سلامت مڽمبوت هاري کبڠساءن مليسيا ک-64

ڤردان منتري⹁ داتوء سري اسماعيل صبري يعقوب هاري اين مڠعمومکن باريسن جماعه منتري يڠ بهارو دباوه کابينيت کراجاءن بلياو. کابينيت اين تربنتوق درڤد 31 منتري دان 38 تيمبلن منتري درڤد ڤرايکتن ناسيونل دان ببراڤ ڤرتي لاءين⹁ سرتا 5 اورڠ سيناتور.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang baharu di bawah Kabinet kerajaan beliau. Kabinet ini terbentuk daripada 31 menteri dan 38 timbalan menteri daripada Perikatan Nasional dan beberapa parti lain, serta 5 orang senator.
Tiada sebarang pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung pembentukan barisan Kabinet baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu pemakluman ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.
“Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.
Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama sejam 30 minit bermula pukul 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri. -{Kosmo! Digital]
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, hari ini.
Menurut Istana Negara, sesi menghadap itu berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi tadi.
“Seri Paduka berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 lalu,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara.
Sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.
Ismail Sabri dijangka mengumumkan barisan jemaah Kabinet hari ini. –{Utusan Digital]
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Abdulaziz di sini, hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan rasmi yang membawa Perdana Menteri kesembilan itu dilihat memasuki pintu masuk utama Istana Abdul Aziz, kira-kira pukul 10.53 pagi.
Beliau diringi konvoi dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Sultan Pahang.
Difahamkan, majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah bagi menyampaikan senarai cadangan barisan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan.
Lawatan Ahli Parlimen Bera itu nyata mencuri tumpuan petugas media hari ini, berikutan ia adalah lawatan sulung beliau ke Pahang sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, 20 Ogos lalu.
Pada 23 Ogos lalu, Ismail Sabri memaklumkan barisan Kabinetnya akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan senarai itu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu untuk mendapat perkenan Seri Paduka.
Sejak beberapa hari lalu, tular pelbagai versi senarai anggota Kabinet baharu. –{Utusan Digital]
PH memberi jaminan tidak akan “mempersulitkan” undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika dia mengambil langkah demi kepentingan rakyat.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi PH Anwar Ibrahim setelah pertemuan dengan Ismail Sabri.
Pertemuan itu turut disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Kita beritahu kalau suasana begini, kalau program-program (yang dibuat) pro kepada rakyat, kita tak akan persulitkan (undi percaya),” katanya kepada pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Walaupun tidak menjelaskan secara lanjut, anwar berkata antara yang dibincangkan adalah program pro-rakyat yang memberi tumpuan kepada isu kemiskinan dan pekerjaan.
Dia menyifatkan pertemuan itu sebagai “permulaan yang baik” dan pertemuan peringkat jawatankuasa akan disertai wakil-wakil pembangkang.
“(Mereka akan bincang tentang) apa yang boleh dipersetujui dan langkah yang harus diambil supaya keadaan, kedudukan perdana menteri dan negara lebih terkawal dan aman politiknya,” katanya lagi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar perdana menteri yang akan dilantik untuk turut melibatkan kerjasama pembangkang.
Anwar berkata lagi, pertemuan hari ini dibuat susulan titah tersebut.
Selain inisiatif pro-rakyat, Anwar berkata Lim membangkitkan isu ekonomi termasuk moratorium pinjaman manakala Mohamad menyentuh soal kesan wabak Covid-19.
Namun anwar berkata isu penyertaan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara – yang disebut Ismail sebelum ini – tidak dibincangkan.
PH setakat ini belum membuat keputusan untuk menyertainya.
Menurut Anwar lagi, soal jawatan kabinet juga tidak dibincangkan dan memang pendirian PH untuk tidak menggesanya, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah wabak dan ekonomi.
“Saya juga ucap terima kasih. Ismail wakili Umno dan bincang dengan Anwar dan DAP.
“Saya gurau dengan dia (pendirian Umno) ‘no Anwar, no DAP’ nampaknya dah berubah,” katanya lagi.
Pendirian tersebut ditetapkan ketika perhimpunan agung Umno dan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
Ia dilihat sebagai halangan utama bagi Anwar dalam mendapatkan sokongan kem presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam usahanya mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri. -{Malaysiakini]
Perdana Menteri ke-9 sudah dilantik. Ada yang gembira, ada yang kecewa; ada yang menyokong dan ada pula yang membantah.
Belum pun barisan kabinet baharu diumumkan, suasana politik sudah mula kembali panas:
Kita mesti melihat kepada Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa:
Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.
Kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah mengatasi politik. Baginda tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap negara.
Jelasnya, kita dapat melihat Yang di-Pertuan Agong tegas menjalankan tugas Baginda sebagai Ketua Utama Negara dengan adil dan berlandaskan undang-undang negara.
Dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Baginda Agong menzahirkan bahawa:
Sesiapapun juga dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021
Untuk memilih Perdana Menteri ke-9, Baginda telah menitahkan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat mempersembahkan surat akuan menyatakan seorang calon yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.
Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli dewan rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana menteri yang baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021
Jelas, Baginda telah menggunakan kuasa budi bicara Baginda dengan penuh tertib dan bertanggungjawab.
Buktinya, dalam melaksanakan kuasa budi bicara, Baginda bertindak meraikan konsep demokrasi yang diamalkan dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Demi meraikan konsep demokrasi jugalah, Baginda telah menitahkan Perdana Menteri setelah dilantik, hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.
Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021
Kini ada yang mempersoalkan apakah perlu untuk diadakan undi percaya bagi mengesahkan keabsahan seorang Perdana Menteri sedangkan hal ini tidak disebut di dalam Perlembagaan?
Dalam hal undi percaya ini, saya melihat Baginda Agong:
Sebenarnya undi percaya terhadap Perdana Menteri yang dilantik bukan hasil daripada Pilihan Raya Umum, bukanlah perkara baharu dalam sejarah politik negara.
Demi integriti dan keadilan kepada semua pihak, pemimpin politik perlu akur kepada titah Baginda Agong dalam usaha menyelesaikan krisis ini agar pisang tidak berbuah dua kali.
Setelah negara bertukar Perdana Menteri sebanyak 2 kali dalam masa 18 bulan, Baginda Agong pasti mencari jalan agar perkara yang sama tidak berulang.
Di dalam dunia ini, tiada sesiapa yang akan berpuas hati sepenuhnya atas setiap keputusan atau pemilihan yang dibuat secara undian. Namun itulah dasar demokrasi. Suara majoriti yang akan menang.
Yang menang pula mestilah adil dan mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama sebelum bertanding.
Semoga kita semua khasnya pemimpin-pemimpin politik boleh berjiwa besar dan mengambil iktibar daripada titah Baginda bahawa yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua.
Bersikap adillah sesama kita.
Tidak semua yang berlaku di dunia ini adalah manis bagi kita. Ada yang pahit untuk ditelan dan ada yang terlalu sukar untuk ditempuhi.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengundang pemimpin parti Pakatan Harapan ke Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana, Putrajaya petang ini.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, perjumpaan pada jam 2 petang ini akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri.
“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, dan Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, atas jemputan Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tiada kerajaan campuran akan dibentuk dengan parti-parti pembangkang.
Namun, kata perdana menteri, kerjasama dengan pembangkang hanya melibatkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi melalui platform Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
PH belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, tetapi Lim membayangkan bahawa DAP terbuka untuk mempertimbangkannya jika pembangkang tidak dijadikan “pak turut”. -{Malaysiakini]
Pemimpian-pemimpin utama parti Perikatan Nasional (PN) hari ini mengadakan mesyuarat khas di Publika.
Difahamkan, mesyuarat itu adakan bagi membincangkan isu barisan kepimpinaan kerajaan selepas persetujuan dibuat bagi memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Antara pemimpin yang dilihat hadir adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Star, Datuk Guan Dee Koh Hoi; Ketua Pemuda PN, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua Wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi parti PN.
Pemimpinan PN mula tiba di Publika sekitar pukul 9.30 pagi tadi.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam bagi menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin lalu selepas kehilangan sokongan majoriti.
Istana Negara dalam kenyataannya sebelum ini mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat daripada parti kerajaan pimpinan Muhyiddin mencalonkannya.
Langkah tersebut sekaligus mengekalkan pentadbiran lalu dari jatuh kembali kepada Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. –{MalaysiaGazette]