Keputusan PRN Melaka Dari Pemerhatian Orang Muda

PRN Melaka telah berakhir dengan kemenangan bergaya bagi parti Barisan Nasional yang telah berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Malah, kemenangan besar BN merupakan satu kejutan kepada ramai pemerhati politik.

Dalam pertandingan yang sengit di antara BN, PH dan PN yang merupakan 3 parti politik terbesar tanah air, ramai yang menjangkakan pemenangnya akan hanya mampu menang tipis, seperti mana pada PRU14 dahulu. Malah, ada juga yang menjangkakan tiada yang dapat membentuk majoriti.

Kalau di dalam tulisan saya menjelang PRN Melaka yang bertajuk PRN Melaka: Antara Faktor Abah, Bossku, Tun Khalil, saya telah menulis tentang strategi parti-parti yang bertanding, termasuk mengetengahkan ketokohan 3 tokoh untuk dijadikan sandaran dalam meraih kemenangan; tulisan saya kali ini adalah mengenai pemerhatian saya tentang keputusan PRN Melaka.

BARISAN NASIONAL (BN)

Saya merasakan, hampir tiada yang dapat membayangkan BN bukan hanya akan dapat membentuk kerajaan tanpa ihsan parti lain; tetapi akan berjaya memenangi 3/4 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Nampaknya strategi Tok Mat Hassan begitu menjadi, disokong juga oleh faktor Bossku serta kerja kuat seluruh pemimpin, jentera serta akar umbi parti.

Serangan hebat pada saat-saat akhir terhadap Najib Razak telah gagal dijadikan umpan supaya pengundi menolak UMNO.

Secara pecahannya, UMNO telah memenangi 18 daripada 20 kerusi yang ditandingi, MCA memenangi 2 daripada 7 kerusi, manakala MIC menang di satu-satunya kerusi yang ditandingi.

Menariknya, muka-muka baharu yang diketengahkan UMNO telah menang di kerusi masing-masing; di mana Fairul Nizam Roslan Along menang di Asahan, Rais Yasin menang di Paya Rumput, Dr. Akmal Saleh menang di Merlimau dan Mohd Noor Helmy menang di Duyong.

Malah, calon baharu UMNO, Fairul Nizam telah berjaya mengalahkan calon antap yang baru berhijrah ke PH iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron di kerusi Asahan dengan majoriti yang besar sebanyak 3,213 undi.

Muka baharu, Rais Yasin pula telah berjaya mengalahkan seorang lagi calon antap PH, Shamsul Iskandar di Paya Rumput.

Antara kejutan terbesar bagi saya ialah kemenangan BN di beberapa kerusi kuat PH, contohnya DUN Duyong.

Namun MCA mesti berusaha kuat supaya dapat bangkit kembali sebagai sebuah parti kuat seperti suatu masa dahulu.

PAKATAN HARAPAN (PH)

PH menunjukkan prestasi yang buruk dalam PRN Melaka apabila hanya menang 5 daripada 28 kerusi yang ditandingi berbanding 15 kerusi DUN pada PRU14.

Secara pecahannya, PKR kalah di kesemua 11 kerusi yang ditandingi, DAP menang 4 daripada 8 kerusi dan PAN menang di 1 daripada 9 kerusi yang ditandingi.

Kita melihat PKR yang mempertaruhkan ramai calon antap seperti Shamsul Iskandar, Idris Haron, Nor Azman Hassan dan sebagainya kalah di kesemua kerusi.

Hal ini dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kekalahan DAP di beberapa kerusi kuat mereka seperti DUN Duyong juga memeranjatkan para pemerhati politik.

Menariknya juga, 2 bekas pemimpin antap UMNO yang baru menyertai PKR iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan telah kalah teruk di kerusi masing-masing.

PERIKATAN NASIONAL (PN)

PN yang bersandarkan faktor Abah dilihat telah gagal memenangi hati rakyat Melaka apabila hanya dapat menang di 2 daripada 28 kerusi yang mereka tandingi.

Secara pecahannya, PPBM hanya menang di 2 daripada 15 kerusi yang ditandingi, PAS kalah di kesemua 8 kerusi yang mereka tandingi dan GERAKAN juga kalah di kesemua kerusi yang ditandingi.

Malah kesemua calon-calon antap PPBM telah kalah. Contohnya Mas Ermieyati iaitu calon Ketua Menteri PN telah kalah kepada calon UMNO di kerusi Tanjung Bidara.

KESIMPULAN

Jelas, UMNO mempunyai semangat setia kawan yang kuat walaupun MCA pernah lebih memihak kepada PN selepas Langkah Sheraton pada tahun 2020 lalu.

Prestasi BN akan menjadi lebih baik jika MCA dapat kembali bangkit selaras dengan kebangkitan UMNO.

Ketiga-tiga pemimpin yang menarik sokongan daripada kerajaan Melaka sebelum ini telah gagal memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi mereka.

Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang kini bersama PKR, masing-masing kalah teruk di Asahan dan di Pantai Kundor manakala Norhizam Hassan Baktee yang bertanding sebagai calon bebas (kunci) turut kalah di Pengkalan Batu.

Kekalahan PKR di kesemua 11 kerusi yang ditandingi bukanlah satu petanda yang baik walaupun itu bukanlah penentu keputusan PRU15.

PPBM yang pemimpinnya pernah 2 kali menerajui kerajaan persekutuan selepas PRU14 juga tidak dapat membuktikan mereka mempunyai sokongan di Melaka. PPBM hanya menang 2 daripada 15 kerusi yang mereka tandingi atau hanya sekadar 13.33% walaupun mereka dahulunya menjangkakan dapat menang dengan lebih besar.

PAS pula sekadar mengulangi sejarah PRU14 dengan tewas di kesemua kerusi yang mereka tandingi.

Adakah keputusan PRN Melaka memberi gambaran terhadap sokongan pengundi dalam PRU15 nanti? Mungkin ya dan mungkin juga tidak.

Namun, ia sudah tentu menaikkan semangat pemimpin-pemimpin, jentera serta akar umbi BN, khasnya UMNO untuk istiqamah menyokong kepimpinan Zahid-Tok Mat Hassan.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: