢاي رياکسي.

دالم ممبڠکيتکن سوءال بنجير⹁ لوڤاکه کيت بهاوا سبلوم وابق کوۏيد-19⹁ ڤڤريقساءن س.ڤ.م. دان س.ت.ڤ.م. دأداکن ڤد ستياڤ اخير تاهون؟ کناڤ تياد ڤولا يڠ برتيندق مڠاداکن ڤرهيمڤونن اونتوق ممبنته؟

باݢي ساي⹁ ماسيڠ٢ بيبس ملونترکن ڤنداڤت تتاڤي کيت مستي مڠهورماتي ڤرکارا 40(1) ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتوان.

سڤرتي توليسن٢ ساي دأخبر اوتوسن مليسيا⹁ ڤنديرين ساي تنتڠ حال اين اداله جلس دان تتڤ.

کيت تيدق واجر منڠݢوهکن ڤرکارا يڠ تله دتڠݢوهکن سجق دوا تاهون يڠ لالو کران مندت درڤد رعيت اداله امت ڤنتيڠ دمي منجامين کستابيلن ڤوليتيک.

تياد ݢوناڽ کيت ممڤرتيکايکن کأبصحن ڤردان منتري جک کيت تيدق ماهو ڤردان منتري دأبصحکن دڠن ممولڠکن مندت کڤد رعيت.

اڤ ݢوناڽ برچاکؤ سوءال ديموکراسي جک کيت برتيندق مليڠهکن ڤروسيس ديموکراسي؟

مڠمبيل چونتوه ڤرايستيوا 1981⹁ اڤابيلا تون محضير ڤرتام کالي منجادي ڤردان منتري ڤد بولن جولاي تاهون ترسبوت⹁ تون تله ممبوبر ڤرليمن هاڽ سکيتر لاڤن بولن سهاج سلڤس ايت.

ايت اياله تيمڤوه ڤرليمن ترسيڠکت دالم سجاره نݢارا⹁ ياءيت تيݢ تاهون⹁ لاڤن بولن دان توجوه هاري⁏ ماناکالا ڤيليهن راي عموم (ڤ.ر.ع.) دأداکن کورڠ سبولن سلڤس تاريخ ڤمبوبرن ايت.

حال اين ڤنتيڠ اونتوق دڤرهاتيکن⹁ کران سيتواسي کيت اݢق ميريڤ سيتواسي 1981 دمان ڤرتوکرن ڤردان منتري برلاکو بوکن ملالوءي ڤ.ر.ع.

بݢيتو جوݢ دالم سيتواسي يڠ سروڤا اڤابيلا برلاکو ڤراوبهن کواس درڤد تون محضير کڤد تون عبدالله⹁ دان درڤد تون عبدالله کڤد داتوء سري نجيب⁏ ڤ.ر.ع. دأداکن تيدق لاما ستله ايت.

ڤرکارا اين ڤنتيڠ دالم سيستىم ديموکراسي مودن اونتوق ممستيکن ستياڤ ڤراوبهن ڤوچوق ڤيمڤينن نݢارا منداڤت مندت درڤد رعيت.

سلاري دڠن عملن نݢارا سبلوم اين⹁ ڤ.ر.ع.15 سڤاتوتڽ دأداکن سجق 2020 لاݢي⁏ ياءيت کتيک تن سري محي الدين منجادي ڤردان منتري حاصيل ڤراليهن کواس درڤد ڤ.ه‍. کڤد ڤ.ن. يڠ برلاکو بوکن ملالوءي ڤ.ر.ع.

ستاهون سلڤس ايت⹁ جاوتن ڤردان منتري براوبه کڤد داتوء سري اسماعيل صبري⹁ سکالي لاݢي تنڤا ملالوءي ڤ.ر.ع.

مک مندت هندقله دکمباليکن سچڤت موڠکين اݢر کدودوقن کراجاءن داڤت دأبصحکن.

Perlu Sangatkah Parlimen Dibubar Dengan Segera?

[ baca versi jawi di sini ]

Keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat telah mengundang pelbagai reaksi.

Dalam membangkitkan soal banjir, lupakah kita bahawa sebelum wabak Covid-19, peperiksaan SPM dan STPM diadakan pada setiap akhir tahun? Kenapa tiada pula yang bertindak mengadakan perhimpunan untuk membantah?

Bagi saya, masing-masing bebas melontarkan pendapat tetapi kita mesti menghormati Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Seperti tulisan-tulisan saya di akhbar Utusan Malaysia, pendirian saya tentang hal ini adalah jelas dan tetap.

Kita tidak wajar menangguhkan perkara yang telah ditangguhkan sejak dua tahun yang lalu kerana mandat daripada rakyat adalah amat penting demi menjamin kestabilan politik.

Tiada gunanya kita mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri jika kita tidak mahu Perdana Menteri diabsahkan dengan memulangkan mandat kepada rakyat.

Apa gunanya bercakap soal demokrasi jika kita bertindak melengahkan proses demokrasi?

Mengambil contoh peristiwa 1981, apabila Tun Mahathir pertama kali menjadi Perdana Menteri pada bulan Julai tahun tersebut, Tun telah membubar Parlimen hanya sekitar lapan bulan sahaja selepas itu.

Itu ialah tempoh Parlimen tersingkat dalam sejarah negara, iaitu tiga tahun, lapan bulan dan tujuh hari; manakala Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan kurang sebulan selepas tarikh pembubaran itu.

Hal ini penting untuk diperhatikan, kerana situasi kita agak mirip situasi 1981 di mana pertukaran Perdana Menteri berlaku bukan melalui PRU.

Begitu juga dalam situasi yang serupa apabila berlaku perubahan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Tun Abdullah, dan daripada Tun Abdullah kepada Dato’ Seri Najib; PRU diadakan tidak lama setelah itu.

Perkara ini penting dalam sistem demokrasi moden untuk memastikan setiap perubahan pucuk pimpinan negara mendapat mandat daripada rakyat.

Selari dengan amalan negara sebelum ini, PRU15 sepatutnya diadakan sejak 2020 lagi – iaitu ketika Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri hasil peralihan kuasa daripada PH kepada PN yang berlaku bukan melalui PRU.

Setahun selepas itu, jawatan Perdana Menteri berubah kepada Datuk Seri Ismail Sabri, sekali lagi tanpa melalui PRU.

Maka mandat hendaklah dikembalikan secepat mungkin agar kedudukan kerajaan dapat diabsahkan.

%d bloggers like this: