تيݢ تاهون⹁ تيݢ کراجاءن: سياڤا باکل تاون سمولا ‘کوتا’ ملاک؟

[ baca versi rumi di sini ]

هاري اين مروڤاکن هاري ايندين اول باݢي ڤيليهن راي نݢري (ڤ.ر.ن.) ملاک.

ڤد تاريخ اين دوا تاهون يڠ لالو⹁ دنيا ڤوليتيک تله دݢݢرکن اوليه کمنڠن لوار بياسا چالون باريسن ناسيونل (ب.ن.) دالم ڤيليهن راي کچيل (ڤ.ر.ک.) تنجوڠ ڤياي (ڤ.165)⹁ مڠالهکن چالون٢ ڤ.ڤ.ب.م.⹁ ݢرقن⹁ برجاس دان بيبس.

ڤ.ر.ک. ترسبوت دأداکن برايکوتن ککوسوڠن کروسي ڤرليمن ڤ.165 ستله ڤڽندڠڽ⹁ داتوء ويرا دوکتور فلسفه محمد فريد بن محمد رفيع درڤد ڤ.ڤ.ب.م. منيڠݢل دنيا. دالم ڤ.ر.ع.14⹁ الله يرحم تله ممنڠي کروسي ڤ.165 دڠن ماجوريتي 524 اوندي.

کڤوتوسن ب.ن. ملتقکن چالون درڤد ڤ.چ.م.⹁ وي جيق سيڠ دکاوسن يڠ همڤير انم ڤولوه ڤراتوس ڤڠوندي ملايو تله مڠوندڠ برباݢاي-باݢاي ڤرسيڤسي دالم کالڠن اورڠ راماي.

سدڠکن ڤ.ڤ.ب.م. يڠ ڤد کتيک ايت ماسيه براد ددالم کراجاءن ڤاکتن هارڤن (ڤ.ه.) تله ملتقکن چالون ملايو ياءيت حاج کرمايني سرديني.

حاصيل کرجا قوات ڤتوݢس ب.ن.⹁ خاصڽ ݢرق کرجا جنترا دان اکر اومبي امنو دبنتو اوليه ڤاس⹁ ب.ن. تله منڠ دڠن ماجوريتي بسر ياءيت 15,086 اوندي مڠالهکن ليم چالون لاءين.

اونتوق ريکود⹁ کتيک ايت ڤاس ماسيه بکرجاسام دڠن امنو دالم موافقت ناسيونل (م.ن.).

کيني ستله ڤ.ڤ.ب.م. کلوار درڤد ڤ.ه.⹁ ڤاس برسڤاکت ڤولا دڠن ڤ.ڤ.ب.م. ممبنتوق ݢابوڠن ڤرايکتن ناسيونل (ڤ.ن.) برسام-سام ستار⹁ ڤ.ڤ.س. دان ݢرقن.

بݢيتوله ‘فلوءيد’ اتاو موده براوبهڽ سيتواسي ڤوليتيک دمليسيا. هوبوڠن ڤوليتيک بوليه براوبه-اوبه دالم سکليڤ ماتل سموده کيت برتوکر باجو.

دالم ماس امڤت هاري لاݢي⹁ کيت باکل مڽقسيکن ڤرتاروڠن دݢلڠݢڠ نݢري هڠ تواه دأنتارا تيݢ ڤرتي بسر ب.ن.⹁ ڤ.ه. دان ڤ.ن⹁ سرتا ڤرتي ڤوترا يڠ ممبوات ڤنمڤيلن سولوڠ مريک دڠن ڤرتنديڠن دليم کروسي.

ڤ.ر.ن. ملاک اياله ڤيليهن راي ڤرتام ستله ڤ.ر.ن. سابه يڠ دأداکن ڤد سيمڤتيمبر 2020. ڤ.ر.ن. ترسبوت مڽقسيکن جاتوهڽ کراجاءن نݢري دباوه ݢابوڠن ڤ.ه. کڤد تاڠن ايکتن ڤ.ن.-ب.ن. دباوه ݢابوڠن رعيت سابه (ݢ.ر.س.).

اڤ يڠ مناريق اياله⹁ حال يڠ مڽببکن برلاکوڽ ڤ.ر.ن. ملاک اين اداله بݢيتو ميريڤ کڤد سبب برلاکوڽ ڤ.ر.ن. سابه.

دسابه⹁ ڤمبڠکڠ دباوه ڤيمڤينن موسى امان (ب.ن.) تله مڠاتاکن بهاوا کراجاءن نݢري سابه دباوه ڤ.ه. تله جاتوه ستله بلياو ممڤراوليه سوکوڠن ماجوريتي ادون سابه.

نامون⹁ کتوا منتري سابه کتيک ايت⹁ شافعي اڤضل تله برتيندق مموهون ڤمبوبرن دون سابه دان برلاکوله ڤ.ر.ن. سابه.

دملاک ڤولا⹁ ستله امڤت ادون کراجاءن مڠوبه سوکوڠن مريک کڤد ڤ.ه.⹁ مريک مندعوى کراجاءن نݢري (ݢابوڠن ب.ن.-ڤ.ن.) تله جاتوه.

سڤرتي جوݢ دڠن کيس دسابه⹁ يڠ دڤرتوا نݢري ملاک مموتوسکن اونتوق ممبوبر دون ملاک.

ڤ.ر.ن. سابه ممڤرليهتکن کراجاءن ڤ.ه. دباوه ڤرتي واريثن تله کاله کڤد ݢ.ر.س.

سکارڠ سوده تنتي سموا مات اکن ترتومڤو کڤد ڤ.ر.ن. ملاک اونتوق مليهت اداکه سوکوڠن ترهادڤ ڤ.ه. ددون ملاک ماسيه سقوات کتيک ڤ.ر.ع.14 يڠ لالو؟

باݢي ساي⹁ ڤ.ر.ن. ملاک اداله مناريق کران:

  • اي ملاکر سجاره ڤوليتيک نݢارا اڤابيلا ݢابوڠن کراجاءن ڤوست برڤچه دالم ڤ.ر.ن. اين. چالون٢ ب.ن. اکن برتنديڠ مننتڠ چالون٢ ڤ.ڤ.ب.م. دان ڤاس يڠ برݢابوڠ دالم ڤ.ن. – ساتو ڤرکارا يڠ بهارو دالم ڤوليتيک تانه اءير⁏
  • ڤ.ر.ن. اين اکن مڠوجي کقواتن جنترا ڤاس دالم ممبنتو ڤ.ڤ.ب.م. اونتوق ممنڠي ڤ.ر.ن. ملاک⁏
  • ڤ.ر.ن. اين منجادي تندا ارس کقواتن ڤرتي٢ يڠ برتنديڠ⁏
  • اي توروت منجادي ميدن دمان ڤرتي٢ ب.ن.⹁ ڤ.ه. دان ڤ.ن. مڠوجي ستراتݢي ڤوليتيک ماسيڠ٢ سبلوم مڠهادڤي ڤ.ر.ع.15.

ساي جوݢ مليهت کڤوتوسن ڤ.ر.ن. ملاک اکن ممڤڠاروهي سوکوڠن کڤد ڤرتي٢ يڠ برتنديڠ منجلڠ ڤ.ر.ع.15⹁ سلاءين مراملکن کڤوتوسنڽ.

ڤرتي يڠ ممنڠي کراجاءن ملاک اکن دݢمبرکن سباݢاي ڤرتي ڤيليهن رعيت دان بوليه ممڤڠاروهي سينتيمن ڤڠوندي اتس ڤاݢر دالم ڤ.ر.ع.15 ننتي.

کيت توڠݢو سياڤاکه يڠ باکل مناون سمولا ‘کوتا’ ملاک ڤد هاري سبتو⹁ 20 نوۏيمبر 2021.

3 Tahun, 3 Kerajaan: Siapa Bakal Tawan Semula ‘Kota’ Melaka?

[ baca versi jawi di sini ]

Hari ini merupakan hari undian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pada tarikh ini dua tahun yang lalu, dunia politik negara telah digegarkan oleh kemenangan luar biasa calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai (P165,) mengalahkan calon-calon PPBM, GERAKAN, BERJASA dan Bebas.

PRK tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen P165 setelah penyandangnya, Datuk Wira Dr. Mohamed Farid bin Md Rafik daripada PPBM meninggal dunia. Dalam PRU14, Allahyarham telah memenangi kerusi P165 dengan majoriti 524 undi.

Keputusan BN meletakkan calon daripada MCA, Wee Jeck Seng di kawasan yang hampir enam puluh peratus pengundi Melayu telah mengundang berbagai-bagai persepsi dalam kalangan orang ramai.

Sedangkan PPBM yang pada ketika itu masih berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan calon Melayu iaitu Hj. Karmaine Sardini.

Hasil kerja kuat petugas BN, khasnya gerak kerja jentera dan akar umbi UMNO dibantu oleh PAS, BN telah menang dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi mengalahkan lima calon lain.

Untuk rekod, ketika itu PAS masih bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Kini setelah PPBM keluar daripada PH, PAS bersepakat pula dengan PPBM membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama STAR, SAPP dan GERAKAN.

Begitulah ‘fluid‘ atau mudah berubahnya situasi politik di Malaysia. Hubungan politik boleh berubah-ubah dalam sekelip mata; semudah kita bertukar baju.

Dalam masa empat hari lagi, kita bakal menyaksikan pertarungan di gelanggang negeri Hang Tuah di antara tiga parti besar BN, PH dan PN, serta parti PUTRA yang membuat penampilan sulung mereka dengan pertandingan di lima kerusi.

PRN Melaka ialah pilihan raya pertama setelah PRN Sabah yang diadakan pada September 2020. PRN tersebut menyaksikan jatuhnya kerajaan negeri di bawah gabungan PH kepada tangan ikatan PN-BN di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Apa yang menarik ialah, hal yang menyebabkan berlakunya PRN Melaka ini adalah begitu mirip kepada sebab berlakunya PRN Sabah.

Di Sabah, pembangkang di bawah pimpinan Musa Aman (BN) telah mengatakan bahawa kerajaan negeri Sabah di bawah PH telah jatuh setelah beliau memperoleh sokongan majoriti ADUN Sabah.

Namun, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Shafie Apdal telah bertindak memohon pembubaran DUN Sabah dan berlakulah PRN Sabah.

Di Melaka pula, setelah empat ADUN kerajaan mengubah sokongan mereka kepada PH, mereka mendakwa kerajaan negeri (gabungan BN-PN) telah jatuh.

Seperti juga dengan kes di Sabah, Yang di-Pertua Negeri Melaka memutuskan untuk membubar DUN Melaka.

PRN Sabah memperlihatkan kerajaan PH di bawah parti WARISAN telah kalah kepada GRS.

Sekarang sudah tentu semua mata akan tertumpu kepada PRN Melaka untuk melihat adakah sokongan terhadap PH di DUN Melaka masih sekuat ketika PRU14 yang lalu?

Bagi saya, PRN Melaka adalah menarik kerana:

  • Ia melakar sejarah politik negara apabila gabungan kerajaan pusat berpecah dalam PRN ini. Calon-calon BN akan bertanding menentang calon-calon PPBM dan PAS yang bergabung dalam PN – satu perkara yang baharu dalam politik tanah air;
  • PRN ini akan menguji kekuatan jentera PAS dalam membantu PPBM untuk memenangi PRN Melaka;
  • PRN ini menjadi tanda aras kekuatan parti-parti yang bertanding;
  • Ia turut menjadi medan di mana parti-parti BN, PH dan PN menguji strategi politik masing-masing sebelum menghadapi PRU15.

Saya juga melihat keputusan PRN Melaka akan mempengaruhi sokongan kepada parti-parti yang bertanding menjelang PRU15, selain meramalkan keputusannya.

Parti yang memenangi kerajaan Melaka akan digambarkan sebagai parti pilihan rakyat dan boleh mempengaruhi sentimen pengundi atas pagar dalam PRU15 nanti.

Kita tunggu siapakah yang bakal menawan semula ‘kota’ Melaka pada hari Sabtu, 20 November 2021.

%d bloggers like this: