اهلي ڤرليمن امنو دڤڠݢيل زاهد مالم اين

سبهاݢين ڤميمڤين امنو دڤرچاياءي سوده مولا برکومڤول دڤوست داݢڠن دنيا کوالا لومڤور (ڤ.د.د.ک.ل.) سجق تڠه هاري تادي.

دفهمکن⹁ مريک دڤڠݢيل ڤريسيدن ڤرتي⹁ داتوء سري دوکتور فلسفه احمد زاهد حميدي برهوبوڠ تيمڤوه 14 هاري يڠ دتتڤکن بيرو ڤوليتيک امنو سبلوم اين سوڤايا کراجاءن ممڠݢيل ڤرليمن اونتوق برسيدڠ دالم تيمڤوه ترسبوت.

سوسولن درڤد ايت⹁ سومبر يڠ لايق دڤرچاياءي ممبريتاهو ڤيهق اخبر اوتوسن مليسيا⹁ احمد زاهد اکن مڠاداکن ڤرتموان دڠن اهلي ڤرليمن امنو مالم اين.

کليهتن براد دڤ.د.د.ک.ل. وقتو اين اياله اهلي مجليس ترتيڠݢي امنو⹁ داتوء غزالي ابراهيم دان بکس ڤردان منتري يڠ جوݢ اهلي ڤرليمن ڤکن⹁ داتوء سري نجيب تون رزاق.

ڤد 21 جون لالو⹁ امنو مندسق کراجاءن اونتوق ممڠݢيل سيدڠ ڤرليمن دالم تيمڤوه 14 هاري.

احمد زاهد برکات⹁ اي سوسولن ڤندڠن دظاهيرکن يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ السلطان عبد الله رعاية الدين المصطافى بالله شه دان راج٢ ملايو سوڤايا سيدڠ برکناءن دخداکن سچڤت موڠکين.

باݢايماناڤون ڤجابت ڤردان منتري دالم کياتاءن هاري اين ممعلومکن کراجاءن برستوجو منصيهتي اݢوڠ سوڤايا سيدڠ ڤرليمن دأداکن سلاما ليما هاري مولاءي 26 جولاي اين باݢي ديوان رعيت.

تيمڤوه مشوارت باݢي ديوان رعيت ايت برلڠسوڠ دري 26 جولاي هيڠݢ 29 جولاي دان 2 اوݢوس.

باݢي ديوان نݢارا ڤولا اکن برلڠسوڠ تيݢ هاري مولاءي 3 هيڠݢ 5 اوݢوس دڤن.

Ahli Parlimen UMNO Dipanggil Zahid Malam Ini

Sebahagian pemimpin UMNO dipercayai sudah mula berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) sejak tengah hari tadi.

Difahamkan, mereka dipanggil Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung tempoh 14 hari yang ditetapkan Biro Politik UMNO sebelum ini supaya kerajaan memanggil Parlimen untuk bersidang dalam tempoh tersebut.

Susulan daripada itu, sumber yang layak dipercayai memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen UMNO malam ini.

Kelihatan berada di WTC waktu ini ialah ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim dan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 21 Jun lalu, UMNO mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Ahmad Zahid berkata, ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Agong supaya sidang Parlimen diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini bagi Dewan Rakyat.

Tempoh mesyuarat bagi Dewan Rakyat itu berlangsung dari 26 Julai hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Bagi Dewan Negara pula akan berlangsung tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos depan. –{Utusan Digital]

ڤرليمن کمبالي برسيدڠ 26 جولاي

ديوان رعيت اکن برسيدڠ سمولا ڤد 26 جولاي⹁ منوروت ڤجابت ڤردان منتري.

دالم ساتو کڽاتاءن هاري اين⹁ ڤجابت ڤردان منتري ممعلومکن بهاوا کراجاءن تله برستوجو اونتوق منصيحتي سري ڤدوک بݢيندا يڠ دڤرتوان اݢوڠ سوڤايا مشوارت خاص ڤڠݢل کتيݢ ڤرليمن کأمڤت بلس دأداکن سلاما 5 هاري مولاءي 26 هيڠݢ 29 جولاي دان 2 اوݢوس باݢي ديوان رعيت.

ديوان نݢارا ڤولا اکن برسيدڠ سلاما 3 هاري مولاءي 3 هيڠݢ 5 اوݢوس.

“مشوارت اين برتوجوان اونتوق ممبري ڤنرڠن کڤد اهلي٢ ڤرليمن مڠناءي ڤلن ڤموليهن نݢارا دان مميندا سموا ڤراوندڠن دان ڤراتورن باݢي ممبوليهکن ڤرسيدڠن ڤرليمن دأداکن سچارا هيبريد.

“برداسرکن فصل (3) ڤرکارا 150 ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتوان⹁ سموا ڤرةکلاماسي ضرورة دان اوردينن يڠ دبوات اوليه يڠ دڤرتوان اݢوڠ اکن دبنتڠکن دهادڤن کدوا-دوا مجليس ڤرليمن.”

ڤجابت ڤردان منتري مڠاتاکن بهاوا ڤراتورن يڠ دتتڤکن اوليه مجليس کسلامتن نݢارا دان کمنترين کصيحتن اکن ترڤاکاي اونتوق سيدڠ اين.

کڤوتوسن اين برتڤتن دڠن براخيرڽ 14 هاري يڠ دبريکن اوليه امنو اونتوق ڤوتراجاي مڠاداکن سيدڠ ڤرليمن.

Parlimen Kembali Bersidang 26 Julai

Baca versi Jawi di sini.

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 26 Julai, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dalam satu kenyataan hari ini, PMO memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama 5 hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.

Dewan Negara pula akan bersidang selama 3 hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen (shall be laid before both Houses of Parliament.)”

PMO mengatakan bahawa peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan akan terpakai untuk sidang ini.

Keputusan ini bertepatan dengan berakhirnya 14 hari yang diberikan oleh UMNO untuk Putrajaya mengadakan sidang Parlimen.

Dato’ Aria Pura Abdul Rahman Meninggal Dunia

Innalillahiwainnailaihiraajiun

Dato’ Aria Pura Haji Abdul Rahman bin Dato’ Seri Amar Diraja Ngah Muhamad telah kebali ke rahmatullah di Kuala Terengganu pada jam 11.02 malam 4 Julai 2021M bersamaan 24 Zulkaedah 1442H semalam.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham, serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Saya dimaklumkan mengenai pemergiannya oleh anaknya, Pak Cik Mohammad Kamal malam semalam.

Allahyarham merupakan anak kepada Menteri Besar Terengganu pertama, Dato’ Seri Amar Diraja Ngah Muhamad bin Dato’ Mata Mata Tua Haji Yusof.

Beliau bersama-sama arwah atuk saya, Ahmad bin Omar, dibesarkan oleh Dato’ Seri Amar Diraja Ngah Muhamad yang merupakan bapa saudaranya.

Kali terakhir kami betermu Allahyarham bersama-sama arwah atuk adalah selepas Allahyarham pulang dari Makkah bagi menunaikan ibadat umrah kira-kira pada tahun 2016.

Al-Fatihah…


إنا لله وإنا إليه راجعون

داتوء اريا ڤورا حاج عبد الرحمن بن داتوء سري عمار دراج ڠه محمد تله کمبالي کرحمة الله دکوالا ترڠݢانو ڤد جم 11.02 مالم 4 جولاي 2021م برساماءن 24 ذو القعدة 1442ھ سمالم.

سموݢ الله سبحانه وتعالى منچوچوري رحمتڽ کأتس روح الله يرحم⹁ سرتا منمڤتکنڽ دالم کالڠن اورڠ٢ يڠ برايمان دان برعمل صالح.

ساي دمعلومکن مڠناءي ڤمرݢينڽ اوليه انقڽ⹁ ڤق چيق محمد کمال مالم سمالم.

الله يرحم مروڤاکن انق کڤد منتري بسر ترڠݢانو ڤرتام⹁ داتوء سري عمار دراج ڠه محمد بن داتوء مات٢ توا حاج يوسف.

بلياو برسام-سام ارواح اتوق ساي⹁ احمد بن عمر⹁ دبسرکن اوليه داتوء سري عمار دراج ڠه محمد يڠ مروڤاکن باڤ ساوداراڽ.

کالي تراخير کامي برتمو الله يرحم برسام-سام ارواح اتوق اداله سلڤس الله يرحم ڤولڠ دري مکه باݢي منونايکن عبادة عمرة کيرا٢ ڤد تاهون 2016.

الفاتحة

%d bloggers like this: