Keadaan politik di Johor semakin hangat dan Dewan Undangan Negeri tersebut dijangka akan dibubar dalam masa terdekat.
Pilihan Raya Negeri yang dijangka menyusul akan menetapkan semula kedudukan kerajaan dan pembangkang di negeri harimau selatan itu, selepas hal yang sama berjaya dijalankan di Sabah, Melaka dan Sarawak.
Utusan Malaysia melaporkan bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim dijangka akan mengambil berkat hari Jumaat sebagai pilihan untuk membubar Dewan Undangan Negeri Johor.
Menurut sumber Utusan, pembubaran tersebut akan diadakan sama ada hari ini ataupun minggu hadapan, bergantung pada perkenan Tuanku.
Politik Johor dilihat mula bergolak setelah pemergian bekas Menteri Besarnya, Allahyarham Osman Sapian. Sebagai ADUN Kempas, beliau telah mengikat gabungan kerajaan pada majoriti dua kerusi.
Namun begitu, selepas pemergiannya ambang majoriti tersebut telah berkurang kepada satu sahaja, dan membuka kepada pertukaran semula kerajaan.
Sultan Ibrahim pernah tegas bertitah bahawa sekiranya berlaku pertelingkahan dalam Dewan, maka Baginda akan bertindak membubarnya.
Oleh kerana ura-ura telah bersebar berkenaan hal tersebut, ramai yang menjangkakan ini untuk berlaku dalam masa terdekat.