Gempar: (Video) Fenomena Salji Di Gunung Kinabalu

Pendaki dan malim Gunung Kinabalu terkejut apabila merasai pengalaman luar biasa melihat ketulan putih dipercayai salji, ketika berada di kawasan Sayat-Sayat berdekatan puncak Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, cuaca difahamkan sangat sejuk dan secara tiba-tiba kelihatan ketulan putih menyamai salji, dilaporkan jatuh berhampiran puncak gunung berkenaan selama kira-kira dua minit.

Fenomena itu sempat dirakam pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki turun dari puncak Gunung Kinabalu.

Hajiri berkata, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.

“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.

“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia berlaku sehingga kawasan puncak gunung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hajiri berkata, ia memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu sebelum ini.

“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat,” katanya.

Jelasnya, sejak 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, itu bukan pertama kali ia berlaku dan dia pernah saksikan fenomena yang sama pada 2018.

Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid, menjelaskan kawasan yang dituruni salji berlaku di sekitar kilometer 7 hingga ke puncak gunung.

Katanya, keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kebiasaannya dipercayai menjadi punca fenomena berkenan

“Kalau ikut rekod suhu dari jam 2 hingga 10 pagi, ia sekitar 6.9 hingga 12.3 darjah selsius, manakala tahap kelembapan pula ialah 52 hingga 62 peratus.

“Kejadian kali ini sememangnya luar biasa kerana kebiasaannya hanya hujan ais atau pembekuan di sekitar kawasan puncak, apa yang dilihat pagi ini, ia benar-benar salji,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justinus berkata, mengikut rekod sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku pada 1975 dan 1993.

Sementara itu, rakaman kejadian salji di Gunung Kinabalu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca. -{Berita Harian]

Calon ‘Parti Tua’ Lebih Muda daripada Calon Parti Muda

Siapakah calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Benarkah beliau bukan dari parti orang muda?

Ada yang menyifatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai ‘parti orang tua’ kerana pengerusinya, Tun Dr. Mahathir merupakan Ahli Parlimen tertua di Malaysia. Maka, ramai beranggapan apabila penyokongnya orang tua tentulah calonnya pun tidak muda.

Sebaliknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia, yang menggunakan singkatan ‘Muda’ disinonimkan dengan golongan muda. Menampilkan presiden parti termuda, mereka membawa naratif bahawa negara mesti dipimpin oleh orang muda seperti mereka.

Menariknya Pejuang dan Muda adalah pecahan daripada PPBM. Semasa mereka berada dalam PPBM, Presiden Muda biasa digelar sebagai cucu Pengerusi Pejuang kerana perbezaan umur dan keakraban hubungan mereka.

PRN Johor merupakan pentas pertama bagi kedua-dua parti yang penuh kontras tetapi pernah bersaudara ini. Justeru, kedua-dua parti baharu ini ibarat baru hendak melangkah ke dalam gelanggang politik.

Dengan stereotaip berkenaan usia ahli parti-parti tersebut, ramai menjangkakan calon termuda PRN Johor akan datang daripada Parti Muda.

Malah, ramai dalam kalangan generasi Undi18 mengharapkan Syed Saddiq akan memberi peluang kepada calon-calon muda seawal usia awal 20-an sepertimana Tun Dr. Mahathir menurunkan Syed Saddiq sebagai calon pada usia 25 tahun.

Namun amat mengejutkan apabila dua calon termuda dalam PRN Johor bukanlah datang daripada parti orang muda, tetapi daripada parti ‘orang tua-tua’ iaitu Parti Pejuang dan MCA (BN). Calon termuda kedua-dua parti ini berusia 26 tahun.

BN sering dikaitkan dengan perihal kolot oleh kumpulan yang menyokong parti orang muda kerana sejarah BN sebagai gabungan politik tertua negara, terutamanya apabila dikira bersama zaman gabungan Perikatan dahulu.

Ironinya, kedua-dua ‘kumpulan tua’ inilah yang berani mengemukakan calon yang paling muda berbanding ‘parti anak muda’.

Calon termuda parti Muda berusia 27 tahun, iaitu Amira Aisya (Puteri Wangsa). Mereka turut menurunkan calon berusia 41 tahun (Azrol Hj. Rahan, Bukit Permai).

Untuk rekod, dalam kebanyakan parti politik tanah air, individu berumur 41 tidak lagi boleh berada dalam ‘sayap muda’.

AMK meletakkan had umur mereka kepada 35 tahun; malah, had umur bagi Pemuda UMNO ialah 40 tahun.

Maka, jangan kita menganggap semua individu yang bernama Muda semestinya berusia muda; beliau mungkin sudah berumur melebihi 80 tahun tetapi masih menyifatkan dirinya ‘muda’.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Bersikap Matang dan Jujurlah

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Bersikap Matang dan Jujurlah” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan saya boleh dibaca pada muka surat 16 akhbar Utusan Malaysia hari ini, serta di Utusan Digital melalui pautan di bawah.

PRN Johor: Muda Lawan PKR di Larkin

Hari ini parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan mereka juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

Ini bermakna rakan PH akan menentang parti teras PH di DUN tersebut.

Parti itu memilih, Rasid Abu Bakar untuk berdepan dengan Dr Zamil Najwah Arbain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Spekulasi tentang pertindihan calon daripada kedua-dua parti yang berada di bawah bumbung Pakatan Harapan (PH) di Larkin telah lama diperkatakan.

Menarik untuk kita melihat Ketua Penerangan Muda Johor akan menentang Bendahari Cabang Keadilan Pasir Gudang di kerusi panas tersebut.

Untuk rekod, media melaporkan parti pimpinan Syed Saddiq itu telah diberi enam kerusi oleh DAP dan PAN, iaitu Tenang, Puteri Wangsa, Bukit Kepong, Machap, Parit Raja, dan Tenang.

Parti itu telah menolak tiga kerusi yang ditawarkan PKR kerana mahukan tiga kerusi lain yang dikatakan lebih mudah untuk dimenangi.

Berjayakah Parti Muda menewaskan parti otai di kerusi panas ini?

PRN Johor Semakin Panas, Pembangkang Bercakaran?

Apa dah jadi di Johor?

Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 14, blok utama pembangkang hanya ada dua – Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di bawah logo PKR, dan Gagasan Sejahtera yang menggunakan logo PAS.

Namun kini mereka berpecah dan membentuk empat blok iaitu PH, PN, Pejuang dan Warisan.

Malah dalam blok PH, nampaknya PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia sudah tidak dapat bersatu hati.

Semuanya bermula daripada rentetan insiden-insiden yang telah mengguris hati PKR.

Kenyataan Syed Saddiq setelah gagal mendapatkan kerusi selamat daripada PKR dilihat bagai mencurah minyak ke dalam api yang membara.

Dalam memperkatakan hal ini, pemimpin PKR Hassan Abdul Karim berkias dan mengibaratkan parti Ikatan Demokratik Malaysia itu sebagai bayi baru berumur empat bulan.

Garang sungguh amaran Presiden Parti Muda yang baru berusia empat bulan tersebut. Kalau bayi, baru berumur empat bulan belum boleh makan nasi atau makanan keras. Kena minum susu sahaja. Perut bayi belum kuat untuk menghadam.

Hassan Abdul Karim, Malaysiakini (KATA MP: Peringatan buat Saddiq: Bayi 4 bulan belum boleh makan nasi) Feb 18, 2022

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R Yuneswaran mempersoalkan tindakan parti pimpinan Syed Saddiq itu yang dilihat terlalu memilih kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Adakah Muda hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa Muda tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78 peratus? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?”

R Yuneswaran, Utusan Online (Adakah Muda wakili orang bandar sahaja? – Tanya AMK Johor) Feb 19, 2022

Menarik juga melihat keadaan di Johor.

Persoalannya:

  • Adakah akan berlaku pertindihan kerusi antara PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia?
  • Adakah Ikatan Demokratik Malaysia benar-benar mempunyai jentera pilihan rayanya sendiri atau sekadar menumpang jentera PH?
  • Berjayakah parti Ikatan Demokratik Malaysia untuk menang di kerusi selamat Puteri Wangsa?

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Poster Boy Penentu Pilihan Pengundi

Alhamdulillah, tulisan saya hari ini bertajuk “Poster Boy Penentu Pilihan Pengundi” telah diterbit di Utusan Malaysia.

Tulisan saya ini boleh dibaca di Utusan Malaysia hari ini pada muka surat 16, serta di Utusan Digital melalui pautan di bawah:

PRN Johor: Syed Saddiq Yakin Boleh Menang Kerusi Puteri Wangsa?

Apa istimewanya kerusi DUN Puteri Wangsa sehingga hangat diperkatakan?

Khabarnya PKR Johor mahukan kerusi tersebut namun kerusi itu diserahkan kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia pimpinan Syed Saddiq oleh DAP dan PAN, dengan Amira Aisya sebagai calonnya dalam PRN ini.

Kerusi rebutan ini dianggap sebagai kerusi selamat mereka; malah telah dimenangi pembangkang (Pakatan Rakyat dan kemudiannya PH) selama dua penggal.

Diberitakan juga, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang dikatakan telah banyak melakukan gerak kerja di DUN tersebut, dianggap sebagai individu yang layak untuk dicalonkan di situ.

Jika benar keadaan ini, maka dapatkah parti Ikatan Demokratik Malaysia menawan hati penyokong PKR?

Mungkin dengan peratus pengundi bukan Melayu yang melebihi 60% memberi keyakinan kepada mereka untuk menang; namun hakikatnya penyokong PKR tentu merasa kecewa dengan keputusan ini.

Sanggupkah mereka mengundi muka baharu daripada parti baharu yang belum mereka kenali?

Adakah jentera PKR DUN Puteri Wangsa akan berkempen untuk Amira Aisya atas semangat setiakawan PH?

اد مسئله ک نق سڤاکت چالون م.ب. جوهر؟

ڤ.ر.ن. جوهر باکل برلڠسوڠ دالم ماس کورڠ درڤد سبولن لاݢي.

سهيڠݢ ساعت اين⹁ ڤ.ه‍.⹁ ڤ.ن. دان ڤرتي ڤجواڠ ماسيه بلوم مناماکن سياڤاکه چالون منتري بسر (م.ب.) مريک⁏ سأوله-اوله ڤاسوقن يڠ برتنديڠ تنڤا کڤتن.

  • مڠاڤاکه ڤرتي ڤمبڠکڠ سأکن-اکن سݢن اونتوق مناماکن چالون م.ب.؟
  • ماساکن مريک ماسيه ترچاري-چاري چالون م.ب.؟

اتاو اداکه بنر سوده تيمبول مسئله دالم منچاري کات سڤاکت تنتڠ چالون م.ب. مريک؟

کيت بوليه فهم جک مسئله اين تيمبول دالم ڤ.ه‍.⁏ تتاڤي باݢايمان ڤولا دڠن ڤرتي ڤجواڠ؟

کيت معلوم بهاوا ڤوليتيک جوهر مڠيکوت چارا جوهر.

بڠسا جوهر ماهوکن کراجاءن نݢري يڠ ݢاݢه اونتوق ممباوا اݢيندا نݢري⹁ اڤاته لاݢي ستله کراجاءن سيليه برݢنتي.

مک چالون م.ب. اداله ساڠت ڤنتيڠ دان بوکنڽ حال٢ لاءين يڠ تياد کنا مڠنا دڠن اوروسن نݢري جوهر.

راماي يڠ بربيسيق بهاوا چالون م.ب. ڤ.ک.ر. اياله مزلي مالک⹁ نامون ڤ.ک.ر. بلوم مڠياکنڽ.

تمبهن⹁ ڤ.ک.ر. مستي منداڤت رستو درڤد ڤ.ه‍. کران والاوڤون مڠݢوناکن لمبڠ سنديري⹁ ڤ.ک.ر. ماسيه براد دباوه ڤايوڠ ڤ.ه‍.

حال اين ممبواتکن کيت ترتاڽ-تاڽ:

  • اداکه ڤ.ه‍. ممڤوڽاءي چالون م.ب. سلاءين درڤد چالون ڤ.ک.ر.؟
  • موڠکينکه ڤ.ه‍. ماهوکن چالون م.ب. درڤد ڤرتي دي.أي.ڤي. اتاو ڤان؟
  • اداکه مستحيل جک چالون م.ب. ڤ.ه‍. داتڠ درڤد ڤرتي ايکتن ديموکراتيک مليسيا ڤيمڤينن سيد صديق؟

Ada Masalah Ke Nak Sepakat Calon MB Johor?

PRN Johor bakal berlangsung dalam masa kurang daripada sebulan lagi.

Sehingga saat ini, PH, PN dan Pejuang masih belum menamakan siapakah calon Menteri Besar (MB) mereka; seolah-olah pasukan yang bertanding tanpa kapten.

Mengapakah parti pembangkang seakan-akan segan untuk menamakan calon MB?

  • Masakan mereka masih tercari-cari calon MB?
  • Atau adakah benar sudah timbul masalah dalam mencari kata sepakat tentang calon MB mereka?

Kita boleh faham jika masalah ini timbul dalam PH; tetapi bagaimana pula dengan parti Pejuang?

Kita maklum bahawa politik Johor mengikut cara Johor.

Bangsa Johor mahukan kerajaan negeri yang gagah untuk membawa agenda negeri, apatah lagi setelah kerajaan silih berganti.

Maka calon MB adalah sangat penting dan bukannya hal-hal lain yang tiada kena mengena dengan urusan negeri Johor.

Ramai yang berbisik bahawa calon MB PKR adalah Maszlee Malik, namun PKR belum mengiakannya.

Tambahan, PKR mesti mendapat restu daripada PH kerana walaupun menggunakan lambang sendiri, PKR masih berada di bawah payung PH.

Hal ini membuatkan kita tertanya-tanya:

  • Adakah PH mempunyai calon MB selain daripada calon PKR?
  • Mungkinkah PH mahukan calon MB daripada parti DAP atau PAN?
  • Adakah mustahil jika calon MB PH datang daripada parti Ikatan Demokratik Malaysia pimpinan Syed Saddiq?
%d bloggers like this: