Mahasiswa Terjejas PKPD Terima Bantuan Segera

Exco Johor, Datuk Onn Hafiz hari ini menyerahkan bantuan asasi kepada mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus Skudai.

Sejak hari Isnin, PKPD telah dilaksanakan di lapan blok di kolej kediaman kampus akibat penularan virus Covid-19.

Dengan dibantu oleh pasukan sukarelawan Southern Volunteers, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Johor itu telah menyerahkan pelbagai barangan asasi seperti makanan kering dan keperluan wanita kepada mahasiswa yang terkesan.

Pihak UTM diwakili oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diketuai Sdr Ammar Aiman bin Abdul Bahar dan jawatankuasanya, serta dibantu Southern Volunteers UTM di Rumah Alumni UTM.

Antara lapan blok yang terlibat dalam PKPD tersebut ialah Blok S39, S42 dan S43 Kolej Tuanku Canselor, Blok L12 Kolej Tun Hussein Onn, Blok H12, H13 dan H25 Kolej Tun Fatimah dan Blok UB2 Kolej 10.

Bantuan ini dibekalkan agar dapat meringankan beban mahasiswa-mahasiswi yang terlibat dengan pelaksanaan PKPD.

TS Muhyiddin Positif Covid-19

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan positif Covid-19 hari ini.

Presiden Bersatu itu memaklumkan perkara itu  di Facebook dan beliau memberitahu, dirinya hanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan baik.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) membuat ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Berikutan itu, beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Saya telah didapati positif Covid-19 pagi ini setelah membuat ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Kepada sesiapa yang berkemungkinan menjadi kontak rapat saya, saya nasihatkan supaya mematuhi protokol yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata beliau.-{Utusan Digital]

PRN Johor 12 Mac, Penamaan Calon 26 Februari

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan 12hb Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh, hari ini turut memaklumkan bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac

Ketetapan itu dibuat ketika mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Johor Bahru, hari ini.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata PRN itu perlu dilakukan agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar, berbanding kelebihan satu kerusi sebelum ini.

Pilihan raya kali ini adalah bertujuan untuk mengekalkan kestabilan politik dan menjamin masa hadapan yang stabil bagi negeri harimau selatan itu.

PRN Johor juga merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

%d bloggers like this: