Gangguan elektrik yang melanda negara hari ini bukan sahaja menjejaskan rumah-rumah dan pejabat dalam kerja-kerja harian, namun pengangkutan dan lalu lintas di seluruh negara turut terkesan apabila lampu isyarat dan sistem transit kereta api ringan (LRT) terhenti seketika.
RapidKL dalam sebuah kenyataan media menasihatkan para penumpang LRT untuk bersabar dan ikuti arahan yang diberikan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut menghadapi masalah akibat bekalan elektrik yang terputus. Menerusi sebuah kenyataan ringkas, Malaysian Airports memaklumkan terminal utama lapangan terbang tersebut turut terkesan dengan gangguan elektrik itu.
“Pasukan jurutera kami sedang berhubung dengan TNB untuk menyelesaikan hal ini. Sila berhubung dengan pasukan darat lapangan terbang kami untuk bantuan di titik-titik sentuh utama.”
Selain sistem pengangkutan, perkhidmatan telefon juga turut terkesan dengan gangguan ini. Ramai pengguna gagal mendapat talian semasa tempoh gangguan tersebut.
Gangguan bekalan elektrik kali ini menjejaskan Lembah Klang dan beberapa negeri pada tengah hari tadi. Hampir seluruh negara kecoh apabila bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Tenaga Nasional Berhad menerusi satu kenyataan berkata mereka masih sedang berusaha mengesan punca masalah itu.
“Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian … Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.”
Bekalan elektrik telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20-40 minit selepas bermulanya kejadian.
Kawasan-kawasan tumpuan termasuk KLCC turut terkesan, menjejaskan operasi pejabat di seluruh negara.
One thought on “Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas”