Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 dalam sebuah perutusan khas sebentar tadi, setelah 18 bulan berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, beliau telah ke Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengah hari tadi, bagi menyerahkan warkah peletakan jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, kerana telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin telah memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin.
Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan pada jam 2.47 tengah hari tadi, Istana Negara memaklumkan bahawa Muhyiddin akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sementara seorang Perdana Menteri baharu dilantik.
Beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada bulan Mac tahun lepas ketika krisis politik yang melanda negara akibat peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Mahathir Mohamad.
Muhyiddin turut menyatakan keinginannya untuk sebuah kerajaan baharu dibentuk agar pentadbiran negara dapat terus berjalan dengan lancar. Beliau turut memohon maaf atas semua kesilapannya ketika memerintah.