Apa dah jadi di Johor?
Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 14, blok utama pembangkang hanya ada dua – Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di bawah logo PKR, dan Gagasan Sejahtera yang menggunakan logo PAS.
Namun kini mereka berpecah dan membentuk empat blok iaitu PH, PN, Pejuang dan Warisan.
Malah dalam blok PH, nampaknya PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia sudah tidak dapat bersatu hati.
Semuanya bermula daripada rentetan insiden-insiden yang telah mengguris hati PKR.
Kenyataan Syed Saddiq setelah gagal mendapatkan kerusi selamat daripada PKR dilihat bagai mencurah minyak ke dalam api yang membara.
Dalam memperkatakan hal ini, pemimpin PKR Hassan Abdul Karim berkias dan mengibaratkan parti Ikatan Demokratik Malaysia itu sebagai bayi baru berumur empat bulan.
Garang sungguh amaran Presiden Parti Muda yang baru berusia empat bulan tersebut. Kalau bayi, baru berumur empat bulan belum boleh makan nasi atau makanan keras. Kena minum susu sahaja. Perut bayi belum kuat untuk menghadam.
Hassan Abdul Karim, Malaysiakini (KATA MP: Peringatan buat Saddiq: Bayi 4 bulan belum boleh makan nasi) Feb 18, 2022
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R Yuneswaran mempersoalkan tindakan parti pimpinan Syed Saddiq itu yang dilihat terlalu memilih kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Adakah Muda hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa Muda tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78 peratus? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?”
R Yuneswaran, Utusan Online (Adakah Muda wakili orang bandar sahaja? – Tanya AMK Johor) Feb 19, 2022
Menarik juga melihat keadaan di Johor.
Persoalannya:
- Adakah akan berlaku pertindihan kerusi antara PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia?
- Adakah Ikatan Demokratik Malaysia benar-benar mempunyai jentera pilihan rayanya sendiri atau sekadar menumpang jentera PH?
- Berjayakah parti Ikatan Demokratik Malaysia untuk menang di kerusi selamat Puteri Wangsa?