Berita pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri petang tadi tentu menjadi kejutan bagi ramai rakyat negara. Bekas Menteri Kanan Pertahanan tersebut yang juga merupakan Naib Presiden UMNO telah memenuhi jawatan yang telah dikosongkan selama lebih 1 tahun di saat suasana politik semakin hangat.
Lebih-lebih lagi, malam ini pemimpin-pemimpin UMNO akan bertemu dan berbincang mengenai keputusan mereka akan status UMNO di dalam kerajaan. UMNO dijangka mengumumkan pendirian parti sama ada malam ini ataupun esok.
Keputusan UMNO akan menentukan nasib kerajaan Perikatan Nasional, sama ada terus memerintah negara ataupun terkubur sebagai kerajaan persekutuan yang paling singkat memerintah negara.
Adakah langkah melantik Ismail Sabri satu jalan demi memastikan UMNO terus bersama menyokong Perikatan Nasional?
Khabar angin mengatakan bahawa asbab utama Tan Sri Mahiaddin tidak melantik seorang Timbalan Perdana Menteri sebelum ini adalah kerana beliau mahu menyelesaikan isu perebutan kuasa antara pemimpin PPBM dan UMNO.
Azmin sering dikatakan sebagai calon utama Timbalan Perdana Menteri. Namun pada saat kedudukan kerajaan terancam sebegini, nampaknya Perdana Menteri memilih pemimpin UMNO kerana pilihan itu mungkin dapat menyelamatkan keadaan.
Dahulunya, ramai juga yang menjangka Menteri Luar Negeri, Hishamuddin Hussein yang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Nama Ismail Sabri hanya mula disebut-sebut setelah khabar tentang pertemuan di Jalan Bellamy baru-baru ini, yang dikatakan merupakan satu pertemuan yang diusahakan beliau.
Persoalannya adalah:
- Adakah UMNO akan berpuas hati dengan lantikan ini?
- Adakah suatu tindakan segera akan diumumkan malam ini?
- Apakah tindakan UMNO seterusnya?
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif demi memulihkan ekonomi negara dan menangani wabak Covid-19.
Semoga Allah selamatkan negara ini daripada huru-hara serta mengembalikannya kepada keamanan, aamiin.
Like this:
Like Loading...