ڤيليهن راي نݢري ملاک 20 نوۏيمبر

[ baca versi rumi di sini ]

سوروهنجاي ڤيليهن راي (س.ڤ.ر.) منتڤکن 20 نوۏيمبر اين سباݢاي تاريخ ڤيليهن راي نݢري (ڤ.ر.ن.) ملاک باݢي مڠايسي ککوسوڠن 28 کروسي ديوان اوندڠن نݢري (دون).

ڤڠروسيڽ⹁ داتوق عبد الغاني صالح برکات⹁ ڤ.ر.ن. ترڤقسا دأداکن سلڤس ڤيهقڽ منريما ڤمعلومن راسمي درڤد يڠ دڤرتوان دون ملاک⹁ داتوء سري عبد الراؤف يوسه برهوبوڠ ڤمبوبرن دون ک-14 ڤد 4 اوکتوبر لالو⹁ سباݢايمان ترمقتوب دباوه فصل (2) ڤرکارا 19 ڤرلمباݢاءن نݢري.

سهوبوڠن ايت⹁ منوروتڽ⹁ س.ڤ.ر. تله منتڤکن هاري ڤناماءن چالون ڤد 8 نوۏيمبر ماناکالا هاري مڠاوندي اول ڤولا اداله 16 نوۏيمبر.

بلياو برکات⹁ تيمڤور برکيمڤن يڠ دتتڤکن اداله سلاما 12 هاري برمولا سلڤس ڤناماءن چالون سهيڠݢ جم 11.59 مالم⹁ 19 نوۏيمبر.کاتاڽ⹁ دفتر ڤميلين ڤيليهن راي (د.ڤ.ڤ.ر.) يڠ اکن دݢوناکن اياله دفتر ڤميليه تمبهن يڠ دکمس کيني سهيڠݢ 3 اوکتوبر لالو.

دفتر ترسبوت⹁ جلس بلياو⹁ مڠندوڠي 495,196 ڤڠاوندي ترديري درڤد 482,550 ڤڠاوندي بياسا⹁ 10,191 اڠݢوتا تنترا دان ڤاسڠن⹁ 2,349 اڠݢوتا ڤوليس سرتا 106 ڤڠاوندي تيدق حاضير لوار نݢارا.

“باݢي اوروسن ڤرموهونن ڤڠاوندي ڤوس دلوار دان دالم نݢارا برمولا 20 اوکتوبر اين. باݢي ڤڠاوندي لوار نݢارا دان سمبيلن اݢينسي سيکتور کسلامتن⹁ تاريخ توتوڤ مڠاوندي ڤد 1 نوۏيمبر.

“باݢي ڤتوݢس ميديا⹁ ڤيليهن راي⹁ ڤݢاواي س.ڤ.ر.⹁ ڤوليس دان اڠݢوتا تنترا ڤولا تاريخ توتوڤ مڠاوندي ڤد 3 نوۏيمبر⹁” کاتاڽ دالم سيدڠ اخبر دهوتيل دابلتري باءي هيلتن⹁ باندا هيلير دسيني هاري اين.

عبد الغاني منمبه⹁ ڤرموهونن ڤڠاوندي ڤوس اکن دلقساناکن سچارا دالم تالين دان بوکنڽ سڤرتي سبلوم اين.

تݢسڽ⹁ ستياڤ ڤموهون ڤرلو مندفترکن اکاءون ‘مي‌س.ڤ.ر. دفتر’ ترلبيه دهولو⹁ سبلوم بوليه مموهون سباݢاي ڤڠاوندي ڤوس.

“ڤرموهونن اونتوق مڠاوندي ڤوس بوليه دلاکوکن ملالوءي مي‌س.ڤ.ر. دفتر دڤاءوتن https://mysprdaftar.spr.gov.my⹁” جلسڽ.

“باݢي کلايقن ڤڠاوندي ڤوس کاتݢوري لوار نݢارا يڠ دلقساناکن سبلوم اين تله دمنسوهکن انتاراڽ اياله برمستوطين دلوار نݢارا کچوالي ولايه سلاتن تاءيلن‌د (ناراتيوات⹁ ڤطاني⹁ يالا⹁ سوڠکلا دان ساتون)⹁ سيڠاڤورا⹁ بروني دان کاليمنتن⹁ ايندونيسيا⹁” اوجرڽ.

عبد الغاني منمبه⹁ سباڽق 28 ڤوست ڤناماءن چالون (ڤ.ڤ.چ.) دان 28 ڤوست ڤنجوملهن راسمي اوندي (ڤ.ڤ.ر.او) اکن دݢوناکن⹁ ماناکالا 217 ڤوست مڠاوندي بياسا ڤولا مڠندوڠي 1,109 تمڤت مڠاوندي (سالورن) دان 31 ڤوست مڠاوندي اول مڠݢوناکن 47 تمڤت مڠاوندي.

“سموا 217 ڤوست مڠاوندي بياسا اکن دبوکا دري 8.00 ڤاݢي هيڠݢ 5.30 ڤتڠ⹁ ماناکالا ڤوست مڠاوندي اول ڤولا دبوک دري 8.00 ڤاݢي هيڠݢ 2.00 ڤتڠ. باکي ڤوست مڠاوندي اول اکن دبوک دري 8.00 ڤاݢي هيڠݢ 5.30 ڤتڠ.

“سراماي 12,290 ڤتوݢس اکن دلانتيق اونتوق مڠنداليکن ڤروسيس ڤ.ر.ن. ماناکالا 28 ڤڠوات کواس کيمڤين ڤيليهنراي ترديري درڤد ڤوليس⹁ ڤيدق برکواس تمڤتن (ڤ.ب.ت.) دان واکيل٢ چالون اکن ممنتاو سموا اکتيۏيتي سڤنجڠ تيمڤوه کيمڤين ڤيليهن راي دتتڤکنم” جلسڽ.

PRN Melaka 20 November

[ baca versi jawi di sini ]

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengisi kekosongan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN terpaksa diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertuan DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 4 Oktober lalu, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, menurutnya, SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 8 November manakala hari mengundi awal pula adalah 16 November.

Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 12 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 19 November.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Tambahan yang  dikemas kini sehingga 3 Oktober lalu.

Daftar tersebut, jelas beliau, mengandungi 495,196 pengundi terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis serta 106 pengundi tidak hadir luar negara.

“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula 20 Oktober ini. Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 1 November.

“Bagi petugas media, pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 3 November,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Doubletree By Hilton, Banda Hilir di sini hari ini.

Abdul Ghani menambah, permohonan pengundi pos akan dilaksanakan secara dalam talian dan bukannya seperti sebelum ini.

Tegasnya, setiap pemohon perlu mendaftarkan akaun ‘MySPR Daftar’ terlebih dahulu, sebelum boleh memohon sebagai pengundi pos. 

“Permohonan untuk mengundi pos boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my,” jelasnya.

“Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” ujarnya.

Abdul Ghani menambah, sebanyak 28 pusat penamaan calon (PPC) dan 28 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan, manakala 217 pusat mengundi biasa pula mengandungi 1,109 tempat mengundi (saluran) dan 31 pusat mengundi awal menggunakan 47 tempat mengundi.

“Semua 217 pusat mengundi biasa akan dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang, manakala pusat mengundi awal pula dibuka dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Baki pusat mengundi awal akan dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

“Seramai 12,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN manakala 28 penguatkuasa kempen pilihan raya terdiri daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon akan memantau semua aktiviti sepanjang tempoh kempen pilihan raya ditetapkan,” jelasnya. -{Utusan Digital]

%d bloggers like this: