PRN Johor: Kenapa Sampai Perlu Biadab?

Bangsa kita bangsa beradab. Sejak kecil kita telah dididik agar menjaga tutur kata, beradab sopan dan berbudi bahasa dalam semua keadaan. Bagi kita, bahasa dan bangsa itu tidak dijual beli. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah halusnya budi bahasa kita.

Malangnya, kini ramai yang memandang remeh akan hal ini. Ada pula yang bukan setakat tidak lagi merasa segan malah, merasa bangga bersikap biadab. Semasa berkempen menjelang pilihan raya contohnya, pelbagai perkataan kasar dan ejekan sering dilontarkan kepada pihak lawan dan disambut dengan sorakan daripada penyokong mereka.

Demi kuasa, fitnah dijaja, janji kosong ditabur tanpa rasa bersalah. Malah, tikam-menikam sesama sendiri pun seolah-olah sudah menjadi perkara biasa.

Saya memerhati suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan penuh minat. Banyak isu dan peristiwa menarik di lapangan untuk dikaji bagi membantu saya mendalami konsep sebenar sains politik. Kita dapat melihat cara dan strategi berkempen yang berbeza-beza dalam kalangan calon, begitu juga dengan naratif yang ingin dibawa oleh parti-parti yang bertanding.

Memahami percaturan politik semasa yang begitu dinamik juga penting. Daripada pertikaian kerusi panas Puteri Wangsa kepada pertindihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin oleh dua parti di bawah payung Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentunya menarik untuk dikaji. Begitu juga dengan isu kerusi Bukit Pasir di mana penyandangnya Najib Lep yang dahulunya menang di atas tiket PAS, kini bertanding di DUN sama sebagai calon Bebas.

Orang Johor secara tradisinya amat menitik beratkan kesopanan dan budi bahasa. Mereka bercakap bersulamkan pantun. Teguran pula sering disampaikan dengan cara berlapik. Begitulah halusnya cara mereka menegur sehingga kadang kala sukar difahami oleh orang luar.

Kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Namun yang menyedihkan adalah apabila Bangsa Johor sendiri melupakan cara Johor; ibarat kambing menguak di kandang sendiri.

Dalam memimpin ada adatnya, dalam bersaing ada adabnya. Pemimpin sepatutnya tidak memperlekehkan lawan, apa tah lagi sehingga memfitnah. Adat bila bersilat, kita jangan sesekali memasang niat untuk membunuh. Cukup sekadar menewaskan lawan dan menang secara jujur. Sikap mencerminkan keperibadian seseorang. Pemimpin politik harus menunjukkan contoh tauladan yang baik dan menghormati budaya setempat. Ketika berkempen, jangan menjadi seperti tin kosong, bunyinya bising tetapi isinya tiada. Fokuslah kepada visi dan misi yang mahu dibawa untuk memajukan negeri.

Jangan pula hanya pandai berjanji setinggi gunung, sedangkan mereka sedar bahawa itu hanyalah janji politik untuk memancing undi. Ukurlah baju di badan sendiri sebelum menabur janji. Rakyat mengharapkan pemimpin yang mampu menjalankan tanggungjawab mereka secara jujur dan amanah; bukannya pemimpin yang asyik beretorik dan berpolitik sepanjang masa. Bukannya mudah untuk mentadbir negeri dengan baik. Pengalaman, kepakaran serta kesungguhan diperlukan untuk membangunkan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri.

Rakyat sedang memerhati perilaku calon-calon yang bertanding. Semoga parti-parti politik yang terlibat dapat berkempen secara matang dan sihat. Para pengundi pula jangan mudah terpedaya dengan janji manis yang belum tentu betulnya. Kepada rakan-rakan generasi Undi18, semoga kita semua mampu bersikap matang dalam membuat keputusan, serta dapat membezakan antara intan dan kaca. Buatlah pilihan yang bijak demi kestabilan masa depan kita.

%d bloggers like this: