Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Rakyat Melaka bakal memilih kerajaan baharu setelah kerajaan terdahulu runtuh akibat 4 ADUN bertukar haluan.
Ini bermakna Melaka bakal mendapat 3 kerajaan dalam masa 3 tahun.
Kali ini kita melihat ramai muka-muka baharu dan orang muda yang telah diketengahkan sebagai calon oleh parti-parti yang bertanding. Nampaknya kali ini BN pun turut mengambil langkah yang sama; seperti kata Tok Mat Hassan itu merupakan sebahagian daripada langkah untuk meremajakan parti.
Sudah tentu semua calon berhasrat untuk menang, begitu juga dengan parti-parti yang bertanding. Namun, setelah menang, adakah tidak akan berlaku lagi lompat-melompat dalam kalangan mereka yang dipilih oleh pengundi?
Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan calon memenangi kerusi masing-masing atas hasil kerja keras dan keringat jentera serta akar umbi parti yang mereka wakili.
Malah, ada calon yang belum dikenali serta belum mempunyai rekod prestasi kerja yang baik pun berjaya mendapat undi yang banyak hanya kerana pengundi di situ ialah penyokong tegar parti yang mereka wakili.
Namun, sejak PRU14, ramai wakil rakyat yang dipilih bertindak melompat ke padang yang lebih hijau, malah ada yang melompat-lompat sehingga rakyat keliru bersama parti manakah mereka sekarang.
Ironinya, ramai yang berkata apa yang mereka lakukan ialah perjuangan demi rakyat yang mereka wakili.
Sikap ketidaksetiaan wakil rakyat kepada parti atau parti kepada gabungan parti sudah seakan-akan menjadi seperti perkara biasa selepas PRU14.
Akibatnya, negara kita tidak lagi mempunyai kerajaan yang stabil, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan.
Ramai orang-orang muda berpandangan bahawa aksi lompat-melompat dan ketidaksetiaan kepada parti adalah permainan orang lama, khasnya warlord politik yang bersikap hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan untung nasib rakyat.
Namun telah jelas di depan mata kita bahawa pemimpin-pemimpin muda pun dua kali lima sahaja dalam hal melompat dan tidak setia kepada parti.
Justeru, para pengundi mesti berhati-hati sebelum membuat pilihan kerana jika mereka silap memilih wakil rakyat, kerajaan akan jatuh lagi sebelum penggal PRU14 berakhir.