ڤ.ر.ن. جوهر: ڤاس دالم ديليما؟

[ baca versi rumi di sini ]

ڤ.ر.ن. جوهر اکن برلڠسوڠ دالم ماس تردکت. ڤرتيي٢ ڤوليتيک ݢيات مڠاتور لڠکه اونتوق ممنچيڠ هاتي ڤڠوندي. سموا يڠ برتنديڠ ماهو منڠ دان ممبونتوق کراجاءن⹁ مک جک تيدق قوات برسنديرين⹁ مريک برݢابوڠ اتاو منومڤڠ ڤرتي يڠ لبيه برڤڠاروه.

تيدق ترکچوالي ڤاس⹁ نمڤقڽ کالي اين ڤاس تيدق ماهو برتنديڠ برسنديرين سڤرتي ڤد ڤ.ر.ع.14 دهولو. کالاو دهولو ڤاس برسام امنو ممبنتوق م.ن.⹁ کيني ڤرتي ايت لبيه سليسا برسام ڤ.ڤ.ب.م. دالم ڤ.ن.

سماس ڤ.ر.ک. تنجوڠ ڤياي⹁ ڤاس يڠ برسام امنو دالم م.ن. تله مڽوکوڠ ب.ن. ملاون ڤ.ڤ.ب.م. دان ݢرقن. کتيک ايت ڤاس بلوم ممبنتوق ڤ.ن. برسام ڤ.ڤ.ب.م.

دالم ڤ.ر.ک. ترسبوت⹁ ب.ن. تله منڠ بسر والاوڤون کتيک ايت مريک اياله ڤرتي ڤمبڠکڠ⹁ باءيق ددون جوهر ماهوڤون دڤوتراجاي.

اونتوق ڤ.ر.ن. جوهر⹁ ڤاس مميليه برسام ڤ.ڤ.ب.م.⁏ ماله ماهو مڠهيريت امنو برسام سڤرتي کتيک ڤ.ر.ن. سابه دهولو. ماساکن ڤاس تيدق سدر اکن ڤڠاروه امنو جوهر دتانه کلاهيرن ڤرتي ايت؟

نامون باݢي ڤميمڤين٢ امنو⹁ ڤيسڠ تق اکن بربواه دوا کالي.

اونتوق ريکود⹁ ڤاس يڠ برتنديڠ دباوه ڤ.ن. ݢاݢل ممنڠي سبارڠ کروسي دون دالم ڤ.ر.ن. ملاک ماناکالا ب.ن. يڠ برتنديڠ سولو تلهه ممنڠي 3/4 درڤد کروسي دون ملاک.

والاو اڤاڤون السن يڠ دبريکن اونتوق منجوستيفيکاسيکن ککالهن مريک⹁ نمڤقڽ سواسان ڤوليتيک ڤسچاڤ.ر.ع.14 اداله بربيزا بربنديڠ کأداءن ڤراڤ.ر.ع.15.

دڤ.ر.ن. ملاک⹁ بوکن سهاج سينتيمن ڤڠوندي يڠ براوبه⹁ تتاڤي ڤيليهن چالون٢ جوݢ توروت براوبه. ڤاليڠ مناريق⹁ اد موک٢ لاما يڠ کيني بڠکيت بربيسا ددالم ݢلڠݢڠ ڤوليتيک تانه اءير.

نامون جوهر بوکن ملاک. اورڠ ملاک بردوندڠ⹁ اورڠ جوهر برزاڤين.

بڠسا جوهر تتڤ دڠن چارا جوهر. مک اونتوق ممنڠي هاتي بڠسا جوهر هاروسله مڠيکوت چارا جوهر. مک سموا ڤرتي مولا مرڠک ڤلباݢاي ستراتݢي⹁ اڤاته لاݢي ترداڤت سراماي 700 ريبو ڤڠوندي مودا يڠ لايق مڠوندي ڤد ڤ.ر.ن. اين.

جک ڤاس تيدق مڠورق لڠکه بهارو اونتوق ککل ريلۏن⹁ مريک اکن ترسڠکوت دأيرا لاما.

ممڤوکه ڤاس مناون هاتي بڠسا جوهر؟ هاڽ ماس يڠ اکن مننتوکن.

PRN Johor: PAS Dalam Dilema?

[ baca versi jawi di sini ]

PRN Johor akan berlangsung dalam masa terdekat. Parti-parti politik giat mengatur langkah untuk memancing hati pengundi. Semua yang bertanding mahu menang dan membentuk kerajaan, maka jika tidak kuat bersendirian, mereka bergabung atau menumpang parti yang lebih berpengaruh.

Tidak terkecuali PAS, nampaknya kali ini PAS tidak mahu bertanding bersendirian seperti pada PRU14 dahulu. Kalau dahulu PAS bersama UMNO membentuk MN, kini parti itu lebih selesa bersama PPBM dalam PN.

Semasa PRK Tanjung Piai, PAS yang bersama UMNO dalam MN telah menyokong BN melawan PPBM dan Gerakan. Ketika itu PAS belum membentuk PN bersama PPBM.

Dalam PRK tersebut, BN telah menang besar walaupun ketika itu mereka ialah parti pembangkang, baik di DUN Johor mahupun di Putrajaya.

Untuk PRN Johor, PAS memilih bersama PPBM; malah mahu mengheret UMNO bersama seperti ketika PRN Sabah dahulu. Masakan PAS tidak sedar akan pengaruh UMNO Johor di tanah kelahiran parti itu?

Namun bagi pemimpin-pemimpin UMNO, pisang tak akan berbuah dua kali.

Untuk rekod, PAS yang bertanding di bawah PN gagal memenangi sebarang kerusi DUN dalam PRN Melaka manakala BN yang bertanding solo telah memenangi 3/4 daripada kerusi DUN Melaka.

Walau apapun alasan yang diberikan untuk menjustifikasikan kekalahan mereka, nampaknya suasana politik pasca-PRU14 adalah berbeza berbanding keadaan pra-PRU15.

Di PRN Melaka, bukan sahaja sentimen pengundi yang berubah, tetapi pilihan calon-calon juga turut berubah. Paling menarik, ada muka-muka lama yang kini bangkit berbisa di dalam gelanggang politik tanah air.

Namun Johor bukan Melaka. Orang Melaka berdondang, orang Johor berzapin.

Bangsa Johor tetap dengan cara Johor. Maka untuk memenangi hati bangsa Johor haruslah mengikut cara Johor. Maka semua parti mula merangka pelbagai strategi, apatah lagi terdapat seramai 700 ribu pengundi muda yang layak mengundi pada PRN ini.

Jika PAS tidak mengorak langkah baharu untuk kekal relevan, mereka akan tersangkut di era lama.

Mampukah PAS menawan hati bangsa Johor? Hanya masa yang akan menentukan.

%d bloggers like this: