Siapakah calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Benarkah beliau bukan dari parti orang muda?
Ada yang menyifatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai ‘parti orang tua’ kerana pengerusinya, Tun Dr. Mahathir merupakan Ahli Parlimen tertua di Malaysia. Maka, ramai beranggapan apabila penyokongnya orang tua tentulah calonnya pun tidak muda.
Sebaliknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia, yang menggunakan singkatan ‘Muda’ disinonimkan dengan golongan muda. Menampilkan presiden parti termuda, mereka membawa naratif bahawa negara mesti dipimpin oleh orang muda seperti mereka.
Menariknya Pejuang dan Muda adalah pecahan daripada PPBM. Semasa mereka berada dalam PPBM, Presiden Muda biasa digelar sebagai cucu Pengerusi Pejuang kerana perbezaan umur dan keakraban hubungan mereka.
PRN Johor merupakan pentas pertama bagi kedua-dua parti yang penuh kontras tetapi pernah bersaudara ini. Justeru, kedua-dua parti baharu ini ibarat baru hendak melangkah ke dalam gelanggang politik.
Dengan stereotaip berkenaan usia ahli parti-parti tersebut, ramai menjangkakan calon termuda PRN Johor akan datang daripada Parti Muda.
Malah, ramai dalam kalangan generasi Undi18 mengharapkan Syed Saddiq akan memberi peluang kepada calon-calon muda seawal usia awal 20-an sepertimana Tun Dr. Mahathir menurunkan Syed Saddiq sebagai calon pada usia 25 tahun.
Namun amat mengejutkan apabila dua calon termuda dalam PRN Johor bukanlah datang daripada parti orang muda, tetapi daripada parti ‘orang tua-tua’ iaitu Parti Pejuang dan MCA (BN). Calon termuda kedua-dua parti ini berusia 26 tahun.
BN sering dikaitkan dengan perihal kolot oleh kumpulan yang menyokong parti orang muda kerana sejarah BN sebagai gabungan politik tertua negara, terutamanya apabila dikira bersama zaman gabungan Perikatan dahulu.
Ironinya, kedua-dua ‘kumpulan tua’ inilah yang berani mengemukakan calon yang paling muda berbanding ‘parti anak muda’.
Calon termuda parti Muda berusia 27 tahun, iaitu Amira Aisya (Puteri Wangsa). Mereka turut menurunkan calon berusia 41 tahun (Azrol Hj. Rahan, Bukit Permai).
Untuk rekod, dalam kebanyakan parti politik tanah air, individu berumur 41 tidak lagi boleh berada dalam ‘sayap muda’.
AMK meletakkan had umur mereka kepada 35 tahun; malah, had umur bagi Pemuda UMNO ialah 40 tahun.
Maka, jangan kita menganggap semua individu yang bernama Muda semestinya berusia muda; beliau mungkin sudah berumur melebihi 80 tahun tetapi masih menyifatkan dirinya ‘muda’.