امنو ڤوتوس هالا توجو دالم کراجاءن ڤرايکتن ناسيونل ايسوق

کدودوقن ڤرايکتن ناسيونل (ڤ.ن.) سباݢاي ݢابوڠن يڠ مڠواساءي ڤوتراجاي دان کبراداءن اهلي ڤرليمن امنو دالم کراجاءن دجڠک دکتاهوءي ايسوق.

حال ايت کران⹁ سومبر ممبريتاهو اخبر مليسياکيني⹁ مجليس ترتيڠݢي (م.ت.) امنو اکن برمشوارت باݢي مننتوکن هالا توجو مريک سباݢاي ساله ساتو ڤرتي يڠ ممبوليهکن کراجاءن ڤ.ن. برتاهن هيڠݢ کيني.

کاتاڽ مشوارت برکناءن اکن برلڠسوڠ سلڤس تيندق بالس کڤد کسن دتونجوقکن ڤ.ن. ترهادڤ تيمڤوه 14 هاري اونتوق مڠاداکن سيدڠ ڤرليمن يڠ دريکن امنو سبلوم اين.

“ايسوق م.ت. امنو اکن برمشوارت دان دجڠک اکن مننتوکن هالا توجو ڤرتي دالم کراجاءن ڤ.ن.

“امنو اکن ممبوات کڤوتوسن برکناءن ايسوق⹁” کاتاڽ هاري اين.

مالم تادي⹁ ڤميمڤين اتسن امنو مڠاداکن ڤرتموان ترتوتوڤ دڠن اهلي ڤرليمن مريک دکوالا لومڤور کتيک مونچول سڤيکولاسي مڠناءي مريک اکن مناريق باليق سوکوڠن کڤد محي الدين محمد ياسين.

ڤرتموان ترسبوت برلڠسوڠ دويسما ڤرويرا ياءيت سبواه باڠونن دميليقي اڠکتن تنترا مليسيا.

مشوارت ترسبوت برلڠسوڠ سلاما کيرا٢ امڤت جم دان سجومله کندراءن دليهت برايدر دري سيتو ڤد تڠه مالم.

اونتوق ريکود ساله سأورڠ ناءيب ڤريسيدن امنو⹁ اسماعيل صبري يعقوب⹁ کيني برخدمت سباݢاي منتري ڤرتاهنن دالم کابينيت دکتواءي محي الدين محمد ياسين.

اسماعيل صبري جوݢ منجادي ساله سأورڠ منتري کانن يڠ دڤيليه ڤريسيدن ڤ.ڤ.ب.م. ايت.

ترداهولو⹁ اڠݢوتا م.ت. امنو⹁ محمد ڤؤاد زرکشي⹁ برکات بلياو يقين ڤرتي ايت اکن ممعتمدکن کڤوتوسن اونتوق کلوار درڤد کراجاءن ڤ.ن. سبلوم 1 اوݢوس.

اين برلاکو دتڠه سڤيکولاسي بهاوا ڤريسيدن امنو⹁ احمد زاهد حميدي براوسها مناريق کلوار ڤرتي ايت دري ݢابوڠن کراجاءن تتاڤي مڠهادڤي تنتڠن بسر⹁ تراوتام درڤد اهلي ڤرليمن ڤرتي ايت.

“ساي يقين م.ت. امنو اکن برمشوارت سچارا ماي دالم ماس تردکت اونتوق ممعتمدکن کڤوتوسن ڤرهيمڤونن اݢوڠ امنو 2020 ياءيت ڤرتي اکن تتڤ مناريق باليق سوکوڠن درڤد کراجاءن ڤ.ن. ڤاليڠ ليوات 1 اوݢوس 2021⹁” کات محمد ڤؤاد يڠ دڤتيق اخبر سينر هارين.

سمنتارا ايت⹁ سأورڠ اڠݢوتا م.ت. امنو کتيک دهوبوڠي مڠصحکن ميمڠ مريک دجدوال برمشوارت ايسوق.

“ي⹁ مشوارت م.ت. ايسوق تاڤي سچارا دالم تالين⹁” کاتاڽ.

دي باݢايماناڤون تيدق منددهکن سچارا ترڤراينچي اݢيندا مشوارت برکناءن نامون دڤرچاياءي اکن ممبينچڠکن ايسو سماس ڤوليتيک تانه اءير ترماسوق کدودوقن امنو دالم کراجاءن ڤ.ن.

ڤرهيمڤونن اݢوڠ امنو ڤد 27 مچ لالو ممبريکن مندت کڤد ڤريسيدن دان مجليس ترتيڠݢي ڤرتي ايت اونتوق مموتوسکن بيلاکه ماس يڠ سسواي مڠاره اهلي ڤرليمن مريک يڠ مڽرتاءي اݢر ملتق جاوتن.

توروت ترليبت دڠن ارهن برکناءن اياله سموا اهلي ڤرليمن يڠ منريما تاورن مندودوقي جاوتن ترتيڠݢي دالم مان٢ شريکت برکاءيتن کراجاءن.

UMNO Putus Hala Tuju Dalam K’jaan PN Esok?

Kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan yang menguasai Putrajaya dan keberadaan ahli parlimen Umno dalam kerajaan dijangka diketahui esok.

Hal itu kerana, sumber memberitahu Malaysiakini, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bermesyuarat bagi menentukan hala tuju mereka sebagai salah satu parti yang membolehkan kerajaan PN bertahan hingga kini.

Katanya mesyuarat berkenaan akan berlangsung selepas tindak balas kepada kesan ditunjukkan PN terhadap tempoh 14 hari untuk mengadakan sidang parlimen yang diberikan Umno sebelum ini.

“Esok MT Umno akan bermesyuarat dan dijangka akan menentukan hala tuju parti dalam kerajaan PN.

“Umno akan membuat keputusan berkenaan esok,” katanya hari ini.

Malam tadi, pemimpin atasan Umno mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli parlimen mereka di Kuala Lumpur ketika muncul spekulasi mengenai mereka akan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin.

Pertemuan tersebut berlangsung di Wisma Perwira iaitu sebuah bangunan dimiliki Angkatan Tentera Malaysia. 

Mesyuarat tersebut berlangsung selama kira-kira empat jam dan sejumlah kenderaan dilihat beredar dari situ pada tengah malam.

Untuk rekod salah seorang naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, kini berkhidmat sebagai menteri pertahanan dalam kabinet diketuai Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri juga menjadi salah seorang menteri kanan yang dipilih presiden Bersatu itu.

Pertemuan secara maya

Terdahulu Anggota MT Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata dia yakin parti itu akan memuktamadkan keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos. 

Ini berlaku di tengah spekulasi bahawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berusaha menarik keluar parti itu dari gabungan kerajaan tetapi menghadapi tentangan besar, terutama daripada ahli parlimen parti itu.

“Saya yakin MT Umno akan bermesyuarat secara maya dalam masa terdekat untuk memuktamadkan keputusan PAU Umno 2020 iaitu parti akan tetap menarik balik sokongan daripada kerajaan PN paling lewat 1 Ogos 2021,” kata Mohd Puad yang dipetik Sinar Harian.

Sementara itu, seorang anggota MT Umno ketika dihubungi mengesahkan memang mereka dijadual bermesyuarat esok.

“Ya, mesyuarat MT esok tapi secara online (dalam talian),” katanya.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci agenda mesyuarat berkenaan namun dipercayai akan membincangkan isu semasa politik tanah air termasuk kedudukan Umno dalam kerajaan PN.

Perhimpunan Agung Umno pada 27 Mac lalu memberikan mandat kepada presiden dan majlis tertinggi parti itu untuk memutuskan bilakah masa yang sesuai mengarahkan ahli parlimen mereka yang menyertai kerajaan agar meletak jawatan.

Turut terlibat dengan arahan berkenaan ialah semua ahli parlimen yang menerima tawaran menduduki jawatan tertinggi dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan. -{Malaysiakini]

%d bloggers like this: