Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah meninggalkan kawasan rumah Tan Sri Mahiaddin Md Yassin setelah hadir bersama-sama beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan di rumah Perdana Menteri tersebut.
Terdahulu, beberapa anggota jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan dilihat hadir ke kediaman Mahiaddin Md Yassin di Bukit Damansara pagi ini.
Sila baca: (Gambar) Menteri Kabinet, Peguam Negara Hadir ke Rumah Mahiaddin – Laporan
Menurut laporan akhbar Malaysiakini, kenderaan yang dipercayai membawa menteri, Peguam Negara Idrus Harun dan pegawai kerajaan lain dilihat memasuki kawasan perumahan perdana menteri pada jam 9.40 pagi tadi.
Turut dilihat meninggalkan kediaman Mahiaddin ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dipercayai kehadiran menteri dan pegawai kerajaan di rumah Mahiaddin berkaitan dengan desakan UMNO supaya Ahli Parlimen Pagoh mengundurkan diri daripada jawatan perdana menteri.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengumumkan keputusan parti itu menarik balik sokongannya kepada Mahiaddin dengan segera, dengan alasan kerajaan gagal dalam tugasnya termasuk menangani wabak Covid-19.
Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Mahiaddin mesti memberi laluan kepada perdana menteri sementara, yang akan memfokuskan menangani wabak, sebelum diadakan pilihan raya umum untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat.