Hina Islam: Sarang Tebuan Jangan DiJolok

Kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua jurucakap parti pemerintah India ialah suatu perbuatan jelik dan biadap yang telah membakar kemarahan umat Islam bukan hanya di India, malah di seluruh dunia.

Yang kita risaukan, ada pula pihak yang menyokong tindakan sebegini. Alasannya, sesiapa sahaja mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menyatakan apa sahaja yang mereka inginkan.

Namun, mereka melenting jika agama mereka yang dihina; ataupun jika orang lain mempersoalkan prinsip perjuangan mereka.

Jangan merempuh sarang lebah. Isu agama bukanlah satu isu yang boleh dipermainkan atau dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan.

Perbuatan menghina agama lain sudah tentu akan mengundang perbalahan dan jika tersilap langkah, boleh menimbulkan keadaan huru-hara yang mengancam keamanan negara.

Lebih memburukkan keadaan, hal ini dilakukan oleh pemimpin politik parti pemerintah sebuah negara di mana situasi hubungan rakyat berlainan agama mereka sudah pun rapuh.

Manusia yang bertamadun sepatutnya mampu hidup bermasyarakat serta tidak bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesan yang timbul akibat tindak-tanduk mereka.

Apalagi bagi pemimpin politik, baik yang sedang memerintah mahu pun yang berhasrat menjadi pemerintah.

Pemimpin yang baik mesti bersikap matang dan bijaksana serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Malang sekali jika keamanan dan kemakmuran negara sanggup mereka perjudikan demi mencapai apa sahaja tujuan mereka.

Pelajaran sepatutnya dapat membentuk nilai yang positif dalam diri manusia dan menolong kita berfikir secara lebih waras.

Jika kita masih tidak mampu memahami perkara asas sebegini, maka kita telah gagal, meski pun kita berpelajaran tinggi.

Janganlah bertindak seperti kanak-kanak kecil yang masih belum boleh menilai buruk baiknya tindakan mereka.

Kita tidak mahu dunia menjadi kucar kacir akibat tindakan segelintir manusia yang gagal menghormati hak orang lain.

Tiada kebebasan yang mutlak dalam kehidupan ini. Kita semua hidup dalam rangka undang-undang agama dan negara.

Bagi yang berkuasa, mereka harus menegakkan prinsip negara dengan jujur dan amanah.

Ingatlah, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung; masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Sentimen Islamofobia yang menebal di sesetengah negara amat merisaukan.

Mereka menentang Islam bukan berasaskan kebenaran tetapi membuat dakwaan-dakwaan melulu yang tidak berasas sama sekali.

Mereka merasakan mereka bebas mentafsir hukum Islam, seolah-olah mereka memahami Islam lebih baik daripada umat Islam sendiri. Maka, tercetuslah kebencian dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Akibatnya ada yang bertindak ganas sehingga mencederakan orang lain. Dan apabila berlaku keganasan, umat Islam yang akan dipersalahkan.

Islam ialah agama kedamaian. Umat Islam bukan sahaja wajib menjaga hubungan baik sesama insan tetapi juga mesti menjaga alam sekitar.

Sejarah membuktikan bahawa penduduk Madinah dari pelbagai agama hidup makmur di bawah pemerintahan baginda Rasulullah SAW.

Justeru, mengaitkan Islam dengan keganasan ialah perbuatan yang tidak bertanggung jawab, berniat jahat dan menunjukkan pelakunya amat dangkal pengetahuannya.

Jangan dibiarkan sentimen sebegini berkembang di negara kita. Tiada siapa yang berhak berdebat, mentafsir hukum atau peraturan agama lain secara terbuka.

Kita amat kesal apabila ada segelintir penganut agama lain yang bertindak mencampuri hal berkaitan hukum hakam agama Islam di negara kita.

Hal ini mesti dihentikan demi menjaga kemaslahatan dan perpaduan rakyat.

Sarang tebuan jangan dijolok. Jangan biarkan ia menjadi ibarat api dalam sekam yang akhirnya memusnahkan kemakmuran negara.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: