Jangan Sampai Minda Kita Dijajah

Hari Kebangsaan baharu sahaja berlalu. Selama 64 tahun kita berdiri teguh di bawah satu Persekutuan, mengurus tadbir tanah air sendiri sambil mengecap pelbagai nikmat hasil kemajuan yang dicapai.

Namun, jangan kita lupa bahawa kejayaan ini tidak datang secara bergolek. Nenek moyang kita telah berkorban harta dan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu yang tercinta.

Kita sering melaungkan perkataan “merdeka” ketika menyambut Hari Kebangsaan, tetapi apakah kita faham maksud sebenar kata keramat itu?

Ada yang merasakan bahawa “merdeka” hanyalah bermaksud negara telah bebas daripada menjadi jajahan takluk kuasa asing. Dan ada pula yang merasakan bahawa “merdeka” bermaksud kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang diingini tanpa sekatan oleh sesiapa pun.

Sebagai rakyat yang sayangkan negara bangsa, kita harus menghayati maksud “merdeka” berlandaskan konteks sejarah negara kita sendiri.

Dahulunya, atuk nenek kita telah berjuang bermati-matian bagi mengelakkan keseluruhan Tanah Melayu daripada dijajah melalui Malayan Union. Kini menjadi tanggung jawab kita untuk memelihara kedaulatan negara bangsa.

Justeru, jangan sampai kita pula yang membuka pintu kepada penjajahan era baharu yang lebih marabahaya.

Zaman yang berubah telah membawa banyak perubahan kepada pandangan serta nilai hidup kita.

Kini ramai yang cenderung bersikap invidualistik seperti orang Barat. Mereka tidak lagi mahu hidup bermasyarakat, tidak mengenali jiran tetangga serta sudah hilang rasa hormat kepada generasi tua.

Lebih menyedihkan lagi, kini semakin ramai anak-anak muda yang terjebak dengan fahaman anarkisme.

Sehinggakan ada yang semakin berani mencabar undang-undang negara termasuk menderhaka terhadap Raja-raja Melayu.

Persoalannya, di manakah silap kita sehingga terhakisnya adab dan runtuhnya sikap taat setia kita kepada negara bangsa?

Merdekakah kita jika kita membiarkan minda kita dijajah oleh ideologi asing?

Kita perlu membina semula jati diri bangsa berdasarkan ideologi negara.

Penerapan nilai-nilai murni melalui lima prinsip Rukun Negara mestilah diperkasakan.

Nilai-nilai ini mesti ditanam dan dipupuk dalam diri setiap anak bangsa agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berakhlak tinggi, sejahtera dan maju.

Jangan runtuhkan kedaulatan negara hanya kerana nafsu dan kepentingan diri.

Jangan biarkan jiwa-jiwa yang telah merdeka dijajah kembali oleh mereka yang mahu meruntuhkan kedaulatan negara.

Kalau dahulu penjajah menyerang kita menggunakan senjata nyata, tetapi hari ini minda kita dijajah melalui awan-awan halimunan.

Akses meluas kepada Internet turut membuka pintu kepada pelbagai pengaruh positif dan negatif, termasuk budaya songsang yang boleh memporak-perandakan masyarakat kita.

Merdekakan diri daripada pengaruh, cara hidup, pemikiran dan budaya luar yang bertentangan dengan budaya, normal hidup serta prinsip kenegaraan kita.

Semoga Hari Kebangsaan ke-64 ini menjadi pencetus semangat untuk kita berjuang demi mempertahankan kedaulatan negara bangsa yang tercinta.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.