Hasni Cadang Orang Muda Sebagai MB Johor Baharu

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, berkata ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

“Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan terbaharu Hasni yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ia susulan khabar angin terbaharu yang menyebut kini timbul nama lain bagi jawatan Menteri Besar.

Nama lain yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas EXCO Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang juga pemenang DUN Rengit.

Terdahulu media melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipercayai menitahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadap baginda.

Difahamkan ia susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kelmarin bagi membolehkan Menteri Besar Johor yang ke-19 dilantik sekali gus mengangkat sumpah.

Kelmarin, Hasni dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilaporkan berkata hanya nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau dilaporkan tidak menyebut sebarang nama lain, berkata pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir kelmarin, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim. -{Berita Harian]

خير الدين اشتهار کلوار ڤاس

[ baca versi rumi di sini ]

اهلي ڤرليمن کوالا نروس⹁ داتوء محمد خير الدين امان رزالي⹁ مڠعمومکن ڤنديرينڽ کلوار درڤد ڤاس⹁ برقوات کواس هاري اين.

بلياو برکات⹁ تيندقنڽ ايت سلارس فصل 15(1)(a) ڤرلمباݢاءن ڤاس ياءيت کبرهنتين اهلي دڠن ڤرمينتاءن سنديري دڠن اي سوده دمعلومکن کڤد ستياءوسها اݢوڠ ڤاس⹁ داتوء سري تاکي الدين حسن دالم ڤرتموان دباڠونن ڤرليمن⹁ ڤد جم 2.30 ڤتڠ تادي.

بکس ستياءوسها مجليس شورى علماء ڤاس ايت باݢايماناڤون اڠݢن منددهکن السن برهوبوڠ ڤنديرينڽ ايت⹁ سلاءين منݢسکن بلياو اکن منجادي اهلي ڤرليمن بيبس.

“ساي ايڠين مڠوچڤکن جوتاءن تريما کاسيه کڤد ڤاس اتس ڤلواڠ منجادي اهلي سلاما 33 تاهون⹁ سجق 1989 دان ستروسڽ منجاوت ڤلباݢاي جاوتن کڤيمڤينن سجق 1999.

“ساي جوݢ مڠوچڤکن تريما کاسيه کڤد ڤاس يڠ ممبري ڤلواڠ اونتوق دچالونکن ڤد ڤيليهن راي⹁ ستروسڽ منجادي اهلي ڤرليمن کوالا نروس سجق 2013⹁” کاتاڽ ڤد سيدڠ ميديا دکوالا لومڤور⹁ هاري اين.

Khairuddin Isytihar Keluar PAS

[ baca versi jawi di sini ]

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengumumkan pendiriannya keluar daripada PAS, berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, tindakannya itu selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan PAS iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dengan ia sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pertemuan di Bangunan Parlimen, pada jam 2.30 petang tadi.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu bagaimanapun enggan mendedahkan alasan berhubung pendiriannya itu, selain menegaskan beliau akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS atas peluang menjadi ahli selama 33 tahun, sejak 1989 dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan kepemimpinan sejak 1999.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada PAS yang memberi peluang untuk dicalonkan pada pilihan raya, seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak 2013,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. -{Berita Harian]

%d bloggers like this: