Benarkah Malaysia Dijajah British?

Pada tanggal 31 Ogos 1957, telah lahir sebuah negara Persekutuan baharu yang berdaulat. Ramai yang merujuk tarikh ini sebagai, “Hari Kemerdekaan” atau “Hari Merdeka” dengan anggapan bahawa pada tarikh ini, negara kita akhirnya dimerdekan daripada menjadi jajahan takluk British.

Namun ramai yang tidak menyedari bahawa kisah Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tarikh tersebut hanyalah sekadar satu mitos.

Sebenarnya istilah yang betul adalah, “Hari Kebangsaan” dan bukannya, “Hari Kemerdekaan.” Tentu ada yang bertanya, bukankah selama ini kita telah bertahun-tahun menggunakan istilah, “Hari Kemerdekaan”?

Untuk merungkai hal ini, kita perlu mendalami bagaimana kesalahtanggapan ini berlaku.

Umumnya, istilah “Hari Merdeka” dipetik daripada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Namun perlu kita fahami bahawa Perkara 160(2) merujuk istilah, “Hari Merdeka” secara khusus kepada tarikh 31 Ogos 1957 sahaja, iaitu tarikh tersebut pada tahun 1957 sahaja dan bukannya merangkumi tahun-tahun yang seterusnya.

Sebelum tarikh itu, Tanah Melayu diperintah oleh sepuluh kuasa berasingan, masing-masing bebas dan berdaulat serta tidak mempunyai kuasa ke atas satu sama lain. Sembilan daripada kuasa ini merupakan negeri-negeri Melayu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu, masing-masing diperintah oleh Raja-raja Melayu yang berdaulat.

Manakala Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang dan Singapura) yang merupakan tanah jajahan mahkota Inggeris (British Crown Colony) adalah di bawah kekuasaan Great Britain.

Sebenarnya kawasan yang dijajah British di Tanah Melayu hanyalah Negeri-negeri Selat.

Peranan British di Tanah Melayu selain di Negeri-negeri Selat hanyalah sekadar negara luar yang mengadakan hubungan diplomatik dengan negeri Melayu. Benar, dengan alasan membantu pentadbiran, mereka telah mencampuri hal ehwal tempatan, namun British tidak berjaya menjajah atau mempunyai kuasa mutlak atas Tanah Melayu.

Hal ini jelas diperakui sendiri oleh mahkamah dan parlimen Britain.

Ketika sebuah syarikat British, Duff Development Co. Ltd. menyaman Kerajaan Kelantan di mahkamah Britain, mahkamah telah mendapati kes tersebut tidak dapat dibicarakan di mahkamah Britain. Maka, kes tersebut telah terbatal. Hal ini kerana Kelantan adalah negeri berdaulat yang tidak berada di bawah jajahan mahupun naungan British; justeru mahkamah Britain tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut.

Malah, ini bukanlah satu-satunya kes yang membuktikan hal tersebut. Sebelum itu, dalam kes Mighell v. Sultan of Johore (1894) mahkamah Britain telah memutuskan perkara yang sama. Dalam kes ini, mahkamah Britain memperakui status Johor sebagai negeri berdaulat dan merdeka. Maka, Sultan Abu Bakar selaku pemerintah yang berdaulat tidak boleh dibicarakan di mahkamah Britain.

House of Commons Britain pada 1957 sekali lagi mengesahkan kedudukan kesembilan-sembilan negeri Melayu ini sebagai negeri yang tidak dijajah oleh British, apabila Ketua Setiausaha Negeri bagi Tanah-tanah Jajahan United Kingdom menyatakan bahawa negeri-negeri tersebut tidak pernah pada bila-bila masa menjadi tanah jajahan British.

Perkara ini jelas dicatat di dalam hansard parlimen Britain sendiri. Malah, beliau sendiri mengatakan bahawa beliau berharap mereka yang tidak sedar akan fakta ini, akan merenung semula sejarah yang sebenarnya.

Malah, sekiranya kita merujuk kepada dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, hal ini adalah amat jelas. Dokumen penting ini dengan jelas mencatatkan bahawa hanya Melaka dan Pulau Pinang yang dimerdekakan. Manakala negeri-negeri lain hanya terlibat dalam membentuk sebuah negara yang baharu.

Dan bahawasanya, oleh kerana telah bersetuju pula di antara kedua-dua pihak dalam perjanjian yang tersebut iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh yang tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatan baginda di atas kedua-dua buah Negeri yang tersebut itu.

Jika begitu, mengapakah YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali pada 31 Ogos 1957?

Selain Melaka dan Pulau Pinang yang dimerdekakan daripada jajahan British pada hari tersebut, laungan (Merdeka!) juga menandakan ‘merdekanya’ negeri-negeri lain daripada campur tangan British.

Walaupun British tidak menjajah negeri-negeri beraja, namun mereka tetap mencampuri urusan negara. Bermula 31 Ogos1957, terbatallah segala campur tangan mereka. Dan atas faktor Melaka dan Pulau Pinang, Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebahagian daripada negara Komanwel.

Mana mungkin Malaya yang baru ditubuh pada 31 Ogos 1957, juga mengisytiharkan kemerdekaan daripada kuasa asing pada saat yang sama? Jika begitulah, maka itu merupakan tempoh penjajahan tersingkat dalam sejarah dunia.

Tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim bekali-kali telah menjelaskan bahawa British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu. Sebaliknya, British sebenarnya bertugas sebagai pekerja asing di Tanah Melayu yang dibayar dengan hasil daripada Tanah Melayu, bagi membantu pentadbiran negara.

Walaupun begitu, kita sebenarnya telah hampir dijajah oleh British melalui Malayan Union. Tatkala British berusaha membuat gagasan Malayan Union yang merupakan tipu helah licik dan tersirat untuk menjajah Tanah Melayu, pejuang-pejuang Melayu telah bangkit membantah gagasan tersebut.

Rakyat Tanah Melayu bangkit berhimpun di seluruh negara. Para pejuang Melayu telah menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan UMNO untuk membebaskan tanah air daripada campur tangan British. Perjuangan ini adalah bagi mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan bumi yang bertuah ini dan bukannya pejuangan untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Justeru, sambutan ini kini di sebut sebagai sambutan Hari Kebangsaan.

Menamakan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan juga dilihat kurang releven dalam menyemarakkan semangat ke-Malaysian memandangkan Sabah dan Sarawak tidak memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, manakala Sarawak pula merdeka pada 22 Julai 1963; dan bukannya pada 31 Ogos 1957 seperti tarikh kemerdekaan Melaka dan Pulau Pinang.

Ada juga yang bertanya – bagaimana pula dengan zaman Perang Dunia Kedua di mana Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dan merampasnya daripada British? Sebenarnya Jepun hanya sekadar menduduki Tanah Melayu, dan bukannya menjajah. Sekadar menduduki adalah berbeza daripada menjajah dari segi pentadbiran dan pemerintahan.

Kita seharusnya berbangga dan merasa bertuah kerana tidak dijajah. Tidak perlulah pula kita memperkecilkan sejarah sendiri serta mengagungkan kuasa luar sehingga mendakwa kita dijajah. Walhal mereka sendiri mengakui bahawa mereka tidak pernah menjajah tanah berdaulat ini.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia! 🇲🇾

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: