ت.ن.ب.: ݢڠݢوان ايليکتريک برڤونچا کروسقن دڤنچاوڠ يوڠ ڤيڠ

[ baca versi rumi di sini ]

تناݢ ناسيونل برحد (ت.ن.ب.) مڠصحکن ڤونچا ݢڠݢوان بکلن ايليکتريک تڠه هاري تادي اداله برڤونچا درڤد کروسقن دساله ساتو ڤرالتن ت.ن.ب. ديوڠ ڤيڠ⹁ جوهر.

منروسي سبواه کڽاتاءن ريڠکس⹁ ت.ن.ب. ممعلومکن بهاوا کروسقن دڤنچاوڠ ماسوق اوتام (ڤ.م.او) يوڠ ڤيڠ نورث اياله ڤونچا کڤد ݢڠݢوان يڠ منججسکن همڤير سلوروه نݢارا تادي.

ݢڠݢوان ترسبوت تله مموتوسکن بکلن ايليکتريک دباڽق نݢري٢ سمننجوڠ درڤد جم 12.39 تڠه هاري هيڠݢ 3.02 ڤتڠ⹁ منججسکن اوڤراسي ڤجابت⹁ ڤڠڠکوتن عوم دان لالو لينتس.

سيلا باچ: ݢڠݢوان ايليکتريک: کريتا اڤي⹁ لاڤڠن تربڠ⹁ لمڤو اشارت توروت ترججس

کروسقن ايت تله معاقبتکن کهيلڠن ببن سباڽق 2.2ݢ.و. يڠ مروڤاکن 10% درڤد کسلوروهن ڤرمينتاءن بکلن دسمننجوڠ مليسيا.

جوروترا ت.ن.ب. تله مموليهکن بکلن ايليکتريک کڤد سموا کاوسن يڠ ترججس سچارا سڤنوهڽ ڤد جم 3.02 ڤتڠ. کباڽقن کاوسن برجاي دڤوليهکن سچارا برڤريڠکت سأول 20 مينيت ݢڠݢوان برلاکو.

Gangguan Elektrik Berpunca Kerosakan di Pencawang Yong Peng – TNB

[ baca versi jawi di sini ]

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan punca gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi adalah berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan TNB di Yong Peng, Johor.

Menerusi sebuah kenyataan ringkas, TNB memaklumkan bahawa kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North ialah punca kepada gangguan yang menjejaskan hampir seluruh negara tadi.

Gangguan tersebut telah memutuskan bekalan elektrik di banyak negeri-negeri semenanjung daripada jam 12.39 tengah hari hingga 3.02 petang, menjejaskan operasi pejabat, pengangkutan awam dan lalu lintas.

Sila baca: Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas

Kerosakan itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Jurutera TNB telah memulihkan bekalan elektrik kepada semua kawasan yang terjejas secara sepenuhnya pada jam 3.02 petang. Kebanyakan kawasan berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku.

ݢڠݢوان ايليکتريک: کريتا اڤي⹁ لاڤڠن تربڠ⹁ لمڤو اشارت توروت ترججس

[ baca versi rumi di sini ]

ݢڠݢوان ايليکتريک يڠ ملندا نݢارا هاري اين بوکن سهاج منججسکن رومه٢ دان ڤجابت دالم کرجا٢ هارين⹁ نامون ڤڠڠکوتن دان لالو لينتس دسلوروه نݢارا توروت ترکسن اڤابيلا لمڤو اشارت دان سيستم ترنسيت کريتا اڤي ريڠن (ايل.ار.تي.) ترهنتي سکتيک.

راڤيد کي.ايل. دالم سبواه کڽاتاءن ميديا منصيحتکن ڤارا ڤنومڤڠ ايل.ار.تي. اونتوق برصبر دان ايکوتي ارهن يڠ دبريکن.

لاڤڠن تربڠ انتارابڠسا کوالا لومڤور توروت مڠهادڤي مسئله عاقبة بکلن ايليکتريک يڠ ترڤوتوس. منروسي سبواه کڽاتاءن ريڠکس⹁ مليشن ايرڤورت‌س ممعلومکن ترمينل اوتام لاڤڠن تربڠ ترسبوت توروت ترکسن دڠن ݢڠݢوان ايليکتريک ايت.

“ڤاسوقن جوروترا کامي سدڠ برهوبوڠ دڠن ت.ن.ب. اونتوق مڽلسايکن حال اين. سيلا برهوبوڠ دڠن ڤاسوقن دارت لاڤڠن تربڠ کامي اونتوق بنتوان دتيتيق٢ سنتوه اوتام.”

سلاءين سيستم ڤڠنکوتن⹁ ڤرخدمتن تيليفون جوݢ توروت ترکسن دڠن ݢڠݢوان اين. راماي ڤڠݢونا ݢاݢل منداڤت تالين سماس تيمڤوه ݢڠݢوان ترسبوت.

ݢڠݢوان ايليکتريک کالي اين منججسکن لمبه کلڠ دان ببراڤ نݢري ڤد تڠه هاري تادي. همڤير سلوروه نݢارا کيچوه اڤابيلا بکلن ايليکتريک ترڤوتوس سچارا تيبا٢ کيرا٢ جم 12.45 تڠه هاري.

تناݢ ناسيونل برحد (ت.ن.ب.) منروسي ساتو کياتاءن برکات مريک ماسيه سدڠ براوسها مڠسن ڤونچا مسئله ايت.

“ڤاسوقن تينيکل کامي سدڠن مڠنل ڤستي ڤونچا کجادين … کامي موهون معاف دأتس سݢالا کسوليتن دعالمي اوليه ڤڠݢونا سماس ݢڠݢوان بکلن اين.”

بکلن ايليکتريک تله دڤوليهکن سڤنوهڽ دالم تيمڤوه 20-40 مينيت سلڤس برمولاڽ کجادين.

کاوسن٢ تومڤوان ترماسوق کي.ايل.سي.سي. توروت ترکسن⹁ منججسکن اوڤراسي ڤجابت دسلوروه نݢارا.

Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas

[ baca versi jawi di sini ]

Gangguan elektrik yang melanda negara hari ini bukan sahaja menjejaskan rumah-rumah dan pejabat dalam kerja-kerja harian, namun pengangkutan dan lalu lintas di seluruh negara turut terkesan apabila lampu isyarat dan sistem transit kereta api ringan (LRT) terhenti seketika.

RapidKL dalam sebuah kenyataan media menasihatkan para penumpang LRT untuk bersabar dan ikuti arahan yang diberikan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut menghadapi masalah akibat bekalan elektrik yang terputus. Menerusi sebuah kenyataan ringkas, Malaysian Airports memaklumkan terminal utama lapangan terbang tersebut turut terkesan dengan gangguan elektrik itu.

“Pasukan jurutera kami sedang berhubung dengan TNB untuk menyelesaikan hal ini. Sila berhubung dengan pasukan darat lapangan terbang kami untuk bantuan di titik-titik sentuh utama.”

Selain sistem pengangkutan, perkhidmatan telefon juga turut terkesan dengan gangguan ini. Ramai pengguna gagal mendapat talian semasa tempoh gangguan tersebut.

Gangguan bekalan elektrik kali ini menjejaskan Lembah Klang dan beberapa negeri pada tengah hari tadi. Hampir seluruh negara kecoh apabila bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Tenaga Nasional Berhad menerusi satu kenyataan berkata mereka masih sedang berusaha mengesan punca masalah itu.

“Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian … Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.”

Bekalan elektrik telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20-40 minit selepas bermulanya kejadian.

Kawasan-kawasan tumpuan termasuk KLCC turut terkesan, menjejaskan operasi pejabat di seluruh negara.

ADUN Tronoh Dihukum Penjara 13 Tahun, 2 Sebatan

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan melalui saksi-saksi dikemukakan.

Beliau berkata, mahkamah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan sebagaimana dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Yong pada 7 Disember tahun lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadaruddin.

Pada 23 Ogos 2019, Yong yang ketika itu adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 23 Ogos 2019, Yong yang ketika itu adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -{Free Malaysia Today]

%d bloggers like this: