ڤ.ک.ر. لاون ڤ.ه‍.: سياڤا لبيه لاکو دجوهر؟

تيندقن ڤ.ک.ر. مڠݢوناکن لوݢو ڤرتيڽ سنديري ڤد ڤيليهن راي نݢري (ڤ.ر.ن.) جوهر تله منيمبولکن ڤلباݢاي سڤيکولاسي⁏ اڤاته لاݢي ڤريسيدن ڤ.ک.ر.⹁ داتوء سري انوار ابراهيم اياله ڤڠروسي ڤاکتن هارڤن (ڤ.ه‍.).

اونتوق ريکود⹁ ڤ.ه‍. تله کاله تروق دالم ڤ.ر.ن. ملاک اخير تاهون لڤس⁏ دان ڤ.ک.ر. يڠ برتنديڠ دباوه لمبڠ ڤ.ه‍. تله ݢاݢل ممنڠي سبارڠ کروسي يڠ مريک تنديڠي.

اين مڽببکن سبهاݢين درڤد اهلي٢ ڤرتي اڠݢوتا ڤ.ه‍. تيدق ڤواس هاتي دان مولا مڽالهکن ڤرتي٢ لاءين⁏ بياساله اڤابيلا کاله تروق⹁ تنتو اکن تيمبول ڤراساءن ماره دان کچيوا.

نامون⹁ اداکه ستراتݢي اين اکن ممبري کلبيهن کڤد ڤ.ک.ر. يڠ کيني ماسيه برناءوڠ دباوه ڤ.ه‍.؟

اداکه بنر بڠسا جوهر اکن مميليه ڤ.ک.ر. هاڽ کران ڤرتي ايت تيدق مڠݢوناکن لمبڠ ڤ.ه‍. نامون ماسيه برناءوڠ دباوه ڤ.ه‍.؟

ڤرسوءالنڽ:

  • سياڤاکه چالون م.ب. ڤ.ک.ر.⁏ اداکه اينديۏيدو ين سام دڠن چالون م.ب. ڤ.ه‍.؟
  • اداکه ڤ.ک.ر. مڠݢوناکن مانيفيستو يڠ سام دڠن مانيفيستو ڤ.ه‍.؟

منوروت لاڤورن فري مليسيا تودي (ايف.عيم.تي.)⹁ کتوا ستياءوسها ڤڠلولا ڤ.ک.ر.⹁ نيق نظمي نيق احمد برکات⹁ لوݢو ڤ.ک.ر. لبيه دکنلي بربنديڠ دي.أي.ڤي.⹁ دان ڤان ممندڠکن ڤرتي ايت بردڤن ککڠن دببراڤ کاوسن.

“سوءال لوݢو اين تکتيک⹁ باݢي ساي⹁ ساي ستوجو لوݢو بوکن سݢالاڽ⹁ تتاڤي ايت تکتيک ڤ.ک.ر. نق ممنڠي اوندي دالم کالڠن جنترا دان ڤڽوکوڠ⹁ سبب لوݢو کيت دکنلي لاما⹁ لوݢو روکيت (دي.أي.ڤي.) اد ککڠن دکاوسن ترتنتو.”

ايف.عيم.تي. (ݢونا لوݢو سنديري دالم ڤ.ر.ن. جوهر تکتيک اونتوق منڠ⹁ کات ڤميمڤين ڤ.ک.ر.) 5 فيبرواري 2022

نامون⹁ ترداڤت ڤمرهاتي ڤوليتيک يڠ برڤنداڤت بهاوا ستراتݢي اين بوليه ممبري ݢمبرن بهاوا ترداڤت مسئله دالم ݢابوڠن ڤ.ه‍.

رونديڠن اڠݢوتا ڤرتي ڤ.ه‍. برسام ڤرتي ڤيمڤينن سيد صديق ياءيت ايکتن ديموکراتيک مليسيا تنڤا کحاضيرن واکيل ڤ.ک.ر. لبيه مڠهاڠتکن سڤيکولاسي اين.

حال اين سماکين دڤرکاتاکن اڤابيلا انوار ابراهيم سباݢاي ڤڠروسي ڤ.ه‍. تيدق مڠحاضيري مجليس مننداتاڠني ميمورندوم ڤرسفهمن انتارا دي.أي.ڤي. دان ڤان برسام ايکتن ديموکراتيک مليسيا اونتوق ممبوليهکن ڤرتي اورڠ مودا ايت برتنديڠ دباوه ڤايوڠ ڤ.ه‍. دالم ڤ.ر.ن. جوهر.

تيندقن سيد صديق مڠکريتيک ݢوڤالاکريشنن درڤد ڤ.ک.ر. سماس بلياو برخدمت سباݢاي واکيل رعيت دکاوسن ديوان اوندڠن نݢري (دون) تيرم سبلوم ممينتا معاف جوݢ منيمبولکن ڤلباݢاي ڤرسيڤسي.

برجاياکه ڤ.ک.ر. منبوس ککالهن مريک دالم ڤ.ر.ن. ملاک دڠن برتنديڠ اتس لوݢو مريک سنديري؟

PKR v. PH: Logo Siapa Lebih Laku di Johor?

Tindakan PKR menggunakan logo partinya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah menimbulkan pelbagai spekulasi; apatah lagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, PH telah kalah teruk dalam PRN Melaka akhir tahun lepas; dan PKR yang bertanding di bawah lambang PH telah gagal memenangi sebarang kerusi yang mereka tandingi.

Ini menyebabkan sebahagian daripada ahli-ahli parti anggota PH tidak puas hati dan mula menyalahkan parti-parti lain; biasalah apabila kalah teruk, tentu akan timbul perasaan marah dan kecewa.

Namun, adakah strategi ini akan memberi kelebihan kepada PKR yang kini masih bernaung di bawah PH?

Adakah benar Bangsa Johor akan memilih PKR hanya kerana parti itu tidak menggunakan lambang PH namun masih bernaung di bawah PH?

Persoalannya:

  • Siapakah calon MB PKR; adakah individu yang sama dengan calon MB PH?
  • Adakah PKR menggunakan manifesto yang sama dengan manifesto PH?

Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, logo PKR lebih dikenali berbanding DAP dan PAN memandangkan parti itu berdepan kekangan di beberapa kawasan.

“Soal logo ini taktik, bagi saya, saya setuju logo bukan segalanya, tetapi itu taktik PKR nak memenangi undi dalam kalangan jentera dan penyokong, sebab logo kita dikenali lama, logo roket (DAP) ada kekangan di kawasan tertentu.”

FMT (Guna logo sendiri dalam PRN Johor taktik untuk menang, kata pemimpin PKR) 5 Februari 2022

Namun, terdapat pemerhati politik yang berpendapat bahawa strategi ini boleh memberi gambaran bahawa terdapat masalah dalam gabungan PH.

Rundingan anggota parti PH bersama parti pimpinan Syed Saddiq iaitu Ikatan Demokratik Malaysia tanpa kehadiran wakil PKR lebih menghangatkan spekulasi ini.

Hal ini semakin diperkatakan apabila Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH tidak menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara DAP dan PAN bersama Ikatan Demokratik Malaysia untuk membolehkan parti orang muda itu bertanding di bawah payung PH dalam PRN Johor.

Tindakan Syed Saddiq mengkritik Gopalakrishnan daripada PKR semasa beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram sebelum meminta maaf juga menimbulkan pelbagai persepsi.

Berjayakah PKR menebus kekalahan mereka dalam PRN Melaka dengan bertanding atas logo mereka sendiri?

%d bloggers like this: