GAMBAR – Onn Hafiz Angkat Sumpah Sebagai MB Johor ke-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini (15 Mac).

Berangkat sama, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Hasni Mohammad.

Datuk Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Datuk Onn Hafiz yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu, BN meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi. -{Istana Johor]

MB Johor: Siapa Pilihan Istana?

Teka-teki mengenai siapa bakal mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Johor masih belum terungkai sehingga pukul 2.30 petang ini.

Meskipun spekulasi kuat mengatakan nama Datuk Onn Hafiz Ghazi yang paling disebut-sebut, tetapi persoalan turut terarah kepada siapa pula pilihan Istana Johor?

Ia berikutan terdapat laporan menyatakan UMNO mengemukakan akuan berkanun (SD) 38 daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar kepada Sultan Johor, semalam.

Sementara itu, pekarangan pintu utama Istana Bukit Serene, di sini menjadi tumpuan khususnya petugas media dari pelbagai agensi berita tempatan seawal pukul 10 pagi tadi.

Walaupun cuaca hujan, pekarangan istana berkenaan tetap dikerumuni seramai kira-kira 30 petugas media apabila difahamkan bakal Menteri Besar Johor yang baharu dijangka menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada pukul 3 petang ini.

Sejak semalam, isu pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat dan juga parti politik susulan terdapat tiga nama disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.

Ketiga-tiga mereka ialah Hasni, Onn Hafiz dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Onn Hafiz, 44, adalah individu paling hampir dengan spekulasi tersebut kerana beliau merupakan pemimpin muda dan berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Hasni sejak Mac 2020.

Malah, teka-teki itu semakin terjawab apabila Hasni dalam kenyataan lewat petang semalam memaklumkan beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda memimpin Johor yang disifatkan mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

ADUN Machap yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan itu antara calon muda yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu. –{Utusan Digital]

%d bloggers like this: