ڤميمڤين چوکوڤله بريتوريک

[ baca versi rumi di sini ]

کيت مڠهارڤکن ڤرلقساناءن لارڠن اهلي ڤرليمن ڤرتوکر ڤرتي اکن داڤت مڠهيندرکن سيندروم کاتق برڤوليتيک درڤد برتروسن.

حال اين ڤنتيڠ ممندڠکن ڤسچا-ڤ.ر.ع.14⹁ کأداءن ڤوليتيک نݢارا سريڠ برݢولق عاقبة ڤراليهن سوکوڠن ڤوليتيک سرتا اکتيۏيتي ملومڤت ڤرتي دالم کالڠن واکيل٢ رعيت⁏ باءيق اهلي ڤرليمن ماهوڤون اهلي ديوان اوندڠن نݢري.

ساي مليهت مسئله اون کيني سماکين ڤاره⁏ مک جک تيدق دبندوڠ دڠن سݢرا⹁ نݢارا باکل برهادڤن دڠن کريسيس ڤوليتيک يڠ تيدق برکسودهن.

سماس برکيمڤين مريک ددوکوڠ اوليه اورڠ ڤرتي يڠ برهمڤس ڤولس برکيمڤين اونتوق ممنڠکن مريک⁏ نامون ستله مريک براليه سليرا⹁ مريک لنتڠ مڠهنتم ڤرتي يڠ تله ممنڠکن مريک.

هابيس مادو⹁ سڤه دبواڠ. جنجي بولن دان بينتڠ کڤد ڤڠوندي هيلڠ انته کمان.

سماس برکيمڤين⹁ مريک برجنجي اونتوق ممبيلا نصيب رعيت⁏ تتاڤي اخيرڽ نصيب ڤميمڤين ڤولا يڠ ترڤقسا دجاݢ اوليه رعيت.

ڤرتي يڠ اد برڤچه-ڤچه⹁ دتوبوه ڤولا ڤرتي بهارو⁏ بݢيتو جوݢ کأداءنڽ دڠن ݢابوڠن ڤرتي سهيڠݢاکن رعيت کچيوا دان تراس دڤرماءينکن.

اينله مسئله کيت ڤد هاري اين اڤابيلا راماي ڤارا ڤميمڤين ترلالو عاشيق برڤوليتيک سرتا تيدق لاݢي برصيفت نݢاراون دان سڠݢوڤ برقربان دمي نݢارا.

يڠ ددمباکن رعيت اداله ڤميمڤين برڤرينسيڤ دان بوکنڽ “کاتق برڤرينسيڤ.”

راماي چالون ممنڠي ڤيليهن راي کران ڤڠوندي مڽوکوڠ ڤرجواڠن ڤرتي يڠ مريک واکيلي دان بوکن کران ديري مريک سنديري.

مک واکيل رعيت يڠ دڤيليه سڤاتوتڽ مڠاڠکت ڤرجواڠن ڤرتي دان بوکنڽ مڠݢوناکن ڤرتي سباݢاي الت اونتوق مڠاڠکت ديري سنديري.

کيت بوکن ماهوکن ڤميمڤين يڠ هاڽ بوليه برچاکڤ اتاو بردبت سمات-مات⹁ تتاڤي چيري اوتام يڠ دچاري اياله کماتڠن دان کبوليهن اونتوق منتدبير نݢارا دڠن باءيق دان امانه.

ڤميمڤين يڠ باءيق بوکن هاڽ سقدر بوليه مراس دڽوت نادي رعيت تتاڤي مستي ممڤو برفيکير ڤنجڠ دالم مرنچڠ ماس دڤن نݢارا.

دالم سواسان دنيا يڠ برݢولق سرتا کأداءن ايکونومي يڠ منچابر⹁ رعيت مڠهارڤکن ڤميمڤين يڠ بنر٢ برکبوليهن اونتوق مڠݢوروس نݢارا دنن باءيق اݢر ايکونومي نݢارا تيدق رونتوه.

برسيکڤ جوجورله کڤد رعيت⁏ چوکوڤ-چوکوڤله بريتوريک⹁ تودوه-منودوه سرتا منابور جنجي مانيس دان هابوان اونتوق منداڤت سوکوڠن.

سباݢاي ڤڠوندي⹁ لبيه٢ لاݢي کڤد ݢينراسي اوندي18⹁ جاڠن موده ترڤداي دڠن جنجي٢ ڤوليتيک⁏ برفيکيرله سچارا ماتڠ سبلوم ممبوات کڤوتوسن.

کنلي ڤرينسيڤ ڤرجواڠن ڤرتي٢ يڠ برتنديڠ سرتا سياڤا ڤميمڤين٢ مريک.

برڤيجقله دبومي يڠ ڽات⁏ جاڠن سمڤاي کيت ترتيڤو اوليه ايلوسي يڠ تيدق لبيه درڤد سقدر ساتو فاتامورݢان يڠ اينده.

Pemimpin Cukuplah Beretorik

[ baca versi jawi di sini ]

Kita mengharapkan perlaksanaan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dapat menghindarkan sindrom katak politik daripada berterusan.

Hal ini penting memandangkan pasca-PRU14, keadaan politik negara sering bergolak akibat peralihan sokongan politik serta aktiviti melompat parti dalam kalangan wakil-wakil rakyat; baik ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri.

Saya melihat masalah ini kini semakin parah; maka jika tidak dibendung dengan segera, negara bakal berhadapan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Semasa berkempen mereka didukung oleh orang parti yang berhempas pulas berkempen untuk memenangkan mereka; namun setelah mereka beralih selera, mereka lantang menghentam parti yang telah memenangkan mereka.

Habis madu, sepah dibuang. Janji bulan dan bintang kepada pengundi hilang entah ke mana.

Semasa berkempen, mereka berjanji untuk membela nasib rakyat; tetapi akhirnya nasib pemimpin pula yang terpaksa dijaga oleh rakyat.

Parti yang ada berpecah-belah, ditubuh pula parti baharu; begitu juga keadaannya dengan gabungan parti sehinggakan rakyat kecewa dan terasa dipermainkan.

Inilah masalah kita pada hari ini apabila ramai para pemimpin terlalu asyik berpolitik serta tidak lagi bersifat negarawan dan sanggup berkorban demi negara.

Yang didambakan rakyat adalah pemimpin berprinsip dan bukannya “katak berprinsip”.

Ramai calon memenangi pilihan raya kerana pengundi menyokong perjuangan parti yang mereka wakili dan bukan kerana diri mereka sendiri.

Maka wakil rakyat yang dipilih sepatutnya mengangkat perjuangan parti dan bukannya menggunakan parti sebagai alat untuk mengangkat diri sendiri.

Kita bukan mahukan pemimpin yang hanya boleh bercakap atau berdebat semata-mata, tetapi ciri utama yang dicari ialah kematangan dan kebolehan untuk mentadbir negara dengan baik dan amanah.

Pemimpin yang baik bukan hanya sekadar boleh merasa denyut nadi rakyat tetapi mesti mampu berfikir panjang dalam merancang masa depan negara.

Dalam suasana dunia yang bergolak serta keadaan ekonomi yang mencabar, rakyat mengharapkan pemimpin yang benar-benar berkebolehan untuk mengurus negara dengan baik agar ekonomi negara tidak runtuh.

Bersikap jujurlah kepada rakyat; cukup-cukuplah beretorik, tuduh-menuduh serta menabur janji manis dan habuan untuk mendapatkan sokongan.

Sebagai pengundi, lebih-lebih lagi kepada generasi Undi18, jangan mudah terpedaya dengan janji-janji politik; berfikirlah secara matang sebelum membuat keputusan.

Kenali prinsip perjuangan parti-parti yang bertanding serta siapa pemimpin-pemimpin mereka.

Berpijaklah di bumi yang nyata; jangan sampai kita tertipu oleh ilusi yang tidak lebih daripada sekadar satu fatamorgana yang indah.

%d bloggers like this: