راتو ايليزبث مڠکت

[ baca versi rumi di sini ]

راتو يونايتد کيڠدم دان نݢري٢ کومنويل⹁ راتو ايليزبث II تله مڠکت دبيلمورل سبنتر تادي ڤد اوسيا 96 تاهون.

ممتيق سبواه کڽاتاءن درڤد ايستان باکيڠم هاري اين:

کوءين [راتو ايليزبث] تله مڠکت دڠن تنڠ دبيلبورل تڠه هاري تادي [وقتو يونايتد کيڠدم]. کيڠ [راج چرل‌س] دان کوءين کونسورت [ڤرمايسوري کاميلا] اکن ککل دبيلمورل ڤتڠ اين دان اکن ڤولڠ کلندن ايسوق.

دالم سبواه کڽاتاءن ريڠکس⹁ راج بهارو يونايتد کيڠدم⹁ راج چرل‌س⹁ منظاهيرکن راس دوکاچيتا اتس ڤمرݢين ايبوندا بݢيندا.

“کمڠکتن ايبوندا ترچينتا بيتا⹁ دولي يڠ مها موليا کوءين⹁ اياله ساعت ترڤاليڠ مندوکاچيتاکن باݢي بيتا دان سلوروه ورݢ قرابت بيتا.

“بيتا تاهو سلوروه نݢارا⹁ نݢري٢ دان کومنويل⹁ سرتا ورݢ سلوروه دنيا يڠ تيدق ترکيرا باڽقڽ اکن ترکسن دڠن کمڠکتن بݢيندا کوءين.”

راتو ايليزبث مروڤاکن ڤمرينته ترتوا دسلوروه دنيا⹁ سهيڠݢ کمڠکتن بݢيندا. بݢيندا تله مڽقسيکن ڤمرينتهن 15 ڤردان منتري بربيذا سجق ڤرطبلن بݢيندا ڤد 1952.

سبلوه اين⹁ قرابت دراج يونايتد کيڠدم تله برݢݢس کبيلمورل ستله راتو ايليزبث دلاڤورکن دالم کأداءن ݢريڠ. دالم سبواه کڽاتاءن اوليه ايستان باکيڠم⹁ دوکتور٢ بݢيندا دکاتاکن ريساو اکن کصيحتن بݢيندا⹁ دان مڽارنکن بݢيندا ککل دباوه ڤڠاوسن ڤراوبتن.

سوامي راتو ايليزبث⹁ ڤوترا فيليڤ مڠکت ڤد 9 اڤريل تاهون لڤس⹁ ڤد اوسيا 99 تاهون.

Ratu Elizabeth Mangkat

[ baca versi jawi di sini ]

Ratu United Kingdom dan Negeri-negeri Komanwel, Ratu Elizabeth II telah mangkat di Balmor sebentar tadi pada usia 96 tahun.

Memetik sebuah kenyataan daripada Istana Buckingham hari ini:

Queen [Ratu Elizabeth] telah mangkat dengan tenang di Balmoral tengah hari tadi [waktu United Kingdom]. King [Raja Charles] dan Queen Consort [Permaisuri Camila] akan kekal di Balmoral petang ini dan akan pulang ke London esok.

Dalam sebuah kenyataan ringkas, Raja baharu UK, Raja Charles, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian ibunda Baginda.

“Kemangkatan Ibunda tercinta Beta, Duli Yang Maha Mulia Queen, ialah saat terpaling mendukacitakan bagi Beta dan seluruh warga kerabat Beta.

“Beta tahu seluruh negara, negeri-negeri dan Komanwel, serta warga seluruh dunia yang tidak terkira banyaknya akan terkesan dengan kemangkatan Baginda Queen.”

Ratu Elizabeth merupakan pemerintah tertua di seluruh dunia, sehingga kemangkatan Baginda. Baginda telah menyaksikan pemerintahan 15 Perdana Menteri berbeza sejak pertabalan Baginda pada 1952.

Sebelum ini, kerabat diraja United Kingdom telah bergegas ke Balmoral setelah Ratu Elizabeth dilaporkan dalam keadaan gering. Dalam sebuah kenyataan oleh Istana Buckingham, doktor-doktor Baginda dikatakan risau akan kesihatan Baginda, dan menyarankan Baginda kekal di bawah pengawasan perubatan.

Suami Ratu Elizabeth, Putera Philip mangkat pada 9 April tahun lepas, pada usia 99 tahun.

%d bloggers like this: